Sunday, November 29, 2009

15 EKOR LEMBU UNTUK MAJLIS KORBAN BERKELOMPOK DAERAH KUNAK

Kunak, Nov 28 – Sejumlah 15 ekor lembu dikorbankan dalam upacara korban sempena Hari Raya Aidil Adha di Kunak tahun ini. Majlis Korban Berkelompok itu dianjurkan bersama oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah kawasan N51 Kunak, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Pertubuhan Islam Negeri Sabah (USIA) dan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN).


Seramai lebihkurang 300 orang telah hadir untuk bergotong royong melaksanakan upacara ibadah korban itu.
Empat ekor lembu telah diagih-agihkan ke empat daerah mengundi yang terdapat di Kunak sehari sebelum Hari Raya. Sebelas ekor lagi di sembelih di perkarangan rumah ADUN Kunak, YB Datuk Nilwan Kabang pada hari kedua Hari Raya Aidil Adha.


Daging korban kemudian diagih-agihkan kepada hadirin, termasuk kanak-kanak, dan kepada penduduk kampung-kampung di daerah Kunak.



“Kerjasama dan semangat perpaduan oleh masyarakat, jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan-kerajaan (NGO) seperti yang ditunjukkan dalam majlis ini, merupakan bukti terjalinnya persefahaman dan semangat gotong-royong di kawasan ini”, kata ADUN Kunak, Datuk Nilwan Kabang dalam ucapannya sebelum mengagih-agihkan daging korban kepada orang ramai.


Tambah beliau, “Semangat perpaduan dan kerjasama seperti ini jika dipupuk dan dipertingkatkan lagi akan memudahkan pembangunan masyarakat menuju kesejahteraan dan kemakmuran yang berterusan.”

No comments: