Saturday, July 4, 2009

MENYINGKAP SEJARAH DAERAH KUNAK - BHG 6

Kemahiran membuat tembikar di Bukit Tengkorak sejak tahun 4300 SM telah banyak mengubah cara hidup masyarakat pra-sejarah di Pantai Timur Sabah dan kawasan-kawasan berhampiran di Asia Tenggara ketika itu. Mereka sudah boleh merebus atau memasak makanan dan boleh menyimpan bekalan air untuk keperluan harian berhampiran dengan tempat kediaman mereka. Para pelayar juga sudah boleh membawa air dalam pelayaran mereka dan dengan itu mereka boleh berlayar jauh dan hanya berhenti di pulau-pulau kecil untuk mengisi kembali tembikar yang kosong dengan air.

Industri tembikar secara besar-besaran itu telah mencungkil bakat-bakat seni ukir. Ini dapat dilihat dari ukiran-ukiran yang terdapat pada tinggalan jutaan puing-pung tembikar di Bukit Tengkorak.

Samada ukiran-ukiran pada tembikar ini membawa sebarang mesej atau hanya sebagai dekorasi adalah masih menjadi tandatanya. Walau bagaimanpun pada zaman itu, sekitar tahun 3000 SM, di Mesir dan Sumeria (Iraq) tulisan dalam bentuk hiroglifik dan cuneiform telah mula digunakan.

Pertanian juga telah lama wujud iaitu kira-kira pada tahun 7000 SM yang bermula di kawasan Mesopotamia. Sekitar tahun 4000 SM orang-orang Sumeria telah membina saliran-saliran untuk pengairan tanaman dan juga untuk pengangkutan hasil tanaman menggunakan perahu ke kawasan-kawasan perkampungan. Mereka telah membina jalan untuk laluan keldai sesetengahnya ada yang menarik gerabak dengan roda kayu. Bilangan mereka semakin meningkat membolehkan mereka membina kota-kota penempatan dengan bilangan penduduk yang cukup ramai. Sekurang-kurangnya 12 buah kota besar telah didirikan oleh orang Sumeria dan Ur ialah satu diantara kota terbesar dengan bilangan penduduk mencapai 24,000 orang. Dengan pengkhususan kerja bagi penduduk-penduduk tersebut maka lahirlah tamaddun yang pertama, iaitu Tamadun Sumer sekitar tahun 3800 SM.

Amalan pertanian di Kepulauan Nusantara termasuk kawasan Madai di Daerah Kunak juga telah berlaku pada zaman tamadun Sumer. Namun, oleh kerana bilangan penduduk yang tidak begitu ramai kegiatan pertanian tidak dilakukan dalam kelompok yang besar. Nisbah penduduk yang kecil berbanding kawasan tanah subur membolehkan setiap keluarga memilih kawasan bercucuk tanam masing-masing tanpa banyak gangguan. Dalam keadaan tiada perebutan kawasan mereka meninggalkan kawasan yang telah ditanami beberapa kali dan dianggap tidak subur lagi, untuk membuka kawasan baru. (shifting cultivation)

Tidak dapat dikenal pasti jenis tanaman awal yang diusahakan oleh masyarakat purba di pantai timur Sabah. Andaian yang paling logik ialah jenis tanaman yang boleh didapati secara semulajadi di kawasan tersebut seperti keladi dan taro. Padi mungkin juga telah diperkenalkan ke kawasan ini oleh pelayar-pelayar dari Taiwan atau Sulawesi. Di Sulawesi bukti arkeologi menunjukkan bahawa tanaman tersebut telah wujud di pulau tersebut sejak tahun 3000 SM.

Kegiatan pertanian secara berpindah-randah telah membawa kepada kolonisasi di lain-lain kawasan di Sabah dan Borneo khasnya dan Kepulauan Asia Tenggara dan Pasifik amnya. Apabila sesuatu keluarga semakin membesar, mereka berpecah untuk membuka kawasan baru masing-masing. Masa berlalu, logat dan bahasa mereka berkembang secara berasingan hingga wujudlah berbagai etnik suku kaum. Rujuk blog abnaddin atau MySabah untuk gambar-gambar etnik suku kaum di Sabah)

Di kawasan-kawasan yang sesuai padi mula di tanam. Di Gua Sireh, Sarawak, peninggalan padi dari sebelum tahun 2000 SM telah ditemui. Gua Madai terus sepi tanpa penghuni melainkan sekali-sekala dijadikan sebagai tempat persinggahan antara tahun 2000 SM hingga 500 SM.

No comments: