Wednesday, July 15, 2009

HARAPAN PEMBELAAN

"Kita hendaklah lebih proaktif dan bukan setakat menunggu di pejabat untuk masyarakat datang mengadukan masalah mereka. Kita hendaklah meredah ke pelusuk kampung dan desa untuk melihat sendiri keadaan. Di sana mungkin terdapat golongan yang tidak mampu untuk datang berjumpa dengan kakitangan kerajaan bagi mendapatkan bantuan yang amat mereka perlukan".
Demikian antara pesanan ADUN Kunak, YB Nilwan Kabang (Memakai baju merah dalam gambar di sebelah kanan meniti batang reput menyeberang paya belukar menuju kawasan perkampungan) kepada kakitangan Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) Kawasan N51 Kunak yang diketuai oleh Encik Halid Harun selaku Pemimpin Kemajuan Rakyat.

Berpandukan kepada pesanan ini, Puan Jahinah Kabang (Pemaju Mukim), Puan Kasmariah Alaman (Pemaju Masyarakat) dan Encik Marzin Solah (Pengerusi JKKK) hari ini masuk ke penjuru Kampung Lormalong dan Kampung Kabog untuk mencari golongan seperti yang disebutkan oleh YB Nilwan.

Saya sempat bersama mereka untuk merakamkan (walau hanya menggunakan asesori kamera pada telefon bimbit) beberapa gambaran kehidupan penduduk kampung berkenaan yang paling memerlukan pembelaan.


Gambar 1, Kampung Lormalong: Di rumah ini berteduh dua beradik warga emas, Hamidah Binti Daud dan adiknya Aminah Binti Daud. Hamidah sudah lama mengalami penyakit lumpuh dan terpaksa ditanggung oleh Aminah yang bekerja sebagai pembantu rumah dengan pendapatan RM 250.00 sebulan.


Gambar 2, Kampung Lormalong: "Apabila hujan kami sekeluarga berkumpul pada satu sudut rumah dan mengambil tikar getah untuk melindungi diri dari kebasahan. Bumbung rumah ini sudah bocor di sana-sini. Dengan pendapatan suami saya yang bekerja sebagai buruh di ladang kelapa sawit, kami tidak mampu mengganti bumbung usang ini dengan yang baru", keluh isteri Encik Sagar Bin Kaki, Puan Sadia Aman.
Pasangan ini mempunyai 8 orang anak, 6 darpadanya masih bersekolah manakala 2 orang lagi termasuk dalam golongan "kanak-kanak istimewa" (dalam gambar di atas bersama Pn Jahinah & Pn Kasmariah) dan tidak bersekolah. Mohd Azman (anak sulung) cacat pendengaran sejak lahir manakala Mohd Adil mengalami cacat anggota.

Gambar 3, Kampung Lormalong: Encik Luyar Bin Kabun yang berusia lebih 80 tahun membina gubuk ini bersama isterinya untuk tempat berlindung. Gubuk ini tidak bertiang manakala lantainya hanyalah bumi Allah yang dialas dengan kepingan papan lapis. Dindingnya pula diperbuat daripada kepingan zink usang dan serpihan-serpihan papan yang mereka kutip dari tempat pembuangan sisa pembinaan.
Pasangan warga emas ini mempunyai dua orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan. Kedua-dua anak mereka itu sudah berkeluarga dan mempunyai tanggungan masing-masing. Anak lelaki mereka bekerja sebagai buruh di Semenanjung Malaysia manakala yang perempuan isteri kepada seorang buruh ladang di FELDA Sahabat dan ibu kepada 4 orang anak. Encik Luyar suami isteri menampung keperluan hidup mereka dengan wang pembahagian dari Koperasi Rancangan Lormalong yang bernilai antara RM10 hingga RM50 sebulan.


Gambar 4, Kampung Lormalong: Rumah dengan lantai yang jelas reput dan bumbumng bocor ini didiami oleh 11 orang dari tiga keluarga.


Gambar 5, Kampung Lormalong: Rumah usang ini didiami oleh keluarga Encik Ajix Ajam yang terdiri dari 6 orang.




Gambar 6, Kampung Lormalong: Kediaman Pengerusi JKKK Kampong Lormalong, Encik Marzin Solah juga sudah reput dan lantainya terpaksa ditongkat dengan kayu beruti supaya tidak runtuh.


Gambar 7: Kampung Kabog, Rumah dengan dinding yang tidak sempurna, lantai reput dan bumbung bocor ini didiami oleh Encik Abdul Bin Sabturani, isterinya serta 9 orang anak. Menurut Encik Abdul, dia terpaksa menghadkan pendidikan anak-anaknya setakat Tingkatan 3 kerana tidak mampu untuk membiayai persekolahan mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

"Kami akan berbincang dengan YB Nilwan dan berhubung dengan pihak Jabatan Kebajikan dan pihak berkuasa tempatan Daerah Kunak agar perhatian dan bantuan yang sewajarnya dapat disalurkan dengan secepat yang mungkin", ujar Puan Jahinah kepada para penghuni rumah yang dilawat.
Jelas terbayang harapan pembelaan diwajah mereka. Ucapan terimakasih dan senyum dibibir mereka sudah cukup untuk meringankan rasa letih dan dahaga yang kami alami akibat berjalan dibawah terik matahari dari pagi hingga ke awal petang.

1 comment:

MutiaraBah said...

Salam,

Tanpa syak lagi, mereka yang disenaraikan dalam rencana ini tentunya merupakan antara golongan sasar yang menjadi fokus para pemimpin ketika mencetuskan idea murni dan perlaksanaan PROJEK PERUMAHAN RAKYAT TERMISKIN (PPRT).

Semoga keprihatinan dan menyelami hati rakyat akan terus menjadi teras perkhidmatan YB Nilwan dan kakitangannya. YB yang sememangnya terkenal sebagai seorang yang cukup 'humble' dan menjiwai kehidupan dan keperluan rakyat sewajarnya mendapat kerjasama dan sokongan dari segenap lapisan masyarakat.

Idea yang baik dan perancangan rapi hanya boleh dilaksanakan melalui tindakan dan kerjasama erat semua pihak terutama penjawat awam dan pemimpin masyarakat sama ada pada peringkat kampung seperti KK dan JKKK seterusnya peringkat pertengahan seperti kakitangan UPKR hinggalah keperingkat pentadbir termasuk DO dan ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan semuanya harus melaksanakan tugas secara berkesan.

Sikap berdiam diri dan berpeluk tubuh di pejabat dan menunggu rakyat datang mengadu adalah antara klu atau pertanda bahawa masanya telah tiba untuk penjawat awam tersebut digantikan. Ini adalah kerana sikap negatif sedemikianlah yang menyebabkan usaha dan rancangan pembangunan yang dirancang untuk rakyat terbantut dan tidak sampai ke golongan sasar.

Labih parah lagi bagi mereka yang senantiasa berfikir dalam ruang kotak fikiran peribadinya. Dalam ertikata mereka yang senantiasa berfikir untuk memanfaatkan hak milik awam untuk mengumpul kekayaan peribadi dan mengabaikan kebajikan rakyat marhain.

Semoga Tuhan terus memberi hidayah dan ilham kepada YB Nilwan dan pemimpin masyarakat di Daerah Kunak, khasnya dan di Sabah dan Malaysia amnya.... untuk membawa Kunak terus maju seiring dengan daerah lain di Malaysia malah mencapai taraf dunia.. tiada yang mustahil dengan izin Allah. Amin