Monday, March 11, 2013

PRU-13: Calon Pilihan Parti vs Calon Pilihan Rakyat

Berikutan pengisytiharan pembebasan Kg Tanduo dari cengkaman militan Sulu maka ramai yang menjangka pengisytiharan pembubaran dewan rakyat akan segera menyusul diikuti pengumuman tarikh pilihanraya umum ke-13.


Dalam pada itu wakil-wakil rakyat sediada tentunya menanti penuh debaran samada mereka akan dicalonkan semula oleh parti masing-masing atau sebaliknya, digantikan dengan calon lain. Turut dag-dig-dug ialah jantung para pelobi, lebih-lebih lagi yang telah awal-awal mencanangkan diri sebagai "confirm" dialah akan jadi calon parti itu dan parti ini. 

Semasa 12 PRU yang lepas, parti-parti yang ada di negara ini umumnya meletakkan calon di setiap kawasan pilihanraya dari kalangan ahli-ahli parti sahaja, terutama yang ada jawatan tertentu dalam parti. Dalam menghadapi PRU-13 parti yang mengekalkan prinsip sedemikian kemungkinan besar akan kehilangan populariti.

Trend pengundi masa kini nampaknya semakin cenderung untuk menjurus kepada sikap memilih calon yang mereka yakini benar-benar mampu membawa kemajuan kepada kawasannya dan teguh dalam memperjuangkan hak masyarakat yang diwakilinya. Oleh sebab itu tidak hairanlah jika terdapat individu tertentu yang merupakan pendukung kuat sesuatu parti mengagumi seorang pemimpin dari parti lawan dan sedia memberikan undi kepada pemimpin itu jika dicalonkan di kawasannya. Lebih daripada itu, ada pula pemimpin sesuatu parti yang mengaku bahawa dia akan menolak pencalonan oleh partinya jika calon parti lawan di kawasannya adalah individu tertentu, yang menurut pandangannya mempunyai ciri kepimpinan yang lebih baik.

Sikap pengundi ini juga membawa kepada penolakan terhadap 'politik perkauman'. Terdapat kawasan tertentu dimana calon yang pengundi paling inginkan merupakan individu dari kalangan minoriti masyarakat di kawasan tersebut. Namun begitu segelintir pengendali (admin) sesawang pendukung parti politik tertentu masih lagi berusaha mengapi-apikan sentimen perkauman - suatu langkah yang lambat laun akan 'membakar diri sendiri' serta parti yang diwakilinya.

Pucuk pimpinan parti-parti yang bertanding dalam PRU-13 akan datang sememangnya mempunyai tugas yang berat namun amat mustahak dalam usaha membolehkan partinya menang. Kesilapan dalam menentukan calon akan membawa padah kepada parti itu.

Di kalangan pemimpin Barisan Nasional (BN) terdapat beberapa ahli Yang Berhormat yang menyedari hakikat ini dan awal-awal lagi menyatakan kesediaan untuk "tidak dipilih" semula sebagai calon pada PRU-13. Contohnya ialah ADUN Jertih yang juga mantan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh yang  menjelaskan beliau sedia tidak dipilih semula sebagai calon pilihanraya umum ke 13 tetapi ini tidaklah bermaksud beliau ' tidak mahu'.

"Ia membawa maksud yang berbeza sama sekali. Sebenarnya saya tidak mahu menyulitkan Datuk Seri Najib membuat pilihan calon apabila saya kata saya sedia tidak dipilih semula," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Jertih itu berkata beliau menyerahkan sepenuhnya penentuan dibuat Perdana Menteri. " Bila membuat pendirian itu, kalau kita tidak terpilih semula...ia tidak ada masalah."

Pendirian DS Idris ini bermaksud jika Perdana Menteri memutuskan beliau bertanding maka beliau akan menerimanya. Jadi terpulanglah kepada pucuk pimpinan BN untuk menilai samada DS Idris atau ada orang lain yang merupakan calon pilihan majoriti pengundi Jertih.

Secara terbuka, pendirian DS Idris itu turut dikongsi oleh ramai pemimpin BN, namun samada pendirian itu benar-benar ikhlas atau sebaliknya, hanya dapat kita pastikan selepas parti itu mengumumkan senarai calon mereka.

Justru, jika pemimpin parti mahukan seruan "Sokong Siapa Juga Calon Yang Ditentukan oleh Pucuk Pimpinan" disambut baik, maka pucuk pimpinan perlu benar-benar teliti agar calon itu merupakan pilihan majoriti pengundi kawasan berkenaan.

Bagi penulis, kriteria utama bagi pemilihan calon di pihak Pakatan Rakyat (PR) belum lagi jelas. Mungkinkah  mereka akan terus mengekalkan formula "satu-lawan-satu" dalam usaha merealisasikan agenda utama mereka iaitu "menumbangkan BN"? Dalam hal ini, Kalakau Untol seorang anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR memandang calon bebas serta calon-calon parti yang tidak bernaung di bawah PR sebagai 'agen pemecah undi' bagi pihak BN.

No comments: