Enau atau nama saintifiknya Arenga pinnata adalah sejenis pokok palma yang tumbuh semulajadi di kawasan tropika Asia. Tumbuhan ini dikenal dengan pelbagai nama seperti nau, hanau, peluluk, biluluk, kabung, juk, ijuk, kawung, taren,akol, akel, akere, inru, indu, moka, moke, tuwa, tuwak, dan lain-lain.
Bangsa Belanda mengenalnya sebagai arenpalm atau zuikerpalm dan bangsa Jerman menyebutnya zuckerpalme. Dalam bahasa Inggris disebut sugar palm atau Gomuti palm.
Suatu ketika dahulu terdapat lebihkurang 40 pokok tumbuhan ini di belakang rumah kami yang ditanam oleh arwah bapa. Benihnya dibawa oleh seorang pekerja ladang yang berasal dari Sulawesi Selatan. Kini hanya tinggal sepohon yang tumbuh di hadapan rumah berhampiran bengkel industri asas tani.
Pokok Enau ini adalah satu-satunya yang tinggal |
Pokok enau biasanya mula mengeluarkan buah apabila berusia 12 hingga 15 tahun, namun enau di hadapan rumah kami ini berbuah dalam usia 10 tahun. Pohonnya rendah sahaja berbanding 20 meter pada kebiasaannya.
Seperkara yang unik bagi pokok enau berbanding pokok palma besar yang lain seperti kelapa, kelapa sawit dan pinang, ialah setelah mula mengeluarkan tandan buah pertumbuhan pokok enau terhenti. Ia tidak lagi meninggi dan tidak juga mengeluarkan pelepah baru.
Enau adalah tumbuhan biseksual iaitu pokok yang sama mengeluarkan tandan jantan dan juga tandan betina. Tandan yang mula dihasilkan ialah tandan betina. Buah pada tandan betina di bahagian bawah matang terlebih dahulu. Oleh kerana pertumbuhan pokok enau terhad maka bilangan tandan betina yang dikeluarkan oleh sesuatu pokok enau juga terhad, biasanya kurang daripada 10 tandan.
Selepas semua tandan betina terbentuk tandan jantan mula dihasilkan di bahagian bawah batang pokok. Kematangan tandan jantan bermula dari tandan yang terletak di bahagian atas.
Tandan jantan disadap untuk memperoleh nira enau. Nira segar berwarna kekuningan, seperti air teh yang kurang kaw. Rasanya amat manis dan dipercayai mempunyai banyak khasiat sebagai minuman untuk kesihatan. Namun, jika tidak segera disejukbekukan atau dididihkan nira enau boleh berfermentasi menghasilkan cecair beralkohol (arak) kemudian bertukar pula menjadi cuka.
Saya telah menyadap tandan jantan enau yang terdapat dihadapan rumah kami. Sebahagian nira yang terhasil disejukbekukan sebagai simpanan untuk minuman ekzotik dan sebahagian lagi dimasak menjadi gula enau. Di Kunak ia dikenali sebagi gula merah kerana warnanya yang cokelat kemerahan. Gula enau yang boleh dibeli di Pasar Minggu Kunak kebanyakannya diimpot dari Indonesia.
Nira yang telah mendidih dan hampir menjadi gula |
Setelah beberapa lama dididihkan, nira mengental menjadi cairan gula. Cairan itu dituang ke dalam acuan dan dibiarkan menyejuk mengikut suhu sekitaran. |
Apabila suhu gula mencapai suhu sekitaran (lebihkurang 28 darjah Celsius) ia akan mengeras dan boleh dikeluarkan dari acuan. Inilah bongkah gula enau yang terhasil dari proses di atas. |
No comments:
Post a Comment