"andaian bahawa ia (terowong Misteri Mostyn) dibina oleh tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua sukar diterima. Ini adalah kerana, tentera Jepun menduduki Negeri Sabah hanya dalam tempoh 4 tahun. Agak luar biasa untuk mereka mampu membina terowong selebar lebihkurang 15 kaki dengan ketinggian juga 15 kaki sepanjang 12 km seperti yang didakwa dalam tempoh tersebut. Perlu diingat bahawa jentera pengorek di Borneo pada ketika itu belum ada lagi. Mungkinkah terowong itu sebenarnya merupakan "gua bawah tanah"?"
Terowong yang terdapat di kawasan perladangan Sime Darby di Kunak itu pada hemat saya kemungkinan besarnya terbentuk ketika berlakunya letupan Gunung Merapi Mostyn sekitar 30 ribu tahun dahulu.
Lahar panas dengan suhu sehingga 2000 darjah Fahrenheit mengalir dari kawasan tanah tinggi di sekitar gunung merapi ke kawasan lebih rendah. Ia lalu membentuk terusan sebagaimana air membentuk sungai.
Bahagian permukaan aliran lahar itu, yang terdedah kepada atmosfera, menyejuk dan membeku lebih cepat berbanding dengan bahagian dalam. Bahagian permukaan yang membeku itu membentuk lapisan yang disebut karst. Ia bertindak sebagai penebat yang melambatkan penyejukan lahar bahagian dalam. Di bawah lapisan karst itu lahar terus mengalir hingga beberapa kilometer sebagaimana bekalan air dari loji penapisan mengalir dalam paip ke tangki-tangki simpanan air.
Pada tahap awal, terusan lahar itu agak cetek dan lapisan karst lebih tipis. Dengan tambahan aliran lahar dari gunung merapi, sebahagian lahar memecah keluar ke permukaan kemudian membeku mengakibatkan lapisan karst bertambah tebal. Maka terbentuklah tiub lahar.
Aliran lahar yang berterusan menghakis tanah di tepi dan dibawahnya menyebabkan tiub lahar itu menjadi lebih dalam dan lebih luas. Tiub itu boleh menjadi amat besar sehingga lahar hanya mengalir sehingga separuh daripada kedalaman tiub itu dan bahagian atas dipenuhi dengan gas yang amat panas.
Dengan terhentinya letupan gunung dan berakhirnya penghasilan lahar dari gunung tersebut maka tinggallah tiub yang dipenuhi dengan gas-gas panas. Sisa-sisa lahar di dasar tiub itu juga akhirnya menyejuk dan membeku. Maka terbentuklah tiub-tiub lahar yang besar seakan-akan terowong yang dibina oleh manusia.
No comments:
Post a Comment