Thursday, July 1, 2010

Kenapa Pemimpin Kunak Beri Tumpuan Pada Naik Taraf Jalan

Jalan Tun Fuad dan Jalan Kg Selamat sudahpun siap diturap pada penghujung tahun 2009. Baru-baru ini pula, iaitu pada 30 Jun 2010 ADUN Kunak, YB Datuk Nilwan Kabang merasmikan Jalan Pengkalan Madai sepanjang 4 kilometer yang baru selesai diturap dengan kos RM 3.9 juta. Jalan Pangi hampir siap diturap manakala Jalan Dasar Baru dan Jalan Ulu Madai sedang dalam pembinaan. Begitulah kerancakan usaha naik taraf jalan di Daerah Kunak akhir-akhir ini.

Kenapa kerajaan sanggup membelanjakan wang yang begitu besar, dan kenapa ADUN Kunak memberi perhatian yang begitu tinggi terhadap kerja-kerja menaiktaraf jalan?  


Pengangkutan dan Kepentingan Ekonomi


Sektor pengangkutan merupakan komponen penting dalam ekonomi yang mempengaruhi kadar pembangunan dan kebajikan penduduk. Sistem pengangkutan yang efisien membuka peluang-peluang peningkatan ekonomi dan sosial kerana ia memberi kesan positif yang berganda dari segi kemudahan pemasaran, peluang pekerjaan dan pelaburan tambahan. Sebaliknya sistem pengangkutan yang kurang cekap samada dari segi kapasiti mahupun reliabiliti, akan meningkatkan kos perekonomian, misalnya berkurangnya atau ketiadaan peluang. Pengangkutan juga mempengaruhi keadaan sosial dan persekitaran. Dengan itu secara am pengaruh sistem pengangkutan terhadap ekonomi boleh jadi secara langsung atau tidak langsung.
  • Pengaruh Secara Langsung ialah yang berkaitan dengan keadaan dimana sistem pengangkutan memungkinkan peningkatan pemasaran serta menjimatkan masa dan kos.
  • Pengaruh Secara Tak Langsung ialah yang berkaitan dengan kesannya sebagai pengganda ekonomi, dimana ia menyebabkan penurunan harga komoditi, barangan atau perkhidmatan dan/atau bertambahnya pilihan.
Impak sistem pengangkutan bukan semuanya disengajakan, dan boleh sahaja memnimbulkan keadaan-keadaan yang tidak diduga atau tidak diingini, misalnya kesesakan. Mobiliti merupakan ciri-ciri asas yang penting bagi kegiatan ekonomi kerana ia memenuhi keperluan asas untuk mampu bergerak dari suatu tempat ke tempat yang lain, suatu keperluan yang dikongsi oleh penumpang, barangan dan maklumat. Keperluan mobiliti adalah berbeza-beza mengikut sistem ekonomi dan juga kawasan kerana kebanyakannya berada pada tahap peralihan mobiliti yang berlainan. Ekonomi denghan mobiliti lebih tinggi selalunya lebih berpeluang untuk berkembang maju. Mobiliti yang rendah menghambat kemajuan menakala mobiliti yang lebih tinggi merupakan rangsangan kepada kemajuan. Dengan yang demikian, mobiliti boleh dijadikan sebagai petanda aras kemajuan atau pembangunan.
Dari keperluan mobiliti ini pula maka timbul industri yang menawarkan perkhidmatan kepada yang memerlukan, membuka peluang pekerjaan kepada penduduk, membuat pelaburan dan menghasilkan pendapatan. Justru itu, kepentingan ekonomi industri pengangkutan boleh dinilai dari perspektif ekonomi makro dan juga ekonomi mikro:
  • Dari segi ekonomi makro (kepentingan sistem pengangkutan bagi keseluruhan ekonomi), pengangkutan dan mobiliti yang dijana adalah berkaitan dengan tahap pengeluaran, peluang pekerjaan serta pendapatan dalam ekonomi sesebuah negara. Di banyak negara maju, pengangkutan menyumbang antara 6 hingga 12 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
  • Dari segi ekonomi mikro (kepentingan sistem pengangkutan bagi sesuatu bahagian tertentu dalam ekonomi), sistem pengangkutan dikaitkan dengan kos pengeluar, pengguna dan pengeluaran. Dengan itu kepentingan kegiatan tertentu dalam pengangkutan dan infrastruktur boleh dinilai bagi setiap sektor ekonomi. Secara purata, pengangkutan adalah antara 10 hingga 15 peratus daripada belanja sesebuah isirumah, dan lebihkurang 4 peratus daripada kos pengeluaran barangan perkilangan. Walau bagaimanapun, angka tersebut adalah berbeza-beza mengikut sub-sektor.
Pengangkutan menghubungkan faktor-faktor pengeluaran dalam jaringan hubungan yang kompleks antara pengeluar dan pengguna. Ia memungkinkan agihan pengeluaran yang lebih efisien dengan menggunapakai kelebihan dan keistimewaan sesuatu lokasi pengeluaran juga sebagai jalan untuk membangun ekonomi berasaskan saiz dan skop. Dengan itu, produktiviti ruang, modal dan tenaga kerja dipertingkatkan melalui keberkesanan agihan dan mobiliti kakitangan. Tidak dapat dinafikan bahawa hubungan antara perkembangan ekonomi dengan pembangunan sistem pengangkutan semakin berkait rapat, terutama infrastruktur serta kecekapan pengurusan yang amat penting untuk logistik. Kepentingan sistem pengangkutan boleh dinilai dari aspek-aspek berikut:
  • Jaringan (Networks). Mewujudkan laluan bagi entiti ekonomi yang baru mahupun yang sedia ada untuk berinteraksi antara satu sama lain.
  • Pencapaian. Penjimatan kos dan masa untuk penumpang dan juga penghantaran barangan.
  • Reliabiliti. Pencapaian yang lebih baik dari segi masa terutamanya dari segi ketepatan masa, begitu juga dengan pengurangan kerugian atau kerosakan.
  • Saiz Pasaran. Capaian kepada pusat-pusat pemasaran yang lebih meluas yang memungkinkan kadar pengeluaran boleh ditingkatkan dan edaran serta penggunaan dapat diperluaskan.
  • Produktiviti. Peningkatan produktiviti melalui capaian lebih meluas terhadap input (bahan mentah, alat ganti, tenaga atau teaga kerja) serta pasaran lebih terbuka untuk kepelbagaian keluaran (barangan separuh siap atau siap sepenuhnya).

No comments: