Monday, July 5, 2010

Dendang Suku Kaum Cocos

Rekod Jenayah Menurun 
Rekod jenayah yang melibatkan suku kaum Cocos, khususnya di Daerah Kunak telahpun menurun. Demikian menurut Yang Dipertua Persatuan Cocos (PECOS) cawangan Kunak, Encik Hydel Bin Abah. Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluannya di Majlis Malam Kebudayaan PECOS yang diadakan pada 3 Julai 2010 bertempat di Mini Dewan Kampong Skim Cocos, kira-kira 12 kilometer dari Pekan Kunak.
"Saya telahpun bertanyakan keadaan ini di Ibupejabat Polis Daerah Kunak dan diberitahu bahawa walaupun masih ada kejadian jenayah yang melibatkan suku kaum Cocos namun bilangannya telahpun berkurangan pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya", tambah Encik Hydel.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah Kawasan N51 Kunak, Datuk Nilwan Bin Kabang, yang menjadi tetamu kehormat pula memberitahu bahawa di zaman persekolahandi Lahad Datu, beliau banyak berinteraksi dengan pelajar-pelajar dari suku kaum Cocos. Beliau dapati sememangnya mereka merupakan golongan yang mudah mesra dan peramah.
Mereka Suka Berdendang
"Saya dapati orang Cocos tidak suka bergaduh, saya dapati mereka suka berdendang", kata Datuk Nilwan berseloroh mengingatkan kembali nostalgia zaman tahun 60an dimana suku kaum Cocos terkenal dengan acara tari-menari atau lebih dikenali sebagai "Dendang". 
Di Daerah Kunak pada masa itu, dendang selalunya diadakan selepas hari menerima gaji dari majikan. Acara itu melibatkan sekumpulan pemuzik yang mengiringi gadis-gadis penari. Pengunjung yang umumnya terdiri daripada teruna-teruna akan mempelawa mana-mana antara gadis-gadis tersebut untuk menari bersama dengan sedikit bayaran.


Turut menjadi tetamu kehormat dalam majlis tersebut ialah Ahli Parlimen P188 Silam, Tuan Haji Salleh Kalbi.
"Walaupun merupakan golongan minoriti, suku kaum Cocos tetap mempunyai hak yang sama dengan lain-lain kaum dan mampu tampil ke hadapan memegang jawatan tinggi dalam jabatan-jabatan kerajaan dan swasta, malah mampu menjadi sebahagian daripada pemimpin terkemuka negara", jelas Tuan Haji Salleh.
Beliau memberi contoh ketokohan Datuk Railey Jeffrey yang menjadi Ahli Parlimen Silam selama tiga penggal dan pernah memegang jawatan timbalan menteri.


Malam Kebudayaan itu diserikan dengan persembahan tarian "Dansa Cocos", "Nona Samba", tarian a'la Dendang bersama orang ramai dan persembahan nyanyian dari ahli-ahli PECOS.


No comments: