Thursday, December 31, 2009

TAHUN 2010 - TAHUN BIODIVERSITI

Tahun 2010 akan bermula esok, iaitu hari Jumaat. Kebetulan pula tahun baru Hijrah juga jatuh pada hari Jumaat, iaitu pada 18 haribulan yang lepas.
Dalam Kalendar Gregorian, ia merupakan tahun ke-2010 bagi Era Biasa (Common Era), atau Anno Domini; tahun ke-10 bagi millennium ke-3 dan abad ke-21; dan yang pertama bagi dekad 2010an.
Sebagaimana yang telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tahun 2010 merupakan Tahun Biodivesiti Antarabangsa. Ia merupakan tahun yang dirancang untuk dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti yang meraikan dan menghargai sumbangan biodiversiti dan kepentingannya. Diharapkan ia dapat menimbulkan kesedaran akan pentingnya biodiversiti seantero dunia. Usaha dari semua pihak diperlukan untuk membantu memulihara biodiversiti. Melalui aktiviti-aktiviti yang akan dianjurkan di  banyak negara, komuniti global akan bekerjasama bagi menjamin masa depan yang mapan bagi kita semua.
Umat manusia adalah sebahagian daripada kekayaan kepelbagaian alam semulajadi dan memiliki kemampuan untuk melindunginya dan juga memusnahkannya.
Biodiversiti, iaitu kepelbagaian hidupan di permukaan Bumi, adalah mustahak bagi kelangsungan rangkaian dan sistem kehidupan yang menyumbang kepada kesihatan, kekayaan, makanan, bahan bakar serta perkhidmatan yang menjadi tunjang kehidupan kita.




Kegiatan manusia telah menyebabkan kemusnahan yang semakin meningkat terhadap kepelbagaian hidupan di Bumi. Kehilangan itu tidak dapat ditemui kembali, menyebabkan kita berada dalam keadaan kekurangan dan mengakibatkan sistem sokongan hidupan harian kita terganggu.
Antara matlamat utama Tahun Biodiversiti Antarabangsa ialah:

  • Meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan memulihara biodiversiti dan risiko yang sedang mengancam biodiversiti.
  • Meningkatkan pengetahuan tentang kejayaan yang telah dicapai oleh masyarakat dan kerajaan dalam usaha pemuliharaan biodiversiti.
  • Memacu penyelesaian innovatif bagi mengurangkan risiko ancaman ke atas biodiversiti.
  • Menggalakkan individu, organisasi dan kerajaan untuk mengambil langkah-langkah segera bagi menghentikan kehilangan biodiversiti.
"Selamat Menyambut Tahun 2010"


No comments: