Thursday, December 10, 2009

HIJRAH: SELAMAT TINGGAL TUVALU, SELAMAT BERPISAH MALDIVES

Dewasa ini, erti penghijrahan yang barangkali paling banyak bermain di fikiran ialah bagi penduduk dua buah negara kepulauan terumbu, iaitu Tuvalu dan Maldives.



Tuvalu atau dahulunya dikenali sebagai Kepulauan Ellice, ialah sebuah negara kepulauan di Lautan Pasifik, terletak di antara Hawaii dan Australia dan terdiri daripada 9 kumpulan pulau terumbu.


Dengan bilangan penduduk seramai 12,000 orang, Tuvalu merupakan negara berdaulat ketiga paling sedikit penduduk, selepas Vatican City dan Nauru. Keluasan daratan Tuvalu cuma 26 kilometer persegi menjadikan ia negara keempat paling kecil selepas Vatican City (0.44 km persegi), Monaco (1.95 km persegi) dan Nauru (21 km persegi).


Secara purata daratan Tuvalu berada hanya 2 meter di atas paras laut dengan daratan paling tinggi ialah 4.5 meter. Ini menjadikan Tuvalu negara kedua berada pada paras paling rendah selepas Maldives yang purata ketinggiannya hanya 1.5 meter dengan daratan paling tinggi pada paras 2.3 meter.


Berikutan dengan masalah pemanasan global, penduduk Tuvalu menjadi resah. Peningkatan paras air laut pada masa kini ialah pada kadar antara 2.4 hingga 3.8 millimeter setahun. Kenaikan paras air laut itu sebahagian besarnya berpunca akibat pemanasan global.


Pemanasan global menaikkan paras air laut dengan dua cara, iaitu pengembangan isipadu air dan pencairan blok-blok ais dan “glacier” di kutub. Sebilangan saintis menganggarkan bahawa dengan kadar pemanasan yang berlaku sekarang, paras air laut akan meningkat sehingga 1.3 meter dalam kurun akan datang.


Jika anggaran ahli-ahli sains itu menjadi kenyataan, Maldives hanya tinggal 20 sentimeter manakala Tuvalu hanya 70 sentimeter di atas air. Sebahagian besar daratan kedua-dua negara tersebut akan ditenggelami air dan daratan yang tinggal akan diresapi oleh air laut. Keadaan tanah akan terlalu masin dan tiada tumbuhan yang boleh hidup.


Meski berat hati untuk meninggalkan tanah tumpah darah mereka, namun mereka terpaksa jua berhijrah ke kawasan yang lebih selamat.


Kemanakah 310 ribu penduduk Maldives dan 12 ribu penduduk Tuvalu akan membawa diri demi meneruskan kehidupan? Negara manakah yang sanggup menerima mereka? Atau adakah mereka akan tenggelam ke dasar laut bersama negara mereka?


Persoalan-persoalan sedemikian sedang menghantui fikiran 322,000 umat manusia di kedua negara itu. Yang menyedihkan, bagi dua buah negara ini ialah isu pemanasan global yang menjadi punca masalah, bukanlah datang dari mereka. Sebaliknya masalah itu adalah akibat dari aktiviti negara-negara maju yang banyak mencemarkan udara.


Kebanyakan penduduk Tuvalu sudah bersiap-sedia untuk berhijrah. New Zealand dan Australia merupakan dua negara utama yang menjdi pilihan mereka. Ada pula yang rela tenggelam bersama Tuvalu yang mereka cintai.





Bagi Maldives pula, presidennya, Mohamed Nasheed telah mengatur rancangan membeli kawasan tanah di negara-negara lain menggunakan pendapatan kewangan yang diperoleh dari hasil industri pelancongan. Ke situlah rakyatnya akan dipindahkan jika akhirnya perubahan iklim mengakibatkan tenggelamnya negara mereka.


Keindahan Tuvalu dan Maldives akan hanya tinggal kenangan dalam memori umat manusia.


Selamat tinggal Tuvalu, Selamat jalan Maldives.

No comments: