Wednesday, August 19, 2009

PENDIDIKAN SEPANJANG HAYAT

Penduduk Kunak diingatkan agar mengambil peluang untuk menimba ilmu selagi hayat masih ada. Gesaan ini dibuat oleh ADUN N51 Kunak, Yang Berhormat Encik Nilwan Kabang dalam ucapannya di Majlis Penutupan Kursus Literasi Komputer Desa di Kampung Kunak Jaya Kunak pada 17 Ogos 2009. Kursus anjuran KEMAS itu telah disertai oleh 20 orang peserta dari 12 buah kampung di Daerah Kunak dan telah berlangsung selama 12 hari bermula dari 5 hingga 16 Ogos 2009.

“Tidak akan berjaya usaha kerajaan untuk mendahulukan rakyat, jika rakyat sendiri tidak mahu bergerak ke hadapan”, kata Nilwan kepada para hadirin di Dewan Mini Kg Kunak Jaya. Beliau seterusnya menambah, “Kita berterimakasih kepada pihak KEMAS kerana sudi membawa para pegawainya berkampung di Kunak ini selama 12 hari semata-mata untuk memberikan bimbingan kepada kita agar kita dapat memanfaatkan teknologi komputer seiring dengan masyarakat di bandar. Tahniah kepada tuan-tuan dan puan-puan yang telah berjaya mengikuti kursus ini dengan sepenuhnya. Kepada yang belum berkesempatan, rebutlah peluang-peluang yang akan datang kerana berbagai program ilmu telah dianjurkan, sedang dijalankan dan akan dirancang pada masa-masa akan datang”.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pegawai Perhubungan KEMAS bagi kawasan Parlimen 188 Silam Encik Lajarasa, Pemimpin Kemajuan Rakyat N51 Kunak Encik Halid Harun, Pegawai Kemajuan Masyarakat Puan Hajjah Maimunah Datuk Zainal dan pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.

No comments: