Friday, August 21, 2009

MAJLIS PERMUAFAKATAN PENDIDIKAN DAERAH KUNAK

Seawal pukul 8.15 pagi pada 20 Ogos 2009, bilik mesyuarat Pejabat Pelajaran Daerah (PPD)Kunak sudah mula dipenuhi oleh para jemputan ke mesyuarat penubuhan Majlis Permuafakatan Pendidikan Daerah Kunak (MPPDK). Akhirnya, mesyuarat yang sudah berkali-kali ditunda ini akhirnya berjalan dengan lancar dan tertubuhlah MPPDK yang dipengerusikan oleh Pegawai Pelajaran Daerah dan dianggotai oleh kakikitangan PPD Kunak, pengetua-pengetua dan guru-guru besar sekolah, pengerusi-pengerusi PIBG dan ketua-ketua jabatan kerajaan. Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah Kawasan N51 dilantik sebagai Penaung bersama Pengarah Pelajaran Negeri Sabah manakala Pegawai Daerah Kunak berperanan sebagai penasihat.

Dalam ucapannya, Pegawai Pelajaran Daerah Kunak, Encik Zamri Pehakan memberitahu bahawa antara tujuan penubuhan PPPDK ialah untuk menggembeling tenaga serta buah fikiran masyarakat setempat dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan di Daerah Kunak. Mengenai keadaan binaan beberapa bangunan sekolah yang kurang berkualiti, Encik Zamri menyeru agar pihak kontraktor yang terlibat mempunyai rasa tanggungjawab yang lebih tinggi. Menurut beliau, pada hakikatnya sekolah bukanlah milik Jabatan Pelajaran tetapi merupakan milik masyarakat setempat kerana anak-anak masyarakat setempatlah yang mendapat manfaat pendidikan dari sekolah.

Dalam majlis yang sama Pegawai Daerah Kunak, Encik Susilo Sumarto memberitahu bahawa sebuah lagi sekolah menengah ini akan dibina di daerah ini dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-10 dan dicadangkan berhampiran dengan kawasan Kampung Cenderawasih. Langkah ini adalah untuk menampung keperluan tempat di sekolah menengah oleh pelajar-pelajar tempatan yang semakin tidak mencukupi. Setakat ini terdapat tiga buah sekolah menengah di Daerah Kunak iaitu, SMK Kunak, SMK Kunak Jaya dan SMK Madai.

Menyentuh tentang rancangan-rancangan penambahan infra dan infrastruktur untuk perkhidmatan pendidikan yang dikatakan menghadapi masalah kekurangan tapak Encik Susilo berkata, “Memang benar lebihkurang 70 peratus geran kawasan tanah di Daerah Kunak dipegang oleh syarikat-syarikat perladangan dan individu tertentu, namun ia tidak bermakna yang kita tidak ada tempat untuk membina infra dan infrastruktur apabila diperlukan”. Menurut beliau, terdapat prosedur tertentu yang boleh digunapakai untuk mendapatkan kawasan-kawasan yang difikirkan paling sesuai untuk kepentingan awam.

ADUN Kunak Yang Berhormat Encik Nilwan Kabang yang dijadualkan turut hadir dalam mesyuarat ini tidak dapat hadir kerana sedang menjalani rawatan kesihatan di Kota Kinabalu. Salam maaf Yang Berhormat disampaikan melalui Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO), Puan Hajjah Maimunah Datuk Hj Zainal yang turut hadir dalam mesyuarat tersebut.

No comments: