Tuesday, September 3, 2013

Matlamat Hidup dan Aktiviti Harian

Di celah kesibukan harian dalam usaha memenuhi "keperluan hidup" amat jarang manusia berhenti sejenak untuk memikirkan ke mana usahanya itu akan kelak membawanya. Lebih malang lagi apabila usahanya itu, tanpa disedari, semakin mengheretnya jauh dari tujuan asal.



Pada amnya tujuan seorang lelaki yang telah berumahtangga bekerja atau menjalankan perusahaan adalah untuk mencari nafkah bagi anak dan isterinya. Harapannya dengan rezeki yang diperoleh itu rumahtangganya akan hidup sentosa, sejahtera dan ... yang paling penting - aman dan bahagia.

Dua, tiga atau beberapa tahun selepas mula bekerja atau menjalankan perusahaan, hidupnya bersama keluarga benar-benar aman dan bahagia. Kepercayaan timbul dalam hatinya, bahawa kebahagiaan itu disebabkan rezeki yang diperoleh dari usahanya. Dia mula merasakan adanya hubungan langsung antara rezeki atau harta dengan kebahagiaan. Keyakinan mula bertakhta di hatinya bahawa semakin banyak yang dimiliki seseorang itu maka semakin bahagialah diri dan keluarganya. 

Maka dia mula mencari jalan untuk mendapatkan lebih banyak lagi. Pada tahap itu tanpa disedarinya, matlamat yang asalnya adalah keamanan dan kebahagiaan telah berubah kepada mengumpul kekayaan hartabenda ... "intan permata, wang berjuta" - kata lirik lagu penyamun dalam filem "Ali Baba Bujang Lapok".

Oleh kerana kebahagiaan bukan lagi menjadi matlamat, maka acapkali ia "dikorbankan" demi untuk mencapai matlamat baru itu. Faktor-faktor yang memberikan rasa kebahagiaan pada diri dan keluarga seperti makan dan solat berjemaah bersama, membawa anak-anak bersiar-siar pada hujung minggu dan sebagainya, tidak lagi tercatit dalam diari aktivitinya. Kerana selalu sibuk, dia cuma sempat makan di warung atau restoran, solat bersendirian - malah adakalanya terlepas waktu dan hujung minggu dihabiskan bersama pelanggan atau urusan kerja semata-mata.

Demikian pula halnya dengan seorang wanita yang telah bergelar isteri dan ibu. Dia menceburi bidang pekerjaan atau memulakan suatu usaha dengan tujuan untuk membantu suami mencari nafkah bagi memenuhi keperluan hidup. Matlamatnya sama ... semoga dengan rezeki tambahan yang diperoleh, kehidupannya sekeluarga akan lebih sentosa dan bahagia. 

Hari berlalu tahun berganti, usahanya semakin maju. Pendapatannyapun semakin lumayan, malah melebihi pendapatan suaminya. Faktor-faktor yang memberikan rasa kebahagiaan pada diri dan keluarga seperti memasak untuk hidangan keluarga, menyambut kepulangan suami dari tempat kerja dan anak-anak pulang dari sekolah, serta lain-lain tanggungjawab seorang suri rumahtangga sudah lenyap dari agenda hariannya. Oleh kerana dia mampu dari segi kewangan, dia mengupah orang lain untuk melaksanakan semua itu. 

Oleh kerana yakin pada diri bahawa tanggungjawabnya kepada suami dan anak-anak telahpun tertunai dengan mengupah pembantu rumah wanita itu kini lebih banyak menghabiskan masa bersama rakan-rakan atau kumpulan niaga yang dianggotainya. Kadangkala ada wanita yang sampai pada tahap tertentu merasakan bahawa usahanya itu lebih penting dari pekerjaan usaha suaminya dan pendapat rakan-rakan atau ketua kumpulan niaga yang dianggotainya lebih penting daripada pandangan suami atau keluarganya.

Begitu contoh dua kehidupan, seorang lelaki dan seorang wanita yang aktiviti harian mereka menyebabkan kedua-duanya menyimpang dari matlamat asal. Yang demikian terjadi disebabkan kesibukan harian sehingga lupa untuk berhenti sejenak merenung kembali akan matlamat asal mengapa mereka melakukan pada mulanya apa yang mereka sedang sibuk lakukan.

Apabila seorang Muslim konsisten pada matlamat hidup yang telah digariskan oleh Allah SWT dalam surah Az-Zariyat ayat 56:

“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku”..
insya Allah dia tidak akan mudah terpengaruh oleh alam sekeliling. Sikap konsisten pada matlamat agung itu akan menjadi pemandu arah kepada semua aktiviti harian yang dilakukan. Sehubungan dengan itu maka maksud ibadah hendaklah dimengerti secara meluas serta dijiwai sedalam-dalamnya seterusnya diamalkan sepanjang masa. Pengertian ibadah telah banyak ditulis oleh para alim ulama serta banyak pula yang boleh diperoleh dari internet. Sebagai panduan asas, saya dapati artikel "pengertian ibadah" dari laman IslamGRID amat bermanfaat dan mudah difahami. 

Berdasarkan takrif ibadah dari pelbagai sumber ternyata setiap saat dalam kehidupan ini dan pada setiap denyutan nadi seorang Muslim boleh berada dalam keadaan beribadah. Mudah-mudahan saya dan anda termasuk dalam golongan itu . . .

No comments: