Sunday, September 15, 2013

Melangkah Keluar Dari Kegagalan Menuju Kejayaan

Setiap insan pernah mengalami apa yang kebanyakan kita kenali sebagai "kegagalan". Setidak-tidaknya merasakan wujudnya suatu masalah yang menghambat kelancaran pada perancangan. Pada ketika ini mungkin saja ada di kalangan kita yang masih merasakan kesan kegagalan itu atau belum dapat mengatasi masalah yang mengganggu perasaan. 

Jika demikian adanya maka dengan penuh rasa rendah diri saya mengajak diri ini dan anda untuk meyakini bahawa kegagalan atau masalah adalah merupakan ujian yang diturunkan oleh Allah SWT kepada para hambaNya yang dikasihiNya, sekaligus sebagai "undangan" untuk kembali mendekatkan diri kepadaNya. Mudah-mudahan kelak kita kembali ke hadhratNya lalu disambut dengan kata-kata seperti firmanNya:

 .يَـٰٓأَيَّتُهَا ٱلنَّفْسُ ٱلْمُطْمَئِنَّةُ . ٱرْجِعِىٓ إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّة.
 .فَٱدْخُلِى فِى عِبَـٰدِى . وَٱدْخُلِى جَنَّتِى

Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas dan diredhaiNya.
Maka masuklah dalam jemaah para hambaku.  Dan masuklah ke dalam SyurgaKu. (Al Fajr: 27-30)

Sayugia hendaknya kita beringat bahawa ujian itu boleh saja datang dalam pelbagai rupa dan bentuk. Ia boleh saja berupa kesenangan dan keadaan-keadaan duniawi yang disukai manusia. Ia juga boleh berupa kesukaran, kedukaan, kesengsaraan dan lain-lain.

Kegagalan

Kegagalan umat manusia ialah apabila ia diuji dengan kesenangan maka dia lupa bahawa yang demikian itu adalah ujian dari Allah kepadanya. Keangkuhan meresap lalu bertapak dalam jiwanya yang meyakini bahawa dirinya lebih baik atau lebih mulia. Akhirnya dia memandang rendah kepada orang lain. Paling malang apabila dia mula menyangka bahawa semua kesenangan yang dikecapinya itu adalah atas hasil usahanya sendiri, dan lupa bahawa ia merupakan ujian dari Allah SWT sebagaimana firmanNya:

فَأَمَّا ٱلْإِنسَـٰنُ إِذَا مَا ٱبْتَلَىٰهُ رَبُّهُۥ فَأَكْرَمَهُۥ وَنَعَّمَهُۥ فَيَقُولُ رَبِّىٓ أَكْرَمَن .
  . وَأَمَّآ إِذَا مَا ٱبْتَلَىٰهُ فَقَدَرَ عَلَيْهِ رِزْقَهُۥ فَيَقُولُ رَبِّىٓ أَهَـٰنَن

Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakanNya dan diberiNya kesenangan, maka dia akan berkata: "Tuhanku telah memuliakanku." Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rizkinya maka dia berkata: "Tuhanku menghinakanku". (Al Fajr: 15-16)

Kegagalan juga berlaku pada manusia yang diuji dengan kesukaran atau kesengsaraan lalu tidak meyakini Allah sedang mengujinya dengan keadaannya itu, dan bahawasanya jika dia mengharungi dugaan itu dengan penuh rendah diri dan teguh keimanan, maka sesuatu yang lebih baik disediakan baginya oleh Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. 

Kejayaan

Berjayalah seseorang itu apabila dia mengecapi kesenangan lalu mensyukurinya dan beringat bahawa yang demikian itu tidak lain dan tidak bukan melainkan ujian dari Allah semata-mata. 

Tatkala dia diuji dengan kesenangan berupa kekayaan maka dia bersifat pemurah, bukan bakhil. 

Apabila dia diuji dengan kesenangan berupa kesihatan tubuh badan maka dipergunakannya untuk berusaha mencari rezeki halal dan usaha-usaha menuju keredhaan Ilahi. 

Dia diuji dengan kesenangan berupa kelapangan maka dipergunakannya masa itu untuk berbuat kebaikan, bukan melakukan perkara-perkara yang melalaikan. 

Dia diuji dengan kesenangan berupa minda cergas, dipergunakannya untuk menuntut ilmu bagi manfaat diri, keluarga, negara dan ummat manusia seluruhnya, dan dielaknya daripada menuntut ilmu yang memudharatkan atau membuat manusia menyimpang dari jalan Allah.

Berjayalah seseorang hamba Allah apabila dia menghadapi dugaan atau kesukaran lalu dia bersabar dan menginsafi bahawa yang demikian adalah ujian dari Allah semata-mata, iman dan ketaqwaannyapun tidak goyah. Dia tetap yakin bahawa kendatipun semua itu, Allah Maha Pemurah dan Maha Mengasihi, dan disebalik dugaan hidup yang dialaminya, ada kesenangan dan kebahagiaan menantinya di dunia fana lebih-lebih lagi di akhirat yang kekal abadi.

Tatkala dia diuji dengan kesukaran berupa kekurangan hartabenda maka dia bersyukur dengan apa yang ada lalu terus berusaha mencari rezeki yang halal tanpa meminta-minta dan tanpa dukcita.

Apabila dia diuji dengan kesukaran berupa penyakit maka dia bersabar dan dengan penuh tawakkal terus berusaha mencari ubat atau penawar tanpa keluh kesah atau putus asa. Tatkala penyakitnya itu semakin melemahkan jasmani dia tetap tenang dan redha.

Dia diuji dengan kesukaran berupa kesibukan maka didahulukannya untuk melaksanakan kewajipan-kewajipan terhadap Allah dan RasulNya kemudian yang lain-lain mengikut urutan sebagaimana yang disyariatkanNya.

Sebagai pelajar dia diuji dengan kesukaran berupa kegagalan dalam peperiksaan atau memperoleh keputusan yang kurang memuaskan, dia tidak berputus asa dan terus mencuba. Tatkala percubaan demi percubaan tidak berhasil, dia mencuba pula bidang lain dan percaya bahawa rezeki yang disediakan oleh Allah baginya ada pada bidang lain.

Demikian beberapa contoh untuk renungan kita bersama. Semoga bermanfaat. Yang baik dan benar datangnya dari Allah jua manakala kesilapan dan kelemahan datangnya dari diri ini, yang dengan itu saya mohon keampunan dari Yang Maha Pengampun.

WALLAHU 'ALAM BISSAWAB.

No comments: