Monday, February 4, 2013

Permai di Sekitar Perairan Daerah Kunak

Laut di sekitar Daerah Kunak hanya wujud kira-kira 12,000 tahun lalu iaitu ketika berakhirnya zaman ais. Kawasan tanah rendah ditenggelami oleh air laut yang kini menjadi sebuah teluk, iaitu Teluk Lahad Datu. Gugusan pulau yang ada sekarang ini pada waktu itu merupakan bukit atau tanah tinggi. Oleh yang demikian ekosistem perairan Kunak semestinya cukup unik, iaitu dasarnya merupakan bekas daratan yang kemungkinan besar masih menyimpan rahasia aktiviti manusia zaman purba manakala terumbu karangnya secara relatif masih muda berbanding terumbu karang di kawasan-kawasan lain. Kemungkinan wujudnya organisma daratan yang telah beradaptasi atau bermutasi menjadi organisma marin juga tidak boleh dipandang sepi. 



(Ehsan: Jumadi Hj Mohd Ajai)

(Ehsan: Jumadi Hj Mohd Ajai)
Habitat daratan yang kemudian diambilalih oleh laut tidak dapat tidak akan menjelmakan suatu ekosistem yang mampu menyokong kehidupan kepelbagaian biodiversiti yang cukup tinggi. Oleh itu ,tidak hairanlah jika Encik Jumadi Hj Mohd Ajai, seorang penyelam amatur kelahiran Kunak, berjaya merakamkan gambar-gambar pelbagai spesis hidupan laut yang menakjubkan. 

Pulau-pulau yang terdapat di perairan Kunak juga tidak kurang menariknya. Oleh kerana kebanyakan pulau-pulau tersebut terbentuk akibat kawasan tanah rendah disekitarnya ditenggelami air laut dan bukannya muncul dari dasar laut atau terbentuk oleh longgokan terumbu karang, maka tumbuh-tumbuhan yang ada di pulau tersebut adalah pelbagai. Di persisiran pantai didapati pokok-pokok bakau dan seumpanya manaka beberapa puluh meter ke darat ekosistem hutan hujan tropika yang tebal dapat ditemui.

Kaum nomad yang dikenali umum sebagai Bajau Laut atau Pala’u menurut istilah tempatan, yang sering menggunakan pulau-pulau di sekitar Kunak sebagai tempat  persinggahan sementara masih mengekalkan cara hidup yang mereka warisi dari moyang mereka sejak ribuan tahun dahulu. Berbeza dengan yang biasa ditemui di kawasan pekan, Pala’u tradisional amat pemalu dan berusaha menjauhkan diri dari orang yang mereka tidak kenali. 

Mereka biasanya singgah di sebuah pulau apabila musim tengkujuh menjelang tiba, membina pondok dan tinggal di situ untuk beberapa hari sahaja. Kediaman mereka yang sebenarnya ialah di atas perahu.

Pondok Sementara Pala'u di Pulau Silumpat

Kediaman sebenar kaum nomad Pala'u

Laut yang memisahkan pulau-pulau tertentu amat cetek sehingga ketika waktu surut, seseorang pada dasarnya, boleh berjalan kaki dari satu pulau ke pulau yang berhampiran. Contohnya ialah antara Pulau Silumpat dengan Pulau Tabawan. Dengan keadaan air laut yang amat jernih, sambil berjalan dan tanpa perlu menyelam, pelbagai jenis hidupan laut dapat dilihat.

Keadaan laut  kira-kira 100 meter dari pantai Pulau Silumpat sewaktu
 laut surut. Di belakang ialah Pulau Tabawan
Hendaknya Alam Menakjubkan di Daerah Kunak ini, baik di darat mahupun di laut terus dipelihara dan dilindung agar generasi akan datang dapat pula mewarisi dan menikmatinya.



2 comments:

Unknown said...

suautu penemuan yang perlu diwar-warkan dan dikongsi bersama.

Unknown said...

terbaik. penemuan ini perlu dikomresilkan dan jadikan kunak sebagai salah satu destinsi menyelam terbaik sebagaimana daerah semporna.

sewaktu kecil saya pernah ke pulau silumpat dan sememangnya ada peninggalan sejarah yang belum diterokai