Menjelang PRU-13 yang akan diadakan dalam waktu terdekat, sememangnya ramai yang tidak sabar-sabar hendak mengetahui jangkaan parti mana yang akan mentadbir negara selepas itu. Apabila kita bertanya mengenainya, tentunya kita akan mendapat jawapan yang berbeza-besa. Seperti keadaan perlawanan bolasepak, misalnya antara Liverpool dan Manchester United, bila kita tanya peminat Liverpool, dia yakin pasukan kesayangannya itu akan menang. Sebaliknya, penyokong MU akan memberi jawapan yang berlainan.
Yang Menang Ialah Parti Pujaan Orang Yang Anda Tanya
Demikian, jika kita bertanya kepada 10 orang penyokong setia Barisan Nasional (BN) maka kita boleh jangka bahawa semua 10 orang akan menjawab bahawa BN insya Allah akan kembali menerajui tampuk pemerintahan. Mungkin pula ada yang mengatakan bahawa BN akan memperoleh majoriti 2/3 dan sebilangan kecil mengatakan menang tipis.
Pun begitu, bila kita bertanya kepada 10 orang penyokong tegar Pakatan Rakyat (PR), mereka akan menjawab lebihkurang, Ini kalilah!, BN tumbang! atau PR akan kuasai Putrajaya.
Jika kita tidak membuat pertimbangan waras, maka kemungkinan besar kita akan terbawa-bawa oleh pendapat mereka. Andai seseorang lebih banyak bertanya kepada rakan-rakannya di kalangan penyokong BN, tentunya dia menjadi semakin yakin bahawa BN akan menang. Andai dia lebih banyak bertanya kepada rakan-rakannya dari kalangan penyokong PR, maka mungkin dia akan yakin yang PR, ini kali akan menguasai Putrajaya.
Keseimbangan Ikutan Media
Seseorang yang mengikuti perkembangan politik melalui media yang berpihak kepada parti-parti tertentu dan mengenepikan media yang berpihak pada parti lain akan cenderung untuk meyakini bahawa parti yang didukung oleh media yang diikutinya itu akan menang besar.
Merangka Analisis Untuk Jawapan Lebih Bermakna
Jawapan ikhlas kepada persoalan ini kemungkinan besar tidak akan kita peroleh dengan mengajukan soalan itu kepada mana-mana individu atau kumpulan, kerana sedikit sebanyak setiap orang ada kecenderungan, samada secara langsung atau tidak, terhadap sesuatu parti atau seseorang pemimpin politik. Jika ada kaedahnya, mungkin analisis yang kita lakukan sendiri lebih bermakna.
Suatu kaedah analisis boleh kita rangka dengan menyenaraikan isu-isu atau insiden-insiden yang berlaku menjelang PRU-12 (2008) sehingga kini, iaitu menjelangnya PRU-13. Kemudian, melalui pembacaaan, pendengaran, pendapat sendiri dan sebagainya, yang tidak berat sebelah, kita berikan markah dalam julat tertentu. Dalam contoh jadual ini, julat markah ialah antara "-3" hingga "3". Markah "-3" diberikan apabila isu atau insiden itu amat memberikan kesan negatif kepada populariti parti berkenaan, "-2" apabila kesan negatifnya sederhana, "-1" untuk adanya sedikit kesan negatif, "0" untuk tiada kesan, "1" untuk sedikit kesan positif, "2" untuk kesan positif yang sederhana, "3" untuk kesan positif yang besar.
Kita ambil isu bilangan 10 "Isu dalaman (konflik antara parti-parti komponen)" pada jadual, sebagai contoh pertimbangan pemarkahan. Semasa menjelang PRU-12, adakah berlaku konflik antara parti atau kepimpinan di kalangan parti-parti komponen BN? Jika anda berpendapat bahawa persaingan antara DS Ong Tee Kiat dengan DS Dr Chua Soi Lek menjadi penyebab kekalahan ramai calon BN dari MCA pada PRU-12 anda boleh meletakkan -3, -2 atau -1, untuk BN bagi PRU-12, bergantung kepada sebesar mana pada pandangan anda, pengaruh insiden itu keatas keputusan PRU-12. Seterusnya, menjelang PRU-13, dengan alasan-alasan tertentu, anda mungkin berpendapat bahawa persaingan itu mereka akan ketepikan demi kejayaan parti, maka bermakna isu atau insiden itu tidak lagi memberi apa-apa kesan kepada BN pada PRU-13, maka anda boleh memberikan markah "0".
Untuk PR pula misalnya, seorang rakan saya berpendapat bahawa menjelang PRU-12 pada 2008, tiada konflik kepimpinan ataupun konflik antara parti-parti komponen. Menurutnya, pada masa itu mereka baru mula bergabung dan persefahaman amat utuh atas satu dasar, iaitu "BN adalah musuh bersama mereka". Oleh itu, beliau memberikan markah "3", iaitu bukan konflik yang berlaku, malah sebaliknya penyatuan. Sebalinya bagi PRU-13 beliau berpendapat bahawa terdapat beberapa isu yang membuatkan berlakunya konflik di kalangan pemimpin dan antara parti dalam PR, misalnya isu penggunaan "kalimah Allah", maka beliau memberikan markah "-2" untuk PR.
Isu-isu dan insiden-insiden yang timbul dari masa ke semasa boleh kita masukkan dan berikan markah yang sesuai mengikut pandangan masing-masing. Adalah penting bahawa dalam memberikan pemarkahan itu, kita jangan menipu diri sendiri dengan cenderung untuk memberikan markah positif kepada parti atau pemimpin yang kita sokong, dan memberikan markah negatif kepada parti atau pemimpin yang kita tidak begitu senangi. Apapun, analisis ini bukan kita buat untuk sesiapa melainkan untuk diri sendiri. Tujuannya supaya kita jangan terlalu mudah dipengaruhi lalu tertipu oleh propaganda mana-mana pihak.

No comments:
Post a Comment