Sunday, July 8, 2012

Menyelamatkan "Mangsa Tsunami" di Pangi, Kunak

Jabatan Metereologi menghantar pesanan SMS memberi amaran akan "ancaman tsunami" yang bakal melanda perairan Kunak. Ombak yang dijangka setinggi 3 meter itu sedang menuju pantas ke pantai Kampung Pangi. Siren kecemasan di Ibupejabat Polis Daerah Kunak dibunyikan memanjang. 

Dalam keadaan demikian penduduk lima buah kampung terlibat yang sudah cukup terlatih bagaimana hendak menyelamatkan diri dan keluarga apabila berlaku bencana kelihatan tenang. Dengan penuh hemah mereka segera berlari-lari anak membawa keluarga ke kawasan tanah tinggi yang terdapat berhampiran dengan simpang jalan ke SK Pangi. Semua harta benda ditinggalkan. Yang mereka bawa bersama sekadar dokumen-dokumen penting yang sememangnya sudah sedia mereka masing-masing simpan di dalam sebuah beg bersama peralatan kecemasan yang lain, termasuk ubat-ubatan.

Lebihkurang 45 minit kemudian ombak tsunamipun melanda Pantai Pangi. Ombak itu ternyata lebih besar dari yang dijangkakan iaitu setinggi 5 meter. Kedatangannya membawa bersama puing-puing bot dan bagang dari laut yang dilaluinya. Kederasannya cukup kuat sehingga memusnahkan semua bangunan di tepi pantai tersebut.

Tidak lama kemudian pasukan penyelamatpun tiba bersama peralatan mereka yang cukup lengkap. Ia didahului oleh Polis Diraja Malaysia dan diikuti oleh Jabatan Pertahanan Awam, Bomba & Penyelamat, RELA, Hospital, Jabatan Kesihatan dan lain-lain. Turut bersama pasukan tersebut ialah ADUN Kunak Yang Berhormat Datuk Nilwan Bin Kabang.

YB Datuk Nilwan (baju putih) menyaksikan cara pasukan keselamatan
memberi bantuan kepada "mangsa tsunami"
Demikianlah permulaan "drama" Latih Amal Tsunami Kunak yang berlangsung di perkarangan SK Pangi bermula jam 8.00 pagi seingga jam 2.00 petang. Pada hari sebelumnya penduduk lima buah kampung berhampiran Pantai Pangi Kunak telah mengikuti Program Kesedaran Bencana Peringkat Komuniti Daerah Kunak. Kampung-kampung yang terlibat ialah Pangi Hujung, Pangi Tengah, Hampilan, Kasnuri dan Telaga Tujuh.

Ambulan Hospital Kunak membawa balik seorang "ibu mengandung:
setalah melairkan anak kembarnya ketika "bencana tsunami" melanda
Ambulan JPAM dan Hospital Kunak tidak henti-henti berulang-alik
membawa "mangsa tsunami" ke kemah rawatan

Program dua hari ini dianjurkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Metereologi Malaysia dengan kerjasama ADUN Kunak, JPAM, Pejabat Daerah Kunak, UPKR Kunak, PDRM, Hospital Kunak, Bomba, Jabatan Kesihatan, RELA, SK Pangi dan penduduk sekitar Pangi. Perasmian penutupan disempurnakan oleh ADUN Kunak.

Pada penghujung program YB Datuk Nilwan menyampaikan bantuan
makanan kepada 50 orang penduduk kampung dari kalangan golongan kurang mampu

Pantai Pangi ketika itu kelihatan tenang
Kawasan tanah tinggi di simpang jalan masuk ke SK Pangi.
Laluan kemudahan mendaki ke puncak bukit ini wajar dibina
untuk memudahkan penduduk menyelamatkan diri sekiranya
berlaku bencana tsunami


No comments: