Saturday, July 7, 2012

MEMBINA BANGUNAN PADA MASA TERLUANG

Ia bermula dengan adanya tawaran pinjaman modal dari Pertubuhan Peladang untuk membina premis pemerosesan makanan. Pinjaman tanpa faedah (bunga) itu bernilai RM45,000 ditawarkan kepada isteri saya selaku seorang pengusaha Industri Asas Tani, juga ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kunak, yang sudah 8 tahun menjalankan usaha di sebuah premis yang amat sempit. 

Menganggap bahawa sudah tiba masa untuk meningkatkan pengeluaran maka kami menerima tawaran itu. Setelah meneliti spesifikasi bangunan yang mematuhi piawaian Amalan Pengilangan Yang Baik atau Good Manufacturing Practice (GMP), ternyata kewangan tersebut hanya cukup untuk membeli bahan binaan dan tidak ada peruntukan untuk mengupah jurubina atau tukang yang profesional. Oleh yang demikian maka saya mengambil keputusan untuk membina bangunan itu sendiri. 

Pada mulanya saya mengupah seorang pembantu yang menurutnya cukup berpengalaman dalam kerja-kerja pembinaan. Malangnya mutu kerjanya tidak sampai kepada 50% tahap yang saya harapkan, maka terpaksalah saya berhentikan selepas 8 hari bekerja. Kini saya meneruskan kerja-kerja pembinaan itu secara solo dan hanya pada waktu tidak sibuk dengan tugas-tugas lain. Kekurangan pengalaman dalam kerja-kerja pembinaan membuatkan saya terpaksa banyak membuat rujukan pada buku dan juga laman sesawang untuk mendapatkan kaedah-kaedah pembinaan.

Selepas 20 hari melaksanakan kerja-kerja pembinaan apabila ada masa terluang, beginilah (seperti dalam gambar di bawah) yang mampu saya hasilkan. 


Hari-hari mendatang ini banyak program yang perlu dihadiri dan nampaknya, tahap gerakan kemajuan binaan ini akan lebih perlahan. Pagi tadi, 7 Julai 2012, bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Pangi mengikuti "Program Kesedaran Bencana Peringkat Komuniti dan Latih Amal Tsunami Kunak". Begitu juga esok sehingga jam 2.00 petang, manakala lusa pada 9 Julai 2012 diperlukan pula untuk menemani rombongan para Guru Besar dan Pengetua Sekolah serta YDP PIBG Kunak untuk melawat beberapa kawasan berpotensi untuk tarikan pelancong di Daerah Kunak.

Program Kesedaran Bencana
Peringkat Komuniti, Kunak, Sabah
Pada 13 hingga 15 Julai insya Allah akan bersama rombongan PRBM ke Labuan dan selepas itu pada 16 hingga 18 Julai ke Dewan Undangan Negeri Sabah untuk mengikuti Mesyuarat DUN.

Saya cuma berharap dapat menaikkan bumbung sebelum tiba bulan Ramadhan. Jika itu tercapai maka kerja-kerja seterusnya dapatlah saya lakukan di malam hari selepas tarawih di bulan puasa. Kerja-kerja tersebut takkan mampu saya lakukan di siang hari pada bulan Ramadhan. Semoga dapat saya siapkan menjelang Hari Raya Aidilfitri.


No comments: