Friday, May 11, 2012

Ragam Manusia : Pemikiran Egosentrik

Seseorang dikatakan berfikiran egosentrik apabila dia terlalu banyak memusatkan fikiran dan perhatian terhadap dirinya, sehinggakan hampir-hampir cara itu seakan-akan suatu yang semulajadi baginya. Apapun permulaan keadaan atau perbincangan yang disertainya, selalu pada akhirnya dia akan kaitkan atau pusatkan pada dirinya.


Orang-rang dengan karakter bermasalah seperti itu selalu memikirkan akan perkara-perkara yang diinginkannya, kerana keinginannya itulah yang paling penting baginya. Sangat sukar bagi mereka untuk menimbang kemungkinan adanya keinginan dan keperluan orang lain, sebab bagi mereka kehendak dan keperluan orang lain tidaklah penting. Mereka terlalu memerlukan perhatian sehingga beranggapan bahawa orang lain sepatutnya peka dan memberi perhatian kepada kehendak dan minatnya.


Apabila seseorang yang berfikiran egosentrik berkehendak akan sesuatu, dia tidak peduli samada cara atau kehendaknya itu betul, baik dan sah di sisi undang-undang atau sebaliknya. Dia juga tidak peduli samada dalam usaha memenuhi keinginannya itu akan mendatangkan keburukan kepada orang lain - dia tidak peduli semua itu, yang penting baginya ialah memenui keinginannya. Oleh kerana terlalu lama memepertahankan sikap mementingkan diri serta memenuhi kehendaknya maka tertanam suatu pola pemikiran pada dirinya yang memateri sikap tidak peduli kepada hak, keperluan, keinginan dan harapan orang lain.

Sikap tidak peduli itu selanjutnya menanamkan sifat mengabaikan tanggungjawab sosial yang menyeluruh, malah langsung tidak mahu menerima sebarang tanggungjawab sedemikian.

Oleh kerana terlalu mementingkan diri sendiri, karakter egosentrik tidak akan pernah berpuas hati dengan apa yang orang lain telah lakukan untuknya, dan pada masa yang sama beranggapan bahawa dirinya sudah terlalu banyak berbuat sesuatu untuk orang lain. 

Karakter egosentrik banyak menuntut orang lain berbuat sesuatu, namun dia sedikitpun tidak punya kesedaran bahawa dia juga perlu menyumbang sesuatu kepada orang lain atau masyarakat. Pola pemikiran, sikap, dan sifat-sifat yang terbit daripadanya menyebabkan karakter egosentrik menjalani hidup dengan memusatkan perhatian pada dirinya.

No comments: