Monday, July 18, 2011

Orang Kaya Yang Miskin

Hari keempat saya dan rakan sekerja, termasuk Encik Halid, ketua di jabatan tempat saya berkhidmat menemani YB ADUN Kunak melawat penduduk kampung. Hari itu adalah hari Ahad, hari kelepasan bagi kebanyakan kakitangan kerajaan. Namun bekerja di luar waktu pejabat sudah biasa bagi saya dan rakan-rakan.

Ketika saya baru selesai mencatit bahan-bahan keperluan untuk membaikpulih sebuah rumah usang dengan dinding bocor di sana sini yang didiami oleh seorang ibu tunggal dan beberapa orang anaknya, seorang lelaki berbadan tegap dengan pakaian cukup kemas menepuk bahu saya dari belakang.

"Tuan," kata lelaki itu sambil menghulurkan kad pengenalannya kepada saya. "Tolong senaraikan nama saya untuk diberi bantuan 100 keping zink".

Saya memang kenal lelaki itu dan setahu saya rumahnya adalah yang paling besar di kampung itu. Hakikatnya, dia bolehlah digolongkan dari kalangan orang yang berada. Kebetulan rumahnya itu tidak jauh dan bumbungnya masih dapat di lihat dengan jelas dari tempat kami berdiri.

"Nampak macam masih bagus bumbung rumah tuan tu", jelasku kepada lelaki itu.

Lelaki itu ketawa kecil. Dia menjawab, "Bukan untuk bumbung rumah, tuan. Tapi saya mahu bikin setor".

"Setor? Untuk apa?"

"Simpan separuh saya punya barang-barang. Sudah 'ndak muat dalam rumah", jawabnya lagi.

Saya cuba menyembunyikan perasaan meluat dengan sikapnya itu, namun agaknya tergambar juga dengan kata-kata ku, "Maaf, tuan. Saya diarahkan untuk menyenaraikan bahan keperluan untuk membaiki rumah penduduk yang kurang kemampuan, bukan untuk membina setor untuk simpanan harta orang kaya yang miskin".

Di hadapan tangga sebuah pondok kecil pula YB berdiri lama berbual dengan seorang lelaki warga emas. Dari kejauhan saya lihat YB menghulurkan tangan yang agak tergenggam sedikit untuk berjabat dengannya. Saya kenal cara itu yang selalunya dilakukan YB apabila bertemu dengan warga emas atau orang yang sedang terlantar. Biasanya adalah RM yang YB hulurkan.

Saya berbisik kepada Encik Halid yang berdiri di sampingku, "Siapa pakcik tu?"

"Kesian beliau tu", jawab Encik Halid. "Dia sakit dan datang ke kampung ini untuk mendapatkan rawatan tradisi. Ramai kalangan anak-anaknya yang boleh dikatakan orang berada, tetapi kurang perhatian terhadap nasib bapanya".

Aku cuma dapat menggelengkan kepala menyesali sikap segelintir anak Adam.

Hati kecilku cuma mampu berbisik, "Orang kaya yang miskin".

Photo: Courtesy of Encik Halid Harun, Kunak.

1 comment:

anakmalaysia said...

harap sedar la org kaya tu satu hari nanti..