Kegelapan boleh menggalakkan ketidakjujuran kerana keadaan itu merangsang perasaan kekebalan terhadap hukuman atau tindakan keadilan. Demikian, penemuan hasil satu kajian.
Ahli-ahli psikologi telah meletakkan para sekarelawan ke dalam bilik berasingan. Sekumpulan diletakkan dalam bilik terang benderang manakala satu kumpulan lagi diletakkan dalam bilik dengan cahaya malap. Mereka masing-masing diberi soalan-soalan untuk diselesaikan, kemudian memberikan markah kepada diri sendiri, seterusnya menghadiahkan wang kepada diri sendiri berasaskan penyelesaian dan markah yang mereka telah perolehi – semuanya berasaskan kepada sistem kejujuran.
Para pengkaji itu mendapati bahawa dalam keadaan gelap lebih banyak ketidakjujuran berlaku. Pemakaian cermin mata gelap juga memberi kesan yang serupa. Laporan mengenainya diterbitkan dalam Psychological Science.
Ahli-ahli psikolologi di University of Toronto dan University of North Carolina di Chapel Hill menjalankan tiga ujikaji. Dalam ujikaji pertama, sebahagian peserta diletakkan dalam bilik terang dan sebahagian lagi dalam bilik dengan cahaya malap. Mereka masing-masing diberikan sekeping sampul surat berwarna cokelat yang berisi $10 dan juga sekeping sampul surat kosong berwarna putih. Mereka kemudian diarah melengkapkan suatu kertaskerja dengan 20 grid nombor, setiap satu terdiri dari 12 nombor tiga-digit.
Para peserta diberi masa 5 minit untuk menentukan dua nombor dalam setiap grid yang bila ditambah satu sama lain akan mendapat jawapan 10. Bagi setiap pasangan nombor dikenalpasti, peserta akan menghadiahkan 50 sen kepada diri sendiri. Para penyelidik menyerahkan sepenuhnya kepada peserta untuk memberi markah kepada hasil kerja masing-masing. Selepas berakhirnya masa yang ditetapkan, peserta dikehendaki meninggalkan baki wang yang mereka tidak menangi dalam sampulsurat.
Para penyelidik mendapati bahawa tiada perbezaan dalam pencapaian keputusan, tetapi peserta dari bilik dengan cahaya malap mendapat lebih habuan.
Dalam ujikaji kedua, beberapa peserta memakai cermin mata gelap dan yang lain memakai cermin mata jernih. Mereka kemudian masing-masing diarah berinteraksi dengan seseorang yang tidak dikenali. Pada hakikatnya, "seseorang" itu adalah dari kalangan penyelidik. Setiap peserta diberikan $6 untuk dikongsi dengan orang yang tidak dikenali itu. Didapati, peserta yang memakai cermin mata gelap menjadi lebih kedekut.
Ujikaji ketiga agak serupa dengan ujikaji kedua, cuma kali ini tahap perasaan ‘tak dikenali’ peserta, ketika ujikaji berjalan, dinilai. Sekali lagi didapati peserta dengan cermin mata gelap, memberikan wang yang kurang dan lebih merasakan bahawa diri mereka itu tidak dikenali (anonymous).
Dalam kesemua ujikaji itu, kegelapan sebenarnya tidak memberi kesan keatas tahap pengenalan peserta. Ahli-ahli psikologi yang menjalankan ujikaji itu berpendapat bahawa kegelapan telah merangsang perasaan ‘tak dikenali’.
Bayangkan seseorang dalam sebuah bilik tertutup. Dia sedang mempertimbangkan samada akan berbohong atau berterus-terang dalam emailnya kepada seseorang yang tidak dikenalinya. Kita tahu, tidak kira samada bilik itu terang atau gelap, tahap pengenalan sipengirim email itu sama sahaja bagi sipenerima. Namun, dalam keadaan gelap, seseorang mungkin teruja untuk tingkahlaku tidak beretika.
No comments:
Post a Comment