Kampung Sri Bahagia Kunak, 03 Mac 2009 – Bilangan rumah di Kg Sri Bahagia Kunak akan meningkat dari 41 buah yang ada sekarang kepada 133 tidak lama lagi. Perkara ini dinyatakan oleh Pengerusi JKKKnya, Encik Ariffin Samad, dalam taklimat yang disampaikannya sempena lawatan ADUN Kunak, Datuk Nilwan Kabang, ke kawasan tersebut pada Rabu, 03 Mac.
Menurut Encik Ariffin, kawasan seluas 10 ekar itu telah dibeli dari pemilik berdaftar menggunakan wang yang dikumpul dari individu-individu yang berminat untuk mendapatkan tapak untuk membina rumah.
“Kebanyakan daripada individu-individu tersebut adalah dari kalangan mereka yang sedang bekerja di syarikat-syarikat perladangan dan belum mempunyai rumah,” jelas Encik Ariffin.
Ketika ditanya oleh Datuk Nilwan bagaimana dia boleh mengetahui terdapatnya kawasan tersebut untuk dijual Encik Ariffin memberitahu, “Beberapa bulan dahulu Datuk sendiri telah menyeru pemimpin-pemimpin masyarakat setempat agar berusaha membantu mengatasi masalah kekurangan kawasan perumahan di daerah ini.
“Berikutan dengan itu, saya, ketua kampung dan pemaju mukim bertanyakan pemilik-pemilik kawasan di kampung ini jika ada yang berminat untuk menjual kawasan mereka untuk tujuan perkampungan. Kami berjaya mendapatkan kawasan seluas 10 ekar ini dari dua pemilik berasingan,” kata Encik Ariffin.
Semasa lawatan tersebut, lima buah rumah baru sedang dalam pembinaan.
Beberapa perkara melibatkan kemudahan asas yang diperlukan penduduk telah dibincang dan dikenalpasti untuk disalurkan atau dinaiktaraf seperti berikut:
- Bekalan air bersih – Pada ketika ini paip air disambung dari kawasan Kg Kadazan. Oleh kerana kedudukan topografi Kg Sri Bahagia lebih tinggi dari Kg Kadazan maka tidak ada air yang sampai ke Kg Sri Bahagia. Penduduk terpaksa mengambil air dari anak sungai, yang pada hakikatnya merupakan air buangan dari kawasan perumahan Ladang Mostyn.
- Tiang lampu – Dianggarkan lima batang tiang lampu diperlukan untuk menyalurkan bekalan tenaga elektrik ke fasa pertama kawasan perumahan baru itu.
- Menaik taraf surau – Surau yang ada pada ketika ini tidak lagi dapat menampung bilangan jemaah apabila kawasan perumahan baru itu dihuni sepenuhnya. Ia perlu dibesarkan dan dinaiktaraf sebagai mesjid.
- Membina Mini Dewan – Balairaya di Kg Sri Bahagia telah didirikan oleh syarikat koperatif ketika penubuhannya dan telahpun usang. Ia perlu diganti dengan sebuah mini dewan bagi menampung aktiviti masyarakat setempat.
Terdahulu, Datuk Nilwan telah menghadiri Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan JKKK & JKDB Kawasan N51 Kunak dan Penyampaian Projek bekalan ADUN Khas/PPNS di Dewan Masyarakat Kunak (laporan lanjut) dan melawat Kg Pangi.
No comments:
Post a Comment