Thursday, April 12, 2012

Serangan Lanun di Kunak 1962

Hari sudah senja. Saya terus mengekori ayah yang sedari tadi mundar-mandir dalam rumah.. Terbayang kegelisahan di wajahnya. Sekali-sekala dirabanya hulu keris yang tersandang dipinggangnya, barangkali untuk memastikan bahawa senjata pusakanya itu ada bersamanya.

"Bila serangan tu, bang?" tanya ibu.
"Baru saja, lanunpun masih di sana lagi," jelas ayah.

"Ada yang terkorban?"
"Menurut cerita ada dua tiga orang".
Ibu terdiam sejenak, dia kelihatan cemas.
"Bahaya tu bang, Tidak usahlah abang ikut rombongan ke Pengkalan tu," kata ibu yang risau akan keselamatan ayah.
"Kalau tidak ada orang yang menghalang, lanun-lanun itu akan naik ke darat. Akhirnya mereka akan sampai ke sini," jawab ayah. "Pantang maut sebelum ajal, dan kalau ajal sudah tiba, dalam selimutpun kita boleh maut".



Tidak lama kemudian, kenderaan landrover yang dipandu pengurus ladang berbangsa British tiba di hadapan rumah. Bersamanya ada 4 orang lain, dua daripadanya membawa senapang. Selepas memberi pesan kepada ibu agar mengunci semua pintu dan tingkap, ayahpun menyertai rombongan itu menuju Pengkalan untuk turut serta mempertahankan daerah ini dari serangan lanun. Landrover itupun segera memecut ke arah Pengkalan.
Itulah detik-detik yang saya dapat ingat serba sedikit berkaitan serangan lanun ke atas Kunak dalam tahun 1962.
Berdasarkan tulisan Stefan Eklof dalam "The Return of Piracy: Decolonization and International Relations in a Maritime Border Region (the Sulu Sea), 1959-63", serangan lanun ke atas Kunak berlaku pada 20 Julai 1962. Serangan bermula kira-kira pukul 5.40 petang apabila sebuah kumpit yang panjangnya lebihkurang 24 kaki menghampiri Pengkalan dari arah perairan Semporna. Ketika itu, Rusakan, sebuah bot milik kerajaan British sedang bersandar berhampiran tangga jeti, manakala Darvel Bay sebuah bot penunda kayu balak milik British Borneo Timber Company sedang bersandar pada jemabatan jeti. Apabila kumpit itu menghampiri Rusakan muncung empat pucuk senapang terhulur keluar dari tepi kumpit. Tembakan dilepaskan ke arah Rusakan menyebabkan juruteranya terkorban serta mencederakan dua orang kanak-kanak. Lanun-lanun itu seterusnya menyerang dan Darvel Bay. 
Selepas menembak empat orang awak-awak, merompak dan merosakkan enjin Darvel Bay, tujuh daripada lanun bersenjatakan senapang rifle itu mara ke darat dan melepaskan beberapa das tembakan.
Menurut cerita ayah kemudian, waktu itu ayah dan seorang kakitangan Mostyn Estate bersembunyi di balik sebuah batu besar, agak jauh dari jeti. Tugas mereka adalah untuk menerpa lanun-lanun itu jika mereka lalu di kawasan tersebut. 
"Mujur bagi kami kerana lanun-lanun itu tidak mara jauh ke darat," kata ayah menceritakan peristiwa itu. "Mereka cuma masuk merompak kedai-kedai yang berhampiran jeti dan memaksa orang-orang di situ memunggah hasil rompakan ke kumpit mereka".
Lanun-lanun itu cuba mengambil bot Lucinda kepunyaan Mostyn Estate tetapi gagal menghidupkan enjinnya. Oleh itu mereka merosakkannya.
Setelah barang-barang rompakan dipunggah ke kumpit, lanun-lanun itupun mula beredar. Ketika itu mereka melihat sebuah bot milik orang Cina menghampiri jeti. Mereka menahannya dan memaksa semua penumpangnya terjun ke laut, kemudian mereka menambat kumpit ke bot tersebut dan mengarahkan serang bot yang bernama Kamaludin untuk menunda kumpit mereka keluar.

No comments: