Saturday, January 7, 2012

NOTA KEJUTAN


Suatu hari di pagi yang tak seberapa cerah sepasang suami isteri telah bertengakar soal perkara yang remeh. Akibatnya mereka tidak bertegur sapa sehinggalah malam tiba.

Si isteri merasa kesal dengan pertengkaran itu dan mendambakan perdamaian secepat mungkin, namun dia enggan memulakan untuk menegur suaminya. Baginya, dalam keadaan sedemikian, adalah menjadi tanggungjawab suami untuk memujuk isteri. Pada malam itu awal-awal lagi dia masuk ke kamar dengan harapan suaminya akan segera menyusul untuk memujuknya.

Ternyata, sang suami tidak segera menyusul. Dia terlalu ego untuk menghampiri isterinya. Baginya, dalam keadaan sedemikian, seorang isteri sepatutnya datang kepada suaminya, cukup dengan senyuman atau belaian. Tak perlu kata apa-apa, niscaya dia akan terus merangkul isterinya itu dan memohon maaf jika perlu.

"Lagi elok kalau dia datang membawa secawan kopi untukku," angan si suami sambil tersenyum.

Sang suami terus menanti secawan kopi yang tak kunjung datang, manakala si isteri di atas katil terus menunggu pujukan suaminya yg tak kunjung tiba. Nothing happens!!!

Malam semakin larut, akhirnya sang suami mendapat buah fikiran.

"Dengan cara ini, isteri saya akan memulai untuk menegur," fikir sang suami.

Dia segera mencapai marker pen dan sekeping kertas lalu menulis:

"SAYANG, TOLONG KEJUTKAN ABANG SOLAT SUBUH YA?"

Perlahan-lahan dia masuk ke kamar tidur lalu meletakkan nota itu di atas meja kecil berhampiran katil di sebelah isterinya yg sedang berpura-pura tidur. Selepas itu diapun baring di sebelah isterinya tanpa menyentuhnya.

Ketika azan subuh berkumandang dari surau berhampiran kedua-dua suami isteri itupun terjaga. Sang suami sengaja tidak bangkit kerana mengharapkan isterinya mengejutkannya. Dia membuka matanya sedikit memerhatikan isterinya yg bangun mengambil nota itu dan membacanya seketika. Si isteri kemudian menarik laci meja kecil itu, mengambil pen lalu menulis pula di bawah nota yg telah ditulis oleh suaminya. Nota itu kemudian diletakkannya di atas dada suaminya yg baring terlentang berpura-pura belum sedar dari tidur.

Sementara sang isteri bergegas ke bilik air untuk berwudhu dan bersiap untuk menunaikan kewajipan solat subuh, si suami mengambil nota itu. Dilihatnya di bawah tulisannya terdapat tulisan isterinya:

"ABANG, DAH MASUK WAKTU, BANGUNLAH SOLAT SUBUH!"