Saturday, August 20, 2011

OK facebook Group: Peranan dan Halatuju



1.    OKfb mula muncul dalam bulan November 2010. Ketika itu, selain daripada menjadi ruang gunasama untuk warga Daerah Kunak bersembang, mengenali satu sama lain dan mengukuhkan silaturrahim melalui ruang maya, OKfb tidak mempunyai sebarang agenda tertentu.

2.       OKfb terbuka kepada semua pengguna fb yang ada kaitan dengan Daerah Kunak tanpa mengira kaum, agama, fahaman politik, umur, pangkat mahupun darjat.

3.  Beberapa isu berkaitan dengan permasalahan yang dihadapi oleh penduduk Kunak kemudian ditimbulkan oleh beberapa orang ahli. Komen-komen awal kelihatan cukup relevan, bernas, terpandu dan berlandaskan fakta, malah banyak disertai dengan bukti kukuh.

Beberapa orang ahli kemudian sepakat untuk merujuk isu yang dibincangkan kepada pihak yang bertanggungjawab mengenai perkara tersebut. Hasilnya, isu berkenaan dapat ditangani dengan baik, dalam ertikata jika pihak yang bertanggungjawab dapat mengatasinya dengan segera, maka ia diatasi dengan segera; jika ia suatu kesilapan, pihak berkenaan sedaya upaya mengelak daripada mengulangi kesilapan itu.

4.  Hari demi hari keahlian OKfb semakin bertambah. Ahli-ahli yang baru menyertai kumpulan mungkin telah terbaca “wall posts” yang hangat beserta dengan komen-komen yang agak agresif, menyebabkan ada yang menganggap OKfb sebagai saluran untuk kumpulan pendesak (pressure group). Maka mulalah timbul komen-komen yang boleh dianggap keterlaluan sehingga boleh menyinggung perasaan kumpulan atau individu tertentu.

5.       Ada pula ahli yang telah membuat pautan (link) dengan laman-laman web tertentu, yang memang sudah diketahui ramai mempunyai tren ekstrim atau taksub dengan golongan tertentu. Mereka kemudian bersungguh-sungguh mempertahankan idealisma yang dicanang oleh penulis di laman berkenaan. Barangkali mereka tidak menyedari bahawa mereka telah diperalat oleh penulis atau admin laman tersebut .

Harus disedari bahawa penulis atau admin bagi banyak laman-laman yang ekstrim atau taksub dengan golongan tertentu mempunyai penaja. Mereka mendapat bayaran yang lumayan dari penaja masing-masing untuk memperjuangkan agenda mereka. Dengan membuat pautan ke laman-laman sedemikian, apatah lagi bertindak menjadi “bahan” untuk tulisan mereka, bererti membantu mereka “buat duit” sedangkan diri sendiri tidak mendapat apa-apa kecuali “risiko yang tidak berbaloi”. Lainlah kalau yang membuat pautan itu memang sebahagian dari ejen laman tersebut.

6.       Meskipun demikian, kebanyakan ahli melihat dan mengguna OKfb seperti berikut:

(i)         sebagaimana asalnya, iaitu ruang gunasama untuk warga Daerah Kunak bersembang, mengenali satu sama lain dan mengukuhkan silaturrahim melalui ruang maya), malah dipanjangkan kepada pertemuan dan pengukuhan perpaduan di alam realiti.

(ii)    sebagai ruang untuk bertukar-tukar pendapat mencari kaedah cara untuk memajukan serta memakmurkan Daerah Kunak untuk diri, keluarga dan masyarakat Kunak seluruhnya.

(iii)    sebagai ruang untuk mencari kaedah yang rasional melalui perbincangan bagi mengatasi masalah yang dihadapi untuk keharmonian dan kebaikan bersama.

Semoga yang demikian menjadi peranan sebenar OKfb.

Dengan peranan yang sedemikian, OKfb akan mempunyai halatuju yang sihat. Insya Allah ia boleh menjadi suatu kumpulan yang disegani dan pendapat ahli-ahlinya tidak dipandang ringan. Lebih dari itu ia boleh menjadi suatu “cermin” untuk para pemimpin dan pentadbir di daerah ini bagi muhasabah diri.

7.       Meski kebanyakan ahli menghendaki peranan dan halatuju seperti yang dinyatakan di atas, tindak-tanduk sebilangan kecil ahli menulis pos atau komen-komen ekstrim boleh menggelincirkan OKfb dari landasan halatuju yang murni. Bak kata pepatah, “Kerana nila setitik, rusak susu sebelanga”.

Oleh yang demikian ahli-ahli Okfb hendaklah MENGELAK daripada menulis pos, komen atau membuat pautan yang mengandungi perkara-perkara seperti berikut:

(i)          tuduhan kepada ahli, kumpulan, golongan atau individu tertentu tanpa bukti yang kukuh;

(ii)                kata-kata kesat atau menghina sesama ahli, golongan atau individu;

(iii)               menyentuh sensitiviti kaum atau agama;


(iv)     terang-terangan taksub atau menghina atau memburuk-burukkan parti politik tertentu; (OKfb bukan alat atau musuh mana-mana parti politik);

(v)              membelakangi Perlembagaan Negara;

(vi)                membelakangi tatasusila hubungan kemanusiaan dan moral kehidupan.

1 comment:

MSG said...

septutnya begitulah etika perhubungan dalam laman sosial, tetapi malang agah ramai yg masih tidak bertamddun sehingga mengeluarkan ulasan-ulasan yang tidak berasakan fakta, disampaikan secara ekstrem tanpa dengan membelakangkan tatasusilah kemanusian, adab kesopanan dalam perhubungan sesama rakan sosial dsbnya.