Thursday, November 19, 2009

REPLIKA UDANG - TIDAK SESUAI BAGI DAERAH KUNAK?


Replica udang di bulatan jalan Kunak-Semporna sedang dalam pembinaan

Semalam, sebaik keluar dari bilik ketibaan di lapangan terbang Tawau dari Kota Kinabalu, saya telah bertemu dengan seorang rakan lama yang sedang menanti tuntuk menaiki kapal terbang menuju Kuala Lumpur. Selepas memberi salam dan berjabat tangan, beliau bertanya, "Kenapa Udang?"

Kehairanan, saya bertanya balik, “Kenapa dengan udang?”

Sambil tersenyum, rakan saya itu, yang berasal dari Tawau menjelaskan, "Saya tertanya-tanya, kenapa orang Kunak meletakkan tiga replika udang besar di bulatan jalan Pelan Kunak? Saya ingat, di Kunak ni tentulah banyak udang. Jadi, sayapun pergilah ke pasar ikan di Pengkalan, konon mahu juga beli lima-enam kilo udang besar yang murah-murah!"

Kawan saya itu mula ketawa sinis.

"Kau tahu?", katanya sambil terbahak-bahak, dan dengan suara yang meninggi berkata, "seekor udangpun 'ndak ada, kawan!"

Kawan saya itu terus mengusik, dan agak menyentuh juga perasaan saya, "Kawan, oleh kerana kamu tiada udang di pasar, agaknya replika udang tu melambangkan peribahasa, Otak Udang atau Udang di Sebalik Batu, ye?"

Malu juga saya dibuatnya namun hanya dapat tersenyum sipu. Apa nak kata? Ada kebenaran pada kata-katanya itu. Tangkapan udang nelayan Kunak, tidak seberapa, malah tidak mencukupi untuk keperluan orang Kunak sendiri.

Dengan fikiran terganggu oleh kata-kata kawan saya yang agak pedas itu, saya menelefon Pemimpin Kemajuan Rakyat pagi tadi, bertanyakan kalau-kalau beliau boleh menjelaskan mengenainya. Beliau memberitahu bahawa baik beliau sendiri, mahupun Wakil Rakyat Kunak, Datuk Nilwan Kabang, tidak pernah dimaklumkan atau dirujuk dalam keputusan untuk membina replika tersebut.

Secara peribadi, saya lebih suka jika replika-replika berikut diletakkan di bulatan-bulatan jalan Daerah Kunak:

  1. Replika menunjukkan kegiatan pemburu-pemburu zaman purba yang berlaku di kawasan Tingkayu Daerah Kunak yang berlaku sekitar 30,000 sebelum masehi;
  2. Kegiatan penuaian buah kelapa sawit melambangkan kegiatan pertanian utama Daerah Kunak.
  3. Buah Salak yang melambangkan Daerah Kunak sebagai pengeluar buah salak pertama di negeri Sabah.
Apapun, penduduk Kunak bukanlah Otak Udang dan tidak pula bersikap Udang Di sebalik Batu. Marah saya!

2 comments:

Anonymous said...

Salam 1 Malaysia. Berkenaan replika udang tu baik tanya Majlis Daerah. Sebenarnya byk soalan nak tanya Majlis Daerah ni. 1. Kenapa Kiosk Mara dkt dgn Dewan tak digunakan? 2. Satu Lot baru sebelah Pasar Malam dekat dewan yg dibina kenapa tidak digunakan? 3. Pasar Kain kenapa tak dipenuhi oleh penyewa? 4. Gerai-gerai yg dibina yg disimpan di kawasan dewan masyarakat bila nak diagihkan? 5. Stesen Bas dkt pasar minggu apa cerita? Sekarang ni kerajaan nak buat 1 lagi projek iaitu menaik taraf Pasar Sayur di belakang dewan. Adakah projek-perojek ini menguntungkan rakyat Kunak? Saya ada satu cadangan untuk kebaikan semua. Ini cadangan saja. Mungkin pihak majlis memang dah rancang tapi belum tiba masanya utk dilaksanakan. Cadangan saya, apa kata Pasar Kain tu kita gunakan untuk pasar sayur. Drp terbiar dan tidak berpenghuni. Yang lain2 tu harap anda pulak bagi pendapat.
"Jangan marah ah.."

Lamporre said...

Wah kalau ikut maklumat yang anonymous tulis tu nampaknya banyak jugak projek terbengkalai di Kunak. Sesuautu perlu dilakukan segera untuk mengelakkan pembaziran berterusan.

Mengenai replika udang, saya yang berada di perantauanpun jadi keliru sebab +-10 tahun lalu semasa masih di Kunak saya amat jarang dapat menikmati hidangan udang. Ini disebabkan udang bukanlah sesuatu yang mudah diperolehi dalam ertikata boleh diperolehi sepanjang tahun. Tapi sekadar bersangka baik, maka saya beranggapan mungkin produk udang di Kunak ini telah dipertingkatkan melalui ternakan udang dalam sangkar dan seumpamanya. Rasanya salak lebih sesuai atau mungkin kalau nak jenis hidupan juga, mungkin burung walit lebih sesuai sebab burung walit adalah antara mercu tanda produk di Kunak. Wallahualam