Friday, May 29, 2009

MENGENALI DAN MENANGANI INFLUENZA A(H1N1)

Sehingga pukul 2.00 petang pada 29 Mei 2009, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencatatkan 55 negara telah melaporkan sejumlah 15,510 kes Influenza A (H1N1) dengan 99 kes kematian. Antara negara yang melaporkan kes tertinggi ialah Amerika Syarikat 7927 kes dengan 11 kematian, Mexico 4910 kes dengan 85 kematian dan Kanada 1,118 kes dengan 2 kematian. Malaysia melaporkan 2 kes.

Kami memuatkan dalam pos ini maklumat-maklumat yang kami kumpul dari beberapa sumber, mudah-mudahan bermanfaat bagi para pembaca “kunakians” yang budiman .

Apakah H1N1?

H1N1 ialah sejenis virus influenza yang menyebabkan penyakit kepada manusia. Ia mula dikesan di Amerika Syarikat pada April 2009.  Dipercayai, virus ini berjangkit dari seseorang kepada orang lain dengan cara yang sama seperti influenza bermusim.

Apabila seseorang yang dijangkiti virus H1N1 batuk atau bersin, ia mengeluarkan tempias liur atau hingus yang menandungi virus yang kemudian melekat ke tangannya, jatuh pada sesuatu permukaan atau tersebar di udara. Orang lain yang menyedut udara itu, atau tersentuh tangan atau permukaan yang terdapat virus itu akan terdedah kepada jangkitan.

Tanda-tanda awal jangkitan influenza A(H1N1) ialah pesakit mengalami demam, batuk, sakit kepala, sakit otot dan sendi, gatal tekak, berhingus, dan kadangkala muntah atau cirit-birit.

Penyebaran influenza A(H1N1) dikatakan sebagai pandemik iaitu ia merebak ke  seluruh dunia. Ini disebabkan kerana puncanya merupakan jenis virus yang baru dimana umat manusia belum memiliki kelalian atau dayatahan atau keimunan (immunity) terhadapnya. Penyakit berjangkit yang epidemik pula ialah yang sudah biasa berlaku dan boleh dikawal menggunakan vaksin.

Pencegahan dan Tindakan Perlu Jika Timbul Tanda-Tanda Penyakit

Pada masa kini belum ditemui vaksin yang boleh digunakan untuk melindungi manusia daripada serangan virus H1N1. Virus ini menyerang sistem pernafasan dan pencegahan boleh dilakukan dengan melaksanakan beberapa amalan harian seperti berikut:

·         Tutup mulut dan hidung dengan tisu kertas ketika batuk atau bersin. Buang tisu tersebut ke dalam tong sampah yang bertutup.

·         Kerap membasuh tangan dengan air dan sabun terutama selepas batuk atau bersin.

·        Elakkan menyentuh mata, hidung dan mulut anda terutama jika anda syak yang tangan anda itu kurang bersih. Kuman mudah masuk ke tubuh badan dengan cara demikian.

·         Cuba elakkan daripada bersentuhan dengan orang yang sakit.

Apa harus dilakukan oleh seseorang yang mengalami tanda-tanda serangan H1N1?

Jika anda tinggal di kawasan dimana ada orang telah dikenalpasti dijangkiti penyakit ini dan anda mengalami tanda-tanda seperti yang disebutkan di atas, jangan keluar dari rumah melainkan untuk tujuan mendapatkan rawatan dan elakkan bersentuhan dengan orang lain. Jika tanda-tanda penyakit itu semakin ketara dapatkan rawatan dengan segera. Doktor anda akan menentukan samada anda perlu atau tidak melalui ujian flu atau rawatan.

Jika anda sakit dan mengalami tanda-tanda amaran berikut, dapatkan rawatan kecemasan.

Bagi kanak-kanak, tanda-tanda amaran yang memerlukan rawatan segera termasuk:

·         Sesak nafas

·         Kulit berwarna kebiru-biruan atau kelabu

·         Tidak mahu minum

·         Banyak atau kerap muntah

·         Tidak mahu bangun atau tidak mahu bermain

·         Mudah merajuk sehingga tidak mahu dipegang

·        Tanda-tanda seperti selsema reda tapi kemudian kembali demam dan batuk yang lebih teruk.

Bagi orang dewasa, tanda-tanda tanda-tanda amaran yang memerlukan rawatan segera termasuk:

·         Semput atau sesak nafas

·         Sakit pada dada atau kejang pada perut

·         Tiba-tiba pening

·         Kebingungan

·         Banyak atau kerap muntah

·        Tanda-tanda seperti selsema reda tapi kemudian kembali demam dan batuk yang lebih teruk.

1 comment:

Lamporre said...

Salam,
Semalam sempat mengikuti Tazkirah Jumaat di Masjid Kota Damansara yang suatu ketika pernah hangat dikaitkan dengan isu larangan penggunaan pembesar suara di Masjid tersebut.

Namun kali ini bukan perkara itu yang mahu disentuh apalagi isu itupun sudah kian dilupakan. Tapi apa yang aku mahu bangkitkan ialah bekalan ubat yang diberikan oleh ustaz tersebut dalam menangani wabak seperti H1N1 ini.

Ubat warisan Rasulullah SAW itu ialah membaca doa ini 3x pagi dan 3x petang. Bunyinya: Bismillahillazi La Yadurru Ma-az mihi Syai un fil ardhi, wala fiz-za-ma-i wa huwassamiul aliim. Untuk rujukan tepat dan sempurna sila lawati http://www.darussyifa.org/modules.php?name=Content&pa=showpage&pid=34
Kalau kita ke klinik pakar, ubat yang diberikan doktor akan kita makan mengikut jadual dan nasihat doktor pakar itu, biasanya tanpa gagal. Jadi ketahuilah bahawa ubat di atas adalah dari Rasulullah SAW, Doktor Pakar segala Pakar yang dididik dari universiti makrifat dan memperolehi ijazah tertinggi yang pernah wujud dan mendapat pengiktirafan fiddunya wal akhirah. Jadi masih tidak yakin lagi?