Tuesday, November 17, 2009

WAKIL RAKYAT KUNAK MINTA DIBINA PREMIS PERNIAGAAN LUAR BANDAR

Kota Kinabalu, 17 November 2009. Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah Kawasan N51 Kunak, Yang Berhormat Datuk Nilwan Bin Kabang hari ini meminta Kerajaan Negeri Sabah untuk membina premis perniagaan dengan mengambil model Pasar Sentral Tawau atau Pekan Rabu Alor Star bagi menggantikan Gerai Simpang Empat Kunak.


Permohonan itu dikemukakan oleh wakil rakyat Kunak itu dalam ucapan bahas beliau ke atas Bajet Negeri Sabah 2010 yang dibentangkan oleh YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah pada Jumaat, 13 November 2009.

Menurut Datuk Nilwan, kemunculan satu lagi produk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), hasil inovasi penduduk tempatan, iaitu kerepek ubi bersaiz besar yang kini mula dikenali sebagai Kerepek Ubi Kunak, sinonim dengan nama Daerah Kunak, merancakkan lagi aktiviti perniagaan di Gerai Simpang Empat Kunak.

"Bermula dengan tiga gerai gubuk yang didirikan oleh pengusaha kecil tempatan lebih dua dekad lalu dari kepingan-kepingan papan buangan dan kepingan zing-zing terpakai untuk bumbung, kini sudah menjadi deretan melebihi 20 gerai", ucap Datuk Nilwan.

"Meskipun demikian keadaannya, itulah satu-satunya premis perniagaan di Daerah Kunak yang paling banyak menerima pelanggan dari kalangan pelancong dalam dan laur negeri.

"Untuk itu, saya dengan ini memohon agar perbelanjaan wang negeri bagi pembangunan tahun 2010 dapat diambil sedikit dan diperuntukkan bagi membina sebuah pusat pemasaran produk PKS dan produk pertanian tempatan di lokasi Gerai Simpang Empat, dengan mengambil konsep binaan Pasar Sentral Tawau atau Pekan Rabu Alor Star", kata Datuk Nilwan lagi.

Wakil Rakyat Kunak itu juga menyahut seruan Ketua Menteri dalam ucapan Bajet 2010 untuk terus berusaha menghasilkan produk-produk pelancongan yang baru dan berdaya saing dengan menawarkan apa yang disebutnya sebagai, "Pakej Pelancongan Kunak sebagi Produk Inovatif dan Destinasi Pelancongan Terbaru Negeri Sabah".

Menurut Datuk Nilwan, Kunak merupakan khazanah pelancongan terpendam negeri ini yang amat tinggi nilainya, hanya sa-nya, para pemaju industri ini terlalu sibuk dengan produk-produk sediaada sehingga kewujudan "lombong emas industri pelancongan ini" tidak disedari.

Pakej Pelancongan Kunak menggabungkan elemen-elemen penting yang menjadi daya tarikan pelancong, iaitu nilai sejarah, eko-pelancongan, agro-pelancongan dan pelancongan marin.

1 comment:

Kunakpress said...

Pembangunan daerah akan dikecapi apabila masyarakat dan pemimpin sedia bekerjasama membawa perubahan dan pemodenan untuk faedah bersama.