Monday, June 29, 2009

JEJAK INFLUENZA A(H1N1) - 29 JUN 2009

  • Sehingga pukul 5.00 petang 29 Jun 2009, sejumlah 116 buah negara dan jajahan telah disahkan dilanda wabak selsema babi dengan jumlah kes terkumpul sebanyak 70,983 kes yang melibatkan 311 kematian.
  • Berikut ialah 10 negara dengan bilangan kes tertinggi:
  • Negara-negara yang telah melaporkan kes kematian akibat jangkitan selsema babi adalah seperti berikut:
  • Argentina kemungkinan besar akan mengumumkan keadaan darurat berikutan kes kematian yang semakin meningkat. "Keadaan darurat bukan bererti kami akan menutup (memberhentikan kegiatan) segalanya. Ia lebih merujuk kepada penyediaan kemudahan untuk membeli ubat-ubatan serta persedian kakitangan perubatan untuk dihantar bertugas ke kawasan-kawasan yang memerlukan", demikian kenyataan Menteri Kesihatan Argentina, Claudio Zin.
  • Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai pula memberitahu bahawa keadaan di Malaysia masih terkawal dan belum perlu pelaksanaan plan kontinjensi (plan yang dirangka untuk menghadapi sesuatu kemungkinan).

Sunday, June 28, 2009

Blogger Turns 10: What's your story?

Pos ini ditulis sebagai menyahut pelawaan blogger.com bertarikh 18 Jun 2009 untuk berkongsi cerita mengenai pengalaman sebagai penulis blog.

Saya mula mengenali perkhidmatan web dalam tahun 2000. Ketika itu, di kampung saya, belum ramai lagi yang menggunakan perkhidmatan internet. Aliran data juga sangat lambat. Saya menggunakan internet ketika itu semata-mata untuk mendapatkan maklumat terutama yang berkaitan dengan pekerjaan saya sebagai seorang pengurus ladang kelapa sawit. Laman yang paling banyak saya lawati ialah laman PORLA dan PORIM untuk mengikuti perkembangan industri kelapa sawit terutama turun-naiknya harga pasaran minyak sawit mentah.

Saya mula menyertai Blogger pada March 2009 dengan blog yang saya namakanKunak ians, yang bermaksud orang-orang Kunak. Pos pertama saya merupakan artikel dalam Bahasa Malaysia dimana saya melaporkan pengalaman bersama teman-teman mengikuti kursus Jatidiri di sebuah pulau tidak berpenghuni. Sehingga bulan April 2009 kesemua artikel yang saya poskan hanya dalam bentuk laporan.

Pada 27 April 2009 saya mendaftarkan satu lagi blog dengan Blogger untuk artikel-artikel dalam Bahasa Inggeris. Pos pertama dalam blog tersebut bertajuk Luffa Aegyptiaca masih lagi dalam bentuk laporan tetapi sudah banyak memuatkan unsur kajian. Pada 29 April 2009 cakera induk (hard disk) komputer saya telah rosak terok dan terpaksa menggantikannya dengan yang baru. Sudah tentu banyak data berharga yang hilang bersama kerosakan tersebut, termasuklah data-data berkenaan dengan sejarah kampung halaman saya, Kunak, yang telah lama saya kumpul sebelumnya. Beberapa artikel saya telah terselamat iaitu artikel-artikel yang telah saya poskan ke dalam blog. Semenjak hari itu saya pun menyedari bahawa salah satu kebaikan menulis dalam blog ini ialah jaminan tidak hilangnya artikel tersebut. Sayapun mula mengumpul data kembali untuk menulis semula sejarah kampung halaman saya dan terus mengeposnya ke Blogger.

Pergaulan saya yang agak meluas dengan masyarakat kampung membawa kepada banyak perbincangan dengan mereka, ramai yang mengemukakan pandangan dan tidak kurang pula yang meminta pendapat. Perkara yang saya rasa bermanfaat untuk dikongsi dengan pembaca, saya poskan ke dalam blog.

Ketika duduk di sebuah kedai kopi bersama tiga orang rakan, kedengaran berita dari TV di kedai kopi tersebut tentang kes Influenza A(H1N1) yang sudah mula dikesan di Malaysia. Serang rakan saya, yang tertua antara kami berempat bertanya, “Penyakit apa tu? Macam AIDS kah juga?”

Sebagai seorang sizwazah dalam bidang Mikrobiologi sedikit sebanyak ada juga pengetahuan saya mengenainya maka saya memberitahu rakan saya tu, “Influenza macam selsema juga. Demam, batuk, sakit kepala, tapi tentang H1N1 ni, saya tak berapa pasti”.

“Kalau sesuatu penyakit tu disiarkan dalam berita, biasanya agak bahaya juga tu”, sahut kawan saya seorang lagi sambil menggaru-garu perutnya yang agak buncit.

Rakan tertua kami mula kelihatan gusar. Kepingan roti canai yang sudah di ambang bibirnya diletakkan kembali ke pinggan. “Ada ubatnya kah?” dia bertanya bersungguh-sungguh.

“Jangan risau sangatlah, nanti kawan kita ni selidik dan beritahu kita”, kata rakan kami yang berperut agak buncit. Sambil menunjuk kepada saya dia sambung, “Kawan kita ni bekas guru sains. Dia mesti boleh tahu macam mana mahu elak (penyakit itu), ada ubat kah, tidak ada kah”. Dia kemudian menepuk-nepuk bahu saya dan menambah, “Boleh kan?”

“Tak pastilah, Panglima”, jawabku berterus terang. “Nanti saya rujuk kembali buku teks atau nota-nota kuliah saya kalau masih ada. Di internetpun barangkali ada maklumat mengenainya.”

Sekembali ke rumah sayapun terus mengumpul maklumat dari buku-buku mengenai virus dan nota-nota kuliah lama saya mengenai penyakit berjangkit. Pengumpulan maklumat saya teruskan dengan melayari internet. Kesemuanya saya gabung serta hubungkaitkan dan sedaya upaya menulisnya dalam bahasa dan istilah yang paling mudah difaham oleh orang seperti rakan-rakan saya di kedai kopi itu. Terhasillah artikel “Mengenal dan Menangani Influenza A(H1N1)” yang saya poskan dalam blog KUNAKIANS pada 29 Mei 2009. Saya mencetak tiga salinan artikel itu dan memberikan kepada ketiga-tiga rakan saya yang disebutkan tadi.

Siri “Keajaiban Nombor” pula saya poskan ke dalam laman web atas cadangan beberapa orang bekas pelajar yang memberitahu bahawa kaedah kaedah ini telah banyak membantu mereka dalam mengikuti matapelajaran Matematik samada di sekolah rendah mahupun sekolah menengah. Begitu juga dengan mereka yang telah meninggalkan bangku sekolah, mereka dapati bahawa kaedah ini amat berguna dalam kehidupan seharian.

Banyak perkara yang boleh diceritakan mengenai pengalaman sebagai penulis blog meskipun bagi saya baru mula menyertainya empat bulan yang lalu, apatah lagi bagi mereka yang telah bertahun-tahun berkecimpung dengannya.

Bagi saya memadailah untuk meyimpulkan dua alasan utama yang mendorong saya untuk meneruskan kegiatan ini:

1. Ia merupakan cara yang terbaik untuk berkongsi maklumat dengan mereka yang mendapati maklumat dalam blog saya berfaedah dan turut menyedari bahawa pada masa yang sama berusaha mengelak daripada mengaibkan mana-mana pihak.

2. Ia merupakan tempat menyimpan dengan selamat buah fikiran yang mungkin tidak akan terdaya untuk difikir lagi setelah usia semakin meningkat.

Thursday, June 25, 2009

SABAH KINI TERDEDAH KEPADA INFLUENZA A(H1N1)?

  • Sehingga ke hari ini, penduduk Sabah seakan-akan terlepas dari ancaman influenza A(H1N1) yang mula dilaporkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 24 April 2009.
  • Memandangkan kemungkinan menularnya pandemik berkenaan ke Negeri Sabah, kami telah memuatkan beberapa panduan ringkas dalam menangani wabak tersebut melalui blog ini dalam pos "Mengenali dan Menangani Influenza A(H1N1) bertarikh 29 Mei 2009. Komen dari seorang pembaca pos ini mungkin juga berfaedah kepada pembaca lain, terutama dari kalangan Umat Islam.
  • Kini, wabak yang sedang menggerunkan penduduk seluruh dunia akhirnya telah sampai kepada kita.
  • Pada pukul 1.41 petang hari ini, 25 Jun 2009, Agensi Berita Nasional (BERNAMA) melaporkan bahawa mangsa kes ke-91 wabak ini di Malaysia merupakan seorang warganegara Malaysia yang baru pulang dari Melbourne, Australia pada 20 Jun 2009. Mangsa tersebut, seorang lelaki, telah transit di KLIA sebelum menaiki penerbangan lain ke Kota Kinabalu, kemudian ke Sandakan pada hari itu juga.
  • BERNAMA tidak pula menyatakan beberapa perkara yang perlu diketahui oleh kita semua dalam usaha mengawal penyakit tersebut dari merebak:
  1. Di mana pesakit berkenaan sedang dirawat? Apakah pesakit berkenaan dan anak lelaki Datuk Peter Pang (Timbalan Ketua Menteri Sabah) yang baru sahaja pulang dari Melbourne seminggu yang lalu orang yang sama?
  2. Nombor penerbangan yang membawa beliau ke Kota Kinabalu dan Sandakan?
  3. Bagaimana nasib dengan penumpang-penumpang lain dalam penerbangan tersebut? Apakah mereka sudah dimaklumkan mengenai perkara ini dan dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan segera sebaik sahaja mereka mengalami sebarang simtom yang berkaitan dengan influenza A(H1N1)?
  • Datuk Peter Pang dan keluarga kini mengkuarantinkan diri sebagai langkah berhati-hati (untuk tidak merebakkan virus seandainya mereka turut dijangkiti). Suatu sikap yang bertanggungjawab dan patut dicontohi.
  • Laporan WHO pada 24 Jun 2009 menunjukkan sejumlah 55,867 kes di seluruh dunia dengan angka kematian seramai 238 orang. Malaysia mencatat 91 kes, 74 berpunca dari luar negara dan 14 merupakan jangkitan dalam negeri.

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN - GUNA BAHASA YANG PALING DIFAHAMI

  • Isu penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains janganlah hendaknya disensasikan sehingga dikaitkan dengan isu-isu perkauman.
  • Ilmu atau penemuan terbaru yang diterbitkan dalam bahasa asing sewajarnyalah dipelajari dan dikaji menggunakan bahasa tersebut. Apabila telah dipelajari oleh para cendekiawan ianya hendaklah diturunkan kepada pelajar menggunakan bahasa yang paling mudah difahami oleh kumpulan pelajar tersebut.
  • Cendekiawan Barat mempelajari ilmu al-jabar (algebra) dari Bangsa Arab, pertama dengan mempelajari Bahasa Arab atau berganding bahu dengan cendekiawan Arab untuk menterjemah ilmu tersebut ke dalam bahasa orang-orang Barat sendiri. Mereka kemudian mengajar dan menyebar ilmu tersebut kepada pelajar-pelajar mereka menggunakan bahasa mereka sendiri.
  • Dari mula hingga kini, algebra tidak diajar di sekolah atau pusat-pusat pengajian tinggi di mana-mana negara Barat menggunakan Bahasa Arab.
  • Bayangkan betapa terkapainya pelajar-pelajar di Amerika Syarikat atau Jerman andai mereka terpaksa mempelajari ilmu perubatan menggunakan Bahasa Arab semata-mata kerana ilmu perubatan moden telah diasaskan oleh Ibnu Sinna, seorang Bangsa Parsi yang menulis dalam Bahasa Arab.
  • Bagi Malaysia yang penduduknya berbilang kaum, biarlah semua ilmu, termasuk sains dan matematik, diajar dalam bahasa penduduk Malaysia.
  • Di sekolah-sekolah kebangsaan (menengah atau rendah) biarlah pengajaran dan pembelajaran menggunakan Bahasa Malaysia tanpa mengira apa jua matapelajaran. Di sekolah jenis kebangsaan biarlah bahasa Tamil, Mandarin, Inggeris dan sebagainya digunakan bergantung kepada bahasa yang paling difahami oleh kebanyakan pelajar-pelajar berkenaan.
  • Apalah faedahnya memaksa anak-anak kita mempelajari sesuatu ilmu menggunakan bahasa yang sukar mereka fahami. Ia akan hanya menyebabkan mereka terus tinggal dalam kegelapan tentang prinsip dan hukum-hukum ilmu berkenaan.
  • Cuba tanya pelajar-pelajar kita dari kawasan kampung yang kini sudah berada di Tingkatan Satu, “What is the product of fourteen and six?” Bolehkah mereka menjawab dengan spontan. Saya percaya, jarang sekali yang boleh. Malah ada yang akan bertanya, “Prodak tu apabende?” Mereka ini, telah mempelajari matematik menggunakan Bahasa Inggeris sejak dari tahun satu sekolah rendah. Cuba tanya pula dalam Bahasa Melayu, “Berapakah hasildarab empatbelas dengan enam?” Sekali lagi, mereka terkapai-kapai. Nah! Bahasa Inggerispun tak faham, Bahasa Melayupun tak fasih. Hal ini berlaku kerana mereka tidak mahir akan asas prinsip darab dan paling malang, mereka tidak pernah benar-benar faham pola kedudukan nombor. Mereka tidak pernah faham yang fourteen itu ialah satu puluh dan empat sa. Kalau mereka faham, pelajar yang sederhana cerdik akan dapat mengolah dalam minda bahawa satu puluh darab enam ialah enampuluh; empat darab enam ialah duapuluh empat; Enampuluh tambah duapuluh ialah lapanpuluh; Lapanpuluh tambah empat ialah lapanpuluh empat.
  • Bahasa-bahasa asing terutama bahasa yang meluas digunakan di dunia, seperti Bahasa Inggeris, Arab, Mandarin, Perancis dan lain-lain, hendaklah diajarkan di sekolah-sekolah rendah dan menengah mengikut kronologi kognitif bahasa pertumbuhan kanak-kanak hingga remaja. Kalau perlu, diperingkat sekolah menengah, impot guru dari England untuk mengajar Bahasa Inggeris, dari Mesir untuk Bahasa Arab, dari Beijing untuk Bahasa Mandarin dan seterusnya. Dengan cara ini saya yakin anak-anak kita akan mampu berbahas dalam menggunakan Bahasa Inggeris, seperti Lord Erskine, Bahasa Mandarin seperti Yu Hua, Bahasa Arab seperti Sheik Nazrallah dan seterusnya.
  • Di peringkat universiti, impot Guru Bahasa Asing hendaklah diteruskan. Beri peluang kepada bakal-bakal cendekiawan kita terus mendalami sesuatu bahasa asing yang membolehkan mereka memburu ilmu yang ditemui melalui bahasa itu, disamping terus mengolah ilmu berkenaan dalam Bahasa Melayu atau bahasa yang paling difahaminya.

Tuesday, June 23, 2009

MEASAT-3a: SATELIT KEEMPAT MALAYSIA

Pelancaran satelit terbaru negara, Measat-3a di Baikonur, Kazakhstan beberapa jam yang lalu tentunya membanggakan kebanyakan rakyat Malaysia. Paling gembira dan paling bertuah pastinya 5 orang remaja Malaysia, iaitu Ahmad Ruiz Mohd Asri yang berasal dari Taman Tun Dr Ismail Kuala Lumpur, Edmund Chen Min Lau dari Kuching, Sarawak, Lina Na’ilah Abdul Talip dari Kajang, Selangor, Chandra Sekhar Kuppusamy dari Johor Baharu dan Cliff Asher R. Ongil dari Beaufort, Sabah. Mereka adalah antara 14 orang remaja yang telah dipilih oleh MEASAT ke Baikonur bagi menyaksikan secara langsung pelancaran Measat-3a.

Satelit seberat 2,417 kilogram itu yang dibawa oleh pesawat pelancar jenis Zenit-3SLB bertolak dari tapak pelancaran Baikonur Cosmodrome mengikut jadual pada pukul 5.50 pagi waktu Malaysia atau pukul 3.50 pagi di Baikonur. Measat-3a merupakan satelit keempat kepunyaan Measat Satellite Systems Sdn Bhd dan akan mengorbit pada kedudukan 91.5 darjah Timur longitud.

Kejayaan pelancaran ini merupakan satu lagi peristiwa bersejarah bagi negara. Bercakap tentang sejarah, hendaknya kita jangan lupa akan titik tolak bermulanya kita rakyat Malaysia mengecap nikmat komunikasi satelit yang setaraf dengan yang dinikmati oleh rakyat di negara-negara maju. Ianya bermula dari inisiatif seorang anak Malaysia yang berjiwa besar dan berpandangan jauh, tidak lain dan tidak bukan, dia ialah Tun Dr Mahathir Mohamad. Walaupun sudah hampir 6 tahun meninggalkan kerusi Perdana Menteri namun hasil usaha yang Tun telah landaskan masih terus menyalur nikmat kepada kita semua.

Pada tahun 1992, berikutan pelan Wawasan 2020 yang dirangka oleh Tun bagi pembangunan infrastruktur komunikasi negara dalam memasuki abad baru, Binariang Sdn Bhd telah mengumpul satu pasukan pakar-pakar yang berpengalaman dan bermotivasi tinggi dalam bidang ini untuk membangun dan melancarkan sistem satelit komunikasi Malaysia yang pertama. Projek tersebut telah diberi nama Malaysia East Asia Satellite atau singkatnya MEASAT.

Impian ini akhirnya tercapai dengan pelancaran Measat-1 dan Measat-2 dari Pengkalan Angkasa Eropah di Kourou, French Guiana pada tahun 1996. Dari pusat kawalan yang terletak 915 meter dari paras laut di Gunung Raya, Langkawi Measat-1 dan Measat-2 mula memberikan khidmat ke seluruh Asia Tenggara pada tahun itu juga. Kejayaan ini telah membawa lonjakan yang besar dan pembangunan yang pesat dalam industri telekomunikasi dan penyiaran di Malaysia, termasuklah pelancaran khidmat Pelbagai-Saluran TV digital langsung-ke-kediaman (DTH) yang pertama di dunia, iaitu ASTRO.

Semoga kita rakyat Malaysia tahu menghargai nikmat hasil usaha mereka yang telah memerah buah fikiran dan bekerja keras sehingga kita dapat mencapai ke tahap ini. Terimakasih, Tun.

Kepada generasi muda termasuklah 5 remaja bertuah yang sempat ke Baikonur untuk pelancaran Measat-3a, janganlah hendaknya mudah lupa.

Janganlah menjadi seperti sebilangan kecil di antara kita yang menggunakan sistem Measat (melalui internet) untuk menabur fitnah dan melemparkan kata-kata kesat kepada orang yang telah membawa kemudahan itu kepada kita.

Sunday, June 21, 2009

KEAJAIBAN NOMBOR - BHG 5

Dalam Bhg 4 siri ini kita telah melihat apa itu pelengkap bagi sesuatu angka. Penguasaan “sistem” ini membolehkan seseorang menyelesaikan operasi tolak yang mudah secara lisan tanpa menggunakan kalkulator atau pen dan kertas, contoh: 324 – 38 = ?

Kaedah yang biasa kita pelajari di sekolah adalah seperti berikut:Pertama, tulis semula soalan ke bentuk lazim:

3 2 4

- 3 8

Selepas itu mulalah meminjam (teringat pula kes AH LONG). Penyelesaian dimulakan dari kedudukan angka paling kecil, iaitu SA---> 4 – 8 = (tidak boleh), jadi “pinjam” dari kedudukan angka berikutnya, iaitu PULUH ---> (10 + 4) – 8 ---> 14 – 8 = 6. Bentuk lazim kita akan kelihatan seperti ini:

1

3 2 4

- 3 8

6

Seterusnya, kita selesaikan pula pada kedudukan PULUH ---> 1 – 3 = (tidak boleh), jadi pinjam lagi (habislah pinjam teruss!), ---> (10 + 1) – 3 --> 11 – 3 = 8 dan bentuk lazim kita menjadi:

2 1

3 2 4

- 3 8

8 6

Akhir sekali, kita turunkan baki kedudukan RATUS dan barulah operasi tolak ini selesai.

2 1

3 2 4

- 3 8

2 8 6

Cuba bandingkan pula dengan kaedah berikut, iaitu penyelesaian yang bermula dari kedudukan angka paling besar, RATUS:

Sebaik sahaja disebutkan “tiga ratus dua puluh empat tolak tiga puluh lapan”, anda boleh terus menyambut, “Dua ratus...”, sebab anda tahu bahawa RATUS itu akan berkurangan satu tangga (dari 3 kpd 2) kerana PULUH nombor yang ditolak (2) lebih kecil dari PULUH nombor penolak.

Selanjutnya sebutlah “...lapan puluh...” dengan mengambil kira bahawa

(i) pelengkap 3 ialah 7 (3 ialah angka kedudukan PULUH pada nombor penolak)

(ii) 7 + 2 = 9 (7 ialah pelengkap 3, 2 ialah angka kedudukan PULUH pada nombor yang ditolak).

(iii) Satu tangga dibawah 9 ialah 8 (kerana angka pada kedudukan SA nombor yang ditolak iaitu 4 lebih kecil dari angka SA nombor penolak iaitu 8)

Seterusnya sebutlah “...enam!” kerana:

(iv) Pelengkap 8 ialah 2

(v) 2 + 4 = 6 (4 ialah angka pd kedudukan SA nombor yang ditolak).

Lakaran minda kaedah ini ialah:

324 - 38 ---> (3-1)ratus (7+2-1)puluh (2+4) ---> 2 ratus 8 puluh 6 = 286.

Ajaibnya: Masalah Operasi Tolak diselesaikan dengan Operasi Tambah, sebab operasi tambah agaknya lebih mudah berbanding operasi tolak.


Friday, June 19, 2009

KEAJAIBAN NOMBOR - BHG 4

ANGKA DALAM SISTEM NOMBOR
Angka-angka yang digunakan dalam sistem nombor yang digunapakai dewasa ini ialah 1,2,3,4,5,6,7,8, dan 9. Cuba tambahkan angka yang paling kiri dengan angka yang paling kanan, angka kedua dari kiri dengan anga kedua dari kanan dan seterusnya seperti dalam rajah di bawah ini.
Anda akan mendapati bahawa kesemua jawapan anda ialah 10. Dengan kata lain, angka 1 melengkapkan angka 9 menjadi 10, angka 2 melengkapkan angka 8 menjadi 10 dan seterusnya. Begitu pula sebaliknya angka 9 melengkapkan angka 1 menjadi 10, angka 7 melengkapkan angka 3 menjadi 10 dan sebagainya.
Angka 5 tidak mempunyai pasangan kerana ia melengkapkan dirinya: 5 + 5 = 10.
Untuk memudahkan perbincangan ke bahagian-bahagian seterusnya dalam siri ini kita akan mengistilahkan:
Pelengkap 1 ialah 9 dan pelengkap 9 ialah 1, pelengkap 4 ialah 6 dan pelengkap 6 ialah 4, pelengkap 3 ialah 7 dan seterusnya.

Thursday, June 18, 2009

MENYINGKAP SEJARAH DAERAH KUNAK - BHG 5

Antara tahun 5000 SM hingga 2000 SM, Gua Madai terus sepi tanpa dihuni oleh manusia. Dalam tempoh tersebut tentunya kemahiran membina pondok dari kayu kayan dan pelepah semakin meningkat. Puak Madai terus menyususr pantai dan berpindah-randah dari satu tempat ke tempat yang lain untuk mencari sumber makanan. Dalam perjalanan ini mereka bertemu pula dengan dua puak lain yang telah terpisah puluhan ribu tahun sebelumnya. Dua puak tersebut adalah Puak Taiwan dan Puak Sulawesi. Bersama mereka terus meneroka pesisiran pantai. Ramai di antara mereka yang sampai ke Bukit Tengkorak di Semporna.

Sekitar 30,000 SM di kawasan yang kini dikenali sebagai Indochina, beberapa puak telah terpisah dari rombongan Orang Purba Tingkayu (lihat Bahagian 1 siri ini) dan menuju ke kawasan yang kini dikenali sebagai Taiwan. Seperti Orang Purba Tingkayu mereke meneruskan kehidupan sebagai pemburu dan pengutip (hunter-gatherer) selama hampir 20,000 tahun.

Apabila blok-blok ais raksaksa cair sekitar 10,000 SM Taiwan telah terputus hubungan darat dengan tanah besar Asia dan juga Kepulauan Melayu. Kawasan berburu dan mengutip bahan makanan bagi Puak Taiwan menjadi amat terhad sedangkan populasi semakin bertambah. Dalam keadaan sedemikian Puak Taiwan mula meneroka dua perkara baru yang amat penting bagi kelangsungan hidup mereka. Pertama, bercucuk tanam untuk memastikan mereka mempunyai bekalan bijirin yang mencukupi. Kedua, mereka mula mempelajari cara-cara membina perahu agar mereka dapat menyeberang laut untuk berburu atau mengutip bahan makanan. Beberapa rombongan pelayar dari Puak Taiwan telah menyeberang kembali ke tanah besar Asia dan ada pula yang menuju ke selatan lalu menemui Pulau Luzon.

Di Bahagian 3 siri ini kita telah menyebutkan bahawa terdapat puak seketurunan Orang Purba Tingkayu yang telah menyeberang laut dari Kalimantan ke Mamuju di Sulawesi sekitar 16,000 SM. Mereka adalah moyang Orang Sulawesi dan merupakan manusia pertama yang menyeberang laut. Kemahiran dalam membuat perahu terus diperbaiki yang membolehkan mereka terus unggul sebagai pelayar paling tersohor di Hemisfera Selatan sehingga mereka digelar sebagai “The Vikings of the South Seas”.

Dengan terputusnya laluan darat, Orang Sulawesi kini menjadi peneraju dalam menghubungkan kembali puak-puak yang terpisah. Perjalanan laut telah membawa mereka ke Pulau Jawa, Sumatera, Borneo, Kepulauan Filipina, Papua, Kepulauan Pasifik dan Australia. Di kawasan-kawasan itu mereka telah bertemu dengan puak-puak yang telah terpisah sebelum terputusnya laluan darat. Dengan kedatangan Puak Taiwan, tiga kumpulan yang telah terpisah selama ribuan tahun kini bertemu kembali. Interaksi dikalangan ketiga-tiga kumpulan ini telah membentuk budaya, perwatakan, kemahiran dan bahasa suatu rumpun bangsa yang digelar oleh ahli-ahli sejarah dan antropologi sebagai Austronesian.

Di Bukit Tengkorak Semporna pengalaman dan kemahiran telah dikongsi bersama terutama dalam industri pembuatan tembikar. Bukti-bukti arkeologi telah menunjukkan bahawa interaksi meluas antara puak-puak tersebut memang berlaku pada 5000 SM atau lebih awal dari itu. Ciri-ciri tembikar Bukit Tengkorak pada zaman itu adalah sama dengan yang ditemui di Madai dan Baturong di Kunak, Balobok Semenanjung Sulu, Leang Tuwo Mane’e di Kepulauan Talaud serta Paso dan Ulu Leang di Sulawesi.

KEAJAIBAN NOMBOR - BHG 3

OPERASI MATEMATIK KAEDAH PASAR - HASILTOLAK
Saya baru sahaja pulang dari menghadiri satu persidangan sebagai pemerhati atas jemputan ketua persatuan berkenaan. Ketika membentangkan laporan kewangan, bendahari yang hendak mengemaskini data memasukkan perbelanjaan untuk mesyuarat bernilai RM 75.50. Baki peruntukan kewangan untuk belanja pelbagai (petty cash) sebelumnya ialah RM 243.00 dan beliau hendak mengira berapa lagi baki wang tersebut selepas menolak perbelanjaan mesyuarat.
Dah nak jadi cerita, kalkulator beliau telah kehabisan kuasa bateri dan bertanya kalau-kalau ada diantara yang hadir membawa kalkulator. Para hadirinpun mencapai telefon bimbit masing-masing untuk membuka asesori calculator.

Tanpa berlengah saya menjawab, “Seratus enampuluh tujuh ringgit limapuluh sen.” Beberapa saat kemudian beberapa orang menyambut, “Ya, ya, betul! Hah, betul!” Dengan peristiwa itu sayapun teringat yang saya belum lagi mengepos bahagian tiga dalam siri ini dan berjanji dalam hati akan berbuat demikian sebaik sahaja balik dari persidangan. Kini saya menunaikannya.
Kaedah yang saya gunakan ketika itu ialah kaedah pasar, operasi tolak kaedah pasar. Saya andaikan bahawa bendahari persatuan ini ialah pelanggan yang hendak membayar harga barangan bernilai RM 75.50. Dia mempunyai wang dalam dompet berjumlah RM 243.00.
Saya andaiakan lagi wang itu terdiri dari dua keping not RM 100, empat keping not RM 10 dan tiga keping not RM 1. Dalam situasi pasar, tentunya dia tidak memberikan kepada penjual kesemua wang RM 243.00 itu, bukan? Dia akan memberikan satu keping not RM 100. Baki dalam dompet bendahari ialah RM 143.00.
RM 243.00 – RM 100.00 = 143.00
Penjual yang menggunakan operasi matematik kaedah pasar akan menggenapkan harga barangan yang bernilai RM 75.50 ke RM 76.00 dengan memberi duit syiling bernilai RM 0.50 kepada pelanggan.
RM 75.50 + RM 0.50 = RM 76.00.
Penjual kemudian memberikan baki wang bernilai RM 24.00 kepada pelanggan.
RM 100.00 – RM 76.00 = RM 24.00
Tambahkan RM 24.00 kepada wang bendahari dalam dompet yang bernilai RM 143.00:
RM 143.00 + RM 24.00 = RM 167.00 dan jangan lupa syiling dalam saku bernilai RM 0.50:
RM 167.00 + RM 0.50 = RM 167.50.
Mungkin kelihatan agak rumit dengan penjelasan yang terperinci di atas. Namun sebenarnya yang berlegar dibenak saya ketika membuat perkiraan dalam persidangan tadi adalah mudah:
243.00 – 75.50 ialah (100-76)+143 dan limapuluh sen = 24 + 143 dan limapuluh sen = RM 167.50

Monday, June 15, 2009

KEAJAIBAN NOMBOR - BHG 2

OPERASI MATEMATIK KAEDAH PASAR - HASILTAMBAH

Jika Jika anda membeli-belah di pasar-pasar terbuka, cuba ke bahagian sayuran, buah-buahan, kuih-muih atau bahagian ikan masin. Para penjaja dari bahagian-bahagian ini kebanyakannya dari kalangan mereka yang sudah lanjut usia dan jarang pula yang mempunyai pendidikan formal. Cuba perhatikan cara mereka mengira harga barangan yang hendak dibeli oleh pelanggan. Anda pasti akan kagum bagaimana pantas mereka mengira tanpa menggunakan kalkulator.

Mungkin anda pernah menyaksikan atau mengalami sendiri transaksi yang berlaku di bahagian sayuran di pasar terbuka seperti berikut:

Seorang surirumah membeli 1 kg terung dengan harga RM 1.30 se-kg, kemudian 3 ikat sayur sawi dengan harga RM 1.20 seikat, diikuti 1 kg tomato dengan harga RM 2.40 se-kg dan akhir sekali 2 ikat kacang panjang dengan harga RM 1.50 seikat. Surirumah itu bertanya kepada penjaja, “Berapa harga semuanya, Kak?”

Si penjaja yang dalam lingkungan usia limapuluhan mengambil sebuah beg plastik yang agak besar lalu memasukkan 3 ikat sayur sawi dan 1 kg tomato sambil berkata, “Enam ringgiiit...” Dia memasukkan pula 2 ikat kacang panjang dan menyebut, “Sembilan ringgiiit...” Akhir sekali dimasukkannya 1 kg terung dan memberitahu surirumah pelanggannya itu, “Semuanya sepuluh ringgit tigapuluh sen, Dik.”

Sang surirumahpun membayar harga barangan tanpa meragui benar atau tidaknya perkiraan penjaja sayur itu. Dia sudah biasa membeli sayuran di situ. Di peringkat awal sebelumnya, surirumah itu pernah juga mengira kembali denganmenggunakan pen dan kertas untuk memastikan yang dia tidak ditipu oleh penjaja. Seteleh dua tiga kali membuat pengiraan sendiri, kini dia yakin dengan kejujuran penjaja sayur itu disamping mengagumi kebolehannya mengira tanpa menggunakan kalkulator atau pen dan kertas.

Bagaimanakah Makcik Penjaja Sayur itu membuat pengiraan yang begitu cepat dan jitu?

Cuba kita perhatikan keadaan transaksi dalam contoh yang disebutkan tadi. Mula-mula surirumah membeli 1 kg terung diikuti 3 ikat sawi. Penjaja pula memasukkan 3 ikat sayur sawi dan 1 kg tomato ke dalam beg plastikl sambil mengira, tanpa mengikut urutan barangan yang dibeli oleh surirumah. Ini adalah kerana jumlah harga sayur sawi dan tomato tadi menyempurnakan ringgit:

3 ikat sawi x RM 1.20 = RM 3.60

1 kg tomato x RM 2.40 = RM 2.40 -----> RM 3.60 + RM 2.40 = RM 6.00

Makcik Penjaja seterusnya memasukkan ke dalam beg plastik 2 ikat kacang panjang kerana harganya merupakan ringgit yang sempurna dan mudah ditambah kepada jumlah harga barangan yang terdahulu:

2 ikat kacang panjang x RM 1.50 = RM 3.00----> RM 6.00 + RM 3.00 = RM 9.00

Akhir sekali barulah Makcik Penjaja memasukkan terung yang berharga RM 1.30 ke beg plastik. Dalam pengiraan, Makcik menambah ringgit dahulu kepada jumlah sediada:

RM 9.00 + RM 1.00 = RM 10.00, lalu disebutnya “Semuanya sepuluh ringgit...” dan ditambahnya dengan sebutan sen selebihnya, “...tigapuluh sen, Dik.”



Sunday, June 14, 2009

KEAJAIBAN NOMBOR - BHG 1

Pengenalan

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani yang dengan izinNya jua dapatlah saya memuatnaik siri ini semoga bermanfaat kepada yang mengikutinya.

Sebenarnya, siri ini saya terbitkan melalui laman blog ini atas permintaan kalangan bekas pelajar-pelajar saya yang mendakwa bahawa kaedah ini telah banyak membantu mereka dalam mengikuti matapelajaran Matematik samada di sekolah rendah mahupun sekolah menengah. Begitu juga dengan mereka yang telah meninggalkan bangku sekolah, mereka dapati bahawa kaedah ini amat berguna dalam kehidupan seharian.

Sewaktu dibangku sekolah, dari Darjah Satu (sekarang disebut Tahun Satu) hingga Darjah Empat, saya cukup lemah dalam matapelajaran Matematik walaupun tidak banyak masalah yang saya hadapi dalam lain-lain matapelajaran. Keadaan ini menyebabkan kedudukan saya dalam kelas selalu mendapat tempat kedua sahaja. Teringin juga merasai berada di puncak sebagai juara kelas. Tiba tahap Darjah Lima, saya mendapat petunjuk untuk meneliti nombor dan pola operasi matematik. Alhamdulillah, saya mula mengorak langkah meningkatkan prestatsi dalam matapelajaran ini. Begitu pula, hasrata saya untuk menjadi juara kelas akhirnya tercapai.

HASIL TAMBAH – CARA PANTAS MEMERIKSA SAMADA JAWAPAN SESUATU HASILTAMBAH ITU BENAR ATAU SALAH

Ramai dari kalangan kita yang menganggap bahawa operasi tambah merupakan operasi matematik yang paling mudah. Memang benar, sehingga kita kadangkala terlupa untuk memeriksanya kembali samada jawapan kita itu benar atau salah. Kemahiran pra-sayarat untuk menggunakan kaedah ini ialah, anda mestilah telah faham maksud nombor ganjil dan nombor genap.

  • · Nombor ganjil ialah sesuatu nombor yang apabila dibahagi dengan dua maka hasil bahaginya akan mempunyai baki 1. Contoh-contoh nombor ganjil ialah 1,3,5,9,11,13,15,17,...dan seterusnya. Nombor ganjil berakhir dengan 1,3,5,7 atau 9.
  • · Nombor genap ialah sesuatu nombor yang apabila dibahagi dengan dua maka hasilbahaginya tidak mempunyai baki. Contoh-contoh nombor genap ialah 2,4,6,8,14,100,324,..dan seterusnya. Nombor genap berakhir dengan 0,2,4,6 atau 8.

Selepas membuat perkiraan bagi sesuatu operasi hasiltambah periksa jawapan anda:

  • Ø Nombor ganjil + nombor ganjil = nombor genap

Contoh: 17 + 29 = 46

  • Ø Nombor ganjil + nombor genap = nombor ganjil

Contoh: 55 + 56 = 111

  • Ø Nombor genap + nombor genap = nombor genap

Contoh: 76 + 88 = 164

Sukacita para pembaca dijemput untuk menambahbaik atau memberikan komen bagi siri ini untuk kepentingan para pelajar kita khsnya dan masyarakat amnya.


Friday, June 12, 2009

MENYINGKAP SEJARAH DAERAH KUNAK - BHG 4

Ribuan peralatan batu telah ditemui di Gua Madai oleh ahli-ahli arkeologi. Kebanyakan peralatan tersebut dibperbuat daripada batuan sungai seperti yang ditemui di Baturong. Lesung batu turut ditemui yang mungkin telah digunakan oleh Orang Purba Madai untuk mengisar makanan, memecah cangkerang makanan laut seperti kerang dan sebagainya. Kesan pewarna pada lesung menunjukkan yang ianya juga digunakan untuk menyediakan bahan-bahan pewarna.

Penemuan timbunan cengkerang yang begitu banyak di Gua Madai menunjukkan bahawa penduduknya ketika itu sering berkunjung ke tepi pantai untuk mencari sumber makanan. Walaupun demikian, kegiatan memburu masih diteruskan. Haiwan-haiwan buruan mereka termasuklah seladang dan dua spesis badak, iaitu badak jawa (Rhinoceros sondaicus) dan badak sumatera (Rhinoceros sumatrensis). Pada masa kini, badak jawa tidak lagi ditemui di Sabah.

Sekitar 5,000 tahun SM, Gua Madai telah ditinggalkan oleh penduduknya. Belum ada kajian secara terperinci yang dibuat mengenai sebab mereka meninggalkannya dan kemana mereka berpindah.

Dengan kemahiran mereka membuat peralatan batu yang berbagai bentuk untuk tujuan-tujuan tertentu maka Orang Purba Madai tentunya telah mempunyai peralatan untuk menebang dan memotong kayu. Dengan keadaan persekitaran yang sudah lebih hangat, mereka tidak lagi memerlukan dinding gua sebagai tempat berlindung dari kedinginan malam. Naluri manusia untuk terus mencari kesenangan hidup mendorong mereka untuk berada lebih dekat dengan tempat yang boleh memberikan kesenangan. Mereka telah menemui ‘khazanah’ lautan yang memberi jaminan bahawa keluarga mereka tidak lagi perlu berlapar apabila pemburu pulang dengan tangan kosong.

Tidak ada sebab lagi kenapa Orang Purba Madai harus menetap di dalam gua bersama dengan kelelawar dan burung-burung lelayang. Mereka sudah muak dengan najis haiwan-haiwan itu yang semakin menebal di lantai gua. Orang Purba Madaipun keluar beramai-ramai ke kawasan yang lebih hampir dengan pantai. Kemahiran mereka dalam membuat peralatan batu untuk pelbagai tujuan kini mereka gunakan untuk membentuk alat yang boleh digunakan untuk menebang kayu-kayu kecil yang memang banyak di daerah ini. Dengan kayu, kulit kayu, akar, rotan dan dedaun pelepah palma mereka membina pondok. Wujudlah perkampungan terawal di Daerah Kunak pada 5000 tahun SM.


Wednesday, June 10, 2009

CUTI SEKOLAH - MUSIM PENGANTIN

Bila musim cuti sekolah tiba maka ramai pula pasangan muda-mudi yang mengambil kesempatan untuk melangsungkan perkahwinan. Musim ini dipilih agaknya kerana untuk memberi kesempatan kepada rakan-rakan mempelai dari kalangan guru sekolah untuk turut memeriahkan majlis. Disamping itu, ibubapa yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah mempunyai lebih masa terluang untuk membantu dalam membuat persiapan majlis persandingan. Begitu pula sanak saudara, rakan serta handai taulan yang diperantauan mencari rezeki dapatlah pulang kampung untuk menghadiri majli perkahwinan itu.
Pada musim cuti sekolah kali ini yang bermula pada 30 Mei dan akan berakhir pada 14 Jun 2009 tidak kurang dari 23 pasangan di Daerah Kunak akan melangsungkan perkahwinan (mengikut bilangan jemputan kenduri kahwin yang saya terima sehingga kini). Letih juga melayan semua jemputan tu, tapi apa nak buat, kena jaga hati teman-teman. Inipun baru balik dari majlis perkahwinan di Kampong Simpang Empat, balik dan terus menulis pos ini. Semalam telah menghadiri majlis persandingan anak ADUN N51 Kunak (Mohd Safari & Rosimah) di Kg Kunak Jaya dan esok kena menghadiri jemputan di Desa Mostyn 2 pulak.
Dalam banyak-banyak majlis persandingan tu, saya rasa yang paling grand tentulah majlis bersanding anak YB tu. Mestilah kan... Semua penduduk Kunak kenal YB Nilwan yang berjiwa rakyat dan memang jemputan dihantar kepada semua 32 kampung melalui Ketua Kampung masing-masing. Turut hadir ialah Ahli Parlimen P188 Silam YB Tuan Haji Salleh Kalbi, ADUN N49 Tungku YB Datuk Ustadz Mohd Suhaili Hj Said, ADUN N50 Lahad Datu Datuk (Datu) Nasrun Datu Mansur, Pegawai Daerah Kunak Ensik Susilo Sumarto dan ramai lagi pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.
Barangkali sesuatu yang menarik bagi majlis persandingn anak YB ADUN Kunak ini ialah ia tidak dilangsungkan di hotel-hotel besar atau dewan seperti lazimnya majlis yang diadakan oleh orang-orang kenamaan. Sebaliknya, ia diadakan di perkarangan rumah keluarga YB sendiri, bukan banglo besar, tetapi sebuah rumah kampung yang diwarisi dari ibubapa.
Majlis dimeriahkan dengan beberapa persembahan tarian tradisi oleh penduduk dari beberapa buah kampung. Malangnya, beberapa tarian tradisi yang dijadual untuk dipersembahkan pada malam itu seperti tarian tradisi suku kaum Kokos, Kadazan dan Bugis tidak dapat dilaksanakan kerana notis kepada pemimpin-pemimpin kumpulan tarian berkenaan terlalu singkat. Penari-penari tidak dapat dikumpulkan untuk membuat raptai.
Majis dimeriahkan lagi dengan persembahan oleh beberapa orang artis terkenal Sabah yang kebetulan berada di Daerah Kunak untuk sesi penggambaran drama tv bersiri, "Madai Menanti". Mereka termasuklah Ahmad Angking (D' Atomic Power), Ebby Cornelius (AF5), Liz (AF5) dan Den Bisa (penyanyi lagu-lagu Bahasa Bajau paling terkenal). Drama bersiri "Madai Menanti" mengandungi 13 episod dan akan mula disiarkan melalui RTM TV2 pada September tahun ini.
Saya sempat merakamkan 16 video klip persembahan-persembahan dan "highlight" pada majlis tersebut dan cuba memuatkannya ke youtube satu setiap hari bermula hari ini (klik).

Monday, June 8, 2009

PASAR TERBUKA DAERAH KUNAK

Antara kegiatan ekonomi penduduk Kunak ialah berniaga di pasar-pasar terbuka. Terdapat dua kategori pasar terbuka di daerah ini iaitu pasar terbuka mingguan dan pasar terbuka bulanan. Pasar terbuka mingguan dikelolakan oleh Majlis Daerah Kunak dan diadakan pada setiap hari Ahad dan juga hari Rabu. Pasar terbuka bulanan pula dikelolakan oleh kelab-kelab kakitangan ladang dan diadakan di ladang-ladang yang terdapat di Daerah Kunak.

Bagi penduduk Kunak, pasar terbuka pada hari Ahad lebih dikenali sebagai Pasar Minggu. Suatu tapak khas seluas lebihkurang 3 hektar di Jalan Sungai Atas disediakan untuk para peniaga Pasar Minggu. Peniaga Pasar Minggu bukan sahaja dari kalangan penduduk Kunak malah dari seluruh pelusuk negeri Sabah. Peniaga dari luar daerah Kunak biasanya datang lebih awal, iaitu pada petang hari Sabtu. Mereka sanggup bermalam di kemah atau tapak gerai masing-masing kerana hasil jualan di pasar terbuka ini cukup mendatangkan keuntungan. Peniaga tempatan pula biasanya akan sampai ke tempat berniaga sebelum matahari terbit.

Barangan yang diniagakan di Pasar Minggu Kunak boleh dikatakan memenuhi segala keperluan harian asas. Untuk menjamu selera pengunjung mempunyai banyak pilihan termasuklah, kuih-muih tradisi, minuman segar, minuman panas, bakso, sup, nasi lemak, nasi kuning, pisang goreng panas, nasi campur, ikan panggang, ayam panggang, sate dan macam-macam lagi. Sayur-sayuran dan ulam-ulaman juga boleh didapati dengan mudah begitu juga dengan buah-buahan tempatan. Hasil laut termasuk ikan segar, ikan masin, sotong, kerang, siput, ketam, udang hatta hingga rumpai laut pun ada dijual di Pasar Minggu Kunak. Bagi yang mencari pakaian boleh pilih yang baru atau yang terpakai. Pakaian terpakai di Kunak biasanya disebut kain lelong. Berbagai jenis peralatan dan juga alat elektronik turut diniagakan. Singkatnya, “macam-macam ada” termasuklah jurujual perkhidmatan ASTRO dan perkhidmatan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi selular terutama DIGI dan Celcom.

Pasar terbuka pada hari Rabu pula di adakan di lorong berhampiran satu-satunya pasaraya di pekan Kunak, iaitu Pasaraya Milimewa. Baranagan yang diniagakan di Pasar Rabu Kunak dihadkan kepada makanan tersedia, minuman ringan, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Pasar terbuka bulanan diadakan pada tarikh-tarik tertentu setiap bulan di kawasan ladang yang mengelolakannya. Contohnya, di Ladang Tun Fuad Borneo Samudera Sdn Bhd, pasar terbuka diadakan pada setiap 12 dan 13 haribulan. Pasar terbuka di Ladang Mostyn Sime Darby Plantation Berhad pula diadakan serentak dengan hari pembayaran gaji pekerja iaitu antara 4 hingga 10 haribulan. Seperti Pasar Minggu, barangan yang diniagakan di pasar terbuka bulanan merangkumi semua jenis keperluan harian.

Thursday, June 4, 2009

KOMUNIS TUNGGU MASA SESUAI KEMBALI MENYEMBELIH RAKYAT MALAYSIA

Ideologi komunis telah melakarkan sejarahnya di abad keduapuluh - lakaran yang penuh dengan penindasan dan kekejaman, pembunuhan dan tangisan. Ahli-ahli sejarah menganggarkan bahawa ideologi komunisma telah mengorbankan 120 jiwa sejak Revolusi Rusia pada tahun 1917.
Korban yang jatuh bergelimpangan bukan sahaja dari kalangan tentera yang gugur di medan pertempuran tetapi juga rakyat jelata yang menjadi mangsa pembunuhan rejim yang menguasai negara mereka sendiri. Dunia pernah menyaksikan penyembelihan yang tidak berperikemanusiaan dilakukan oleh pemimpin-pemimpin komunis (termasuk Chin Peng). 
Ideologi bangsat ini dengan sewenang-wenang telah meragut ratusan juta jiwa tanpa mengira lelaki mahupun wanita, dari yang tua hingga ke remaja termasuk bayi. 
Rejim-rejim komunis telah merampas hak asasi dan kebebasan puluhan juta manusia, mengusir mereka dari kampung halaman dan secara sistematik melemparkan mereka ke lubang kebuluran, perhambaan di kemah-kemah kerjapaksa dan penjara. 
Berjuta-juta lagi menjadi sasaran  kumpulan-kumpulan gerila dan organisasi pengganas komunis, tidak kurang pula yang terpaksa hidup dalam ketakutan akan menjadi sasaran peluru mereka.
Sejak keruntuhan Soviet Union pada Disember 1991, pengaruh komunis seakan-akan telah berakhir. Benarkah demikian, atau masihkah komunisme menjadi ancaman kepada keharmonian hidup rakyat di setiap negara didunia ini?
Sungguh malang bagi Malaysia, negara yang amat kita cintai, kerana dalam dekad pertama abad ke-21 ini ada rakyatnya yang cuba membawa kembali ketua tukang sembelih keparat itu.
Nampaknya selama ini komunisme hanya bersembunyi dan menanti datangnya keadaan-keadaan yang sesuai bagi mereka untuk tiba-tiba muncul menerkam dan membaham mangsa. Mereka telah memasang perangkap - menutup lubang buaya mereka dengan pelbagai hiasan. Rupa dan nama mereka mungkin sudah berubah namun ia tetap menunggu dan mencari kesempatan serta saat yang sesuai untuk kembali memporak-perandakan dan mengheret manusia ke kancah penderitaan. 

- Ilustrasi dipetik dari hasil kerja Harun Yahya