Ketika sedang dalam proses meneruskan kisah Bush dalam siri ini, terdengar pula berita tentang adanya cadangan mengubah sistem sekolah yang sedia ada kepada sistem sekolah satu aliran. Jika itu berlaku, pastinya ia menjurus kepada suatu perubahan besar bagi negara dengan membawa pelbagai kemungkinan yang sukar diduga.
Oleh kerana perkara ini berada dalam nic pembentukan sahsiah dan minda generasi akan datang, kesannya bagi negara akan kekal lama dan amat sukar untuk dipusing balik jika didapati kemudian bahawa kita telah membuat kesilapan.
Beberapa pihak berpendapat bahawa sistem persekolahan pelbagai aliran yang ada sekarang menghambat proses perpaduan dan menyukarkan pemahaman konsep 1Malaysia.
Sistem persekolahan satu aliran dalam konteks rakyat Malaysia yang berbilang kaum belum tentu lebih baik atau boleh mempercepat proses perpaduan. Yang pasti sistem itu akan melembabkan proses pengajaran dan pembelajaran di kalangan murid yang menggunakan bahasa di rumah berbeza dengan bahasa di sekolah.
Penggunaan pelbagai bahasa bukanlah penghambat perpaduan.
Dalam perjuangan mencapai kemerdekaan, komponen-komponen Parti Perikatan telah menggunakan bahasa berlainan untuk meyakinkan komuniti masing-masing akan pentingnya perpaduan kaum ke arah pencapaian kemerdekaan.
Rakyat cepat menerima konsep perpaduan kerana mesej disampaikan kepada mereka melalui bahasa yang mereka faham sepenuhnya. Maka bersatulah keturuna Melayu di bawah panji-panji UMNO, keturunan Cina di bawah panji-panji MCA, keturunan India di bawah panji-panji MIC, lalu berpadu di bawah lambang perahu layar.
Kesukaran mencapai perpaduan bukan disebabkan penggunaan pelbagai bahasa, tetapi kerana timbulnya kecurigaan antara satu sama lain yang diapi-apikan oleh golongan yang suka menangguk di air keruh.
Pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, seperti yang dipetik oleh New Straits Times, mengenai perkara ini, adalah (terjemahan) seperti berikut:
“Kita bermula dengan suatu keadaan dimana kita berikan setiap komuniti rakyat Malaysia hak memilih jenis pendidikan yang mereka inginkan. Dari segi dasar, anjakan paradigma yang amat besar diperlukan jika kita mahu mengubahnya sekarang. Kita hanya akan mengubah dasar berlandaskan kehendak rakyat.”
Kenyataan perdana menteri itu menunjukkan frasa “Rakyat Didahulukan” bukanlah suatu retorik semata-mata. Bila dasar hanya diubah berlandaskan kehendak rakyat, benarlah rakyat didahulukan.
Dasar akan menentukan halatuju negara dan apabila dasar itu dilandaskan kepada kehendak rakyat, maka seiringlah HALATUJU NEGARA dengan KEHENDAK RAKYAT.
No comments:
Post a Comment