Wednesday, February 20, 2013

Apa Motif Sebenar Kehadiran "Tentera Diraja Sulu" di Lahad Datu?


Bagi penduduk sekitar Teluk Lahad Datu berita kejadian itu agak mencemaskan. Desas-desus mengatakan bahawa terdapat ibubapa yang melarang anak mereka hadir ke sekolah kerana bimbang akan keselamatan mereka. 

Dalam pada itu ada pula kalangan ahli-ahli politik yang membuat kenyataan berdasarkan andaian masing-masing yang semuanya hanya menambah kecelaruan dan kebimbangan di kalangan penduduk yang terlibat.

Berikut adalah beberapa kemungkinan motif kedatangan rombongan warga asing bersenjata itu ke Lahad Datu:

(1) Pengakuan Setiausaha Agung Kesultanan Sulu

The Philippine Star melaporkan pada tengahmalam 20 Februari 2013 bahawa Setiausaha Agung Kesultanan Sulu, Abraham Idjirani bahawa kedatangan mereka bukanlah untuk menyerang, tetapi untuk tujuan keamanan dan kesefahaman kerana mereka ada tuntutan yang hendak dibuat. 

Apakah yang dituntut?

Menurut mStar online dalam laporannya pada Jumaat 15 Februari 2012, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata bahawa kumpulan terbabit menuntut mereka dikenali sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu dan mereka tidak mahu rakyatnya berketurunan Sulu dihantar pulang ke negara asal.

Laporan lanjut dari The Philippine Star yang dipetik di atas menyatakan bahawa kumpulan yang dianggarakn terdiri antara 200 hingga 400 orang itu telah bertekad untuk tidak meninggalkan kawasan yang diduduki, kerana mereka semata-mata menuntut kembali kawasan milik nenek moyang mereka.

(2) Kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR)

Pada 19 Februari 2013, Free Malaysia Today melaporkan bahawa Naib Presiden PKR, Tian Chua sebagai berkata, mungkin kerajaan Barisan Nasional menggunakan insiden itu sebagai cara untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). Beliau merasa agak pelik dengan sikap kerajaan  yang menangani insiden itu dengan lemah-lembut.

(3) Kenyataan Ketua Umum STAR

Blogger Din Merican dalam posnya pada 20 Februari 2013 menulis bahawa Ketua Umum State Reform Party (STAR), Datuk Jeffrey Kitingan mengulas mengenai desas-desus yang berleluasa konon strategi "tanpa pertumpahan darah" yang diamalkan oleh kerajaan dalam menangani insiden itu adalah sebagai taktik bagi mengimbangi ketidakstabilan politik yang semakin meruncing di negeri Sabah. 

Menurut laporan blog itu, Datuk Jeffrey berkata bahawa jika pendekatan cara lembut itu adalah permainan BN, maka ia merupakan suatu strategi yang merbahaya. Strategi sedemikian diibaratakan sebagai pedang dua-mata kerana ia boleh memakan tuan dan menyebabkan rakyat tidak mengundi BN disebabkan kegagalan kerajaan menggunakan kekuatan ketenteraan demi menjaga kehormatan dan kedaulatan negara.

(4) Kenyataan Menteri Pertahanan Malaysia

The Star online pada 16 Februari 2013 memetik kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai berkata bahawa insiden itu boleh jadi merupakan muslihat oleh pihak-pihak tertentu yang bermotifkan politik bagi memberi gambaran buruk seolah-olah Malaysia sedang dalam keadaan krisis dan mengalami masalah isu keselamatan.

(5) Barisan Pembebasan Bangsa Moro (MNLF) Nafi Tuduhan Sebagai Penghasut

 Seorang pegawai tinggi MNLF menolak sekeras-kerasnya dakwaan yang menuduh kumpulan itu sebagai batu api yang telah menghasut Sultan Sulu, Jamalul Kiram III agar menghidupkan semula tuntutannya ke atas negeri Sabah.

Habib Mujahab Hashim, seorang pemimpin terkemuka dalam jawatankuasa pusat MNLF dan pengerusi Islamic Command Council (ICC), menafikan tuduhan kumpulan itu telah berpakat dengan beberapa orang bekas pegawai kerajaan dalam usaha mensabotaj rundingan damai yang sedang berjalan antara Kerajaan Filipin dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dengan cara menghasut Sultan Kiram menimbulkan isu tuntutan ke atas Sabah.

Suatu laporan oleh The Philippine Star, memetik sumber dari Malacañang, memberitahu bahawa pemimpin MNLF Nur Misuari, mantan penasihat keselamatan Norberto Gonzales, mantan perwakilan Tarlac Jose "Peping" Cojuangco dan calon senator Margarita Cojuangco adalah antara dalang yang menghasut Kiram.

Suatu Pengajaran

Lima kenyataan yang di atas mungkin ada yang benar, ada yang dalih, ada yang merupakan andaian dan mungkin ada pula yang sengaja dibuat-buat untuk kepentingan tertentu. Hakikatnya, yang menjadi mangsa sebenar adalah penduduk yang tinggal berhampiran dengan kawasan berlakunya insiden - rasa cemas, bimbang dan aktiviti harian terganggu. 

Kejadian ini berlaku pada saat PRU-13 di ambang pintu, yang akan menjelma selepas melalui insiden-insiden politik yang agak asing dan memeranjatkan bagi rakyat negara ini. Banyak antara insiden-insiden itu semakin melemahkan perpaduan, meluluhkan rasa hormat kepada pemimpin negara, melunturkan kewibaan pasukan keselamatan dan paling bahaya, saling mencurigai di kalangan warga.  

Fenomena ini ibarat penyakit yang memakan dan memusnahkan organ-organ tubuh badan dari dalam. Satu persatu, organ-organ itu hancur dan tubuh semakin lemah. Dalam keadaan itu, kuman yang biasanya biasa-biasa saja boleh menyerang dan menyebabkan penyakit kronik, seterusnya membunuh.

Sejarah mengajar kita bahawa telah banyak kerajaan, malah empayar yang begitu hebat dan gagah, akhirnya musnah - bukan kerana serangan langsung oleh pasukan yang lebih kuat dari luar, tetapi kerana tindak-tanduk warganya yang lupa bahawa musuh di luar sana sentiasa ada mengintai. Apabila musuh-musuh itu merasakan yang perpaduan dalam kerajaan atau empayar itu semakin hilang maka mereka akan menanti masa yang sesuai untuk menyerang - iaitu pada saat dan ketika pertahanan semakin lemah.

Perlu kita tanya pada diri masing-masing:

Apakah spekulasi orang luar terhadap keadaan negara kelak selepas PRU-13, khususnya di negeri Sabah ini?

Jika kerajaan yang ada sekarang (BN) diberikan mandat meneruskan tanggungjawab mentadbir negara, adakah ia semakin kuat (majoriti lebih besar) atau semakin lemah?

Jika kerajaan bertukar pimpinan (parti lain) adakah ia lebih kuat daripada kerajaan sebelumnya atau lebih parah?

Jika kerajaan baru mentadbir negara, apakah kelemahan-kelemahan yang mungkin pada peringkat awal ia mengambil alih kepimpinan, yang boleh dieksploitasi oleh musuh-musuh negara?

Bagi memelihara keamanan dan memastikan kehormatan serta kedaulatan negara tidak tergadai, perpaduan adalah amat mustahak. Apapun keputusan PRU-13 yang bakal menanti, semua warga patut menghormatinya, kerana ia adalah keputusan yang dibuat oleh majoriti. Dolak-dalik tidak mahu akur pada keputusan itu kerana konon tidak telus, tidak bersih dan sebagainya, wajar kita tinggalkan di belakang sebagai sejarah hitam. Agenda kerajaan untuk memajukan dan memakmurkan rakyat janganlah hendaknya dimanipulasi untuk menggagalkannya, demi kepentingan politik diri sendiri.

No comments: