Sesuatu yang barangkali patut dibanggakan ialah realiti bahawa sebahagian besar keluarga di negara ini mempunyai kenderaan masing-masing, kendatipun hanya sebuah kereta tua. Setidak-tidaknya kehadiran harta antik itu dapat juga memudahkan urusan seharian mereka.
Bagi para petani dan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS), hasil tanaman dan produk dapat juga mereka hantar ke pasar tani atau "tamu" dalam keadaan segar. Pengguna mendapat harga belian yang lebih murah manakala pendapatan petani dan pengusaha lebih lumayan, sebab urusan jual-beli antara petani atau pengusaha dengan pengguna berlangsung tanpa melalui pihak ketiga.
Bagi seorang kerani am rendah pula, sejak memiliki van berusia 18 tahun itu, beban kewangan keluarganya dapat diringankan. Dengan van seusia anak sulungnya itulah isterinya menghantar kuih-muih untuk dibekalkan ke beberapa buah restoran di pekan berhampiran. Hasil usahanya itu dapatlah digunakan untuk membantu membiayai persekolahan anak-anak mereka.
Begitupun segelintir keluarga yang belum mempunyai kenderaan, samada motosikal atau kereta, sedang menghitung-hitung tabungan untuk membeli sebuah kenderaan terpakai yang mampu dicapai oleh tahap kewangan yang ada. Kelak, mudahlah bagi mereka ke pekan untuk membeli bahan keperluan. Impian mereka, dapatlah mereka membawa lebihan hasil tanaman sayuran dan tangkapan ikan dari sungai untuk dijual di pasar atau di pekan.
Suasana damai dan impian dalam kehidupan masyarakat sederhana ini agak terganggu juga dengan adanya cadangan untuk mewajibkan kenderaan penumpang berusia lebih 15 tahun membuat pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sebagai syarat memperbaharui cukai jalan.
Jika cadangan itu dilaksanakan dan dijadikan satu lagi dasar oleh kerajaan, kedamaian dalam kehidupan masyarakat ini akan beransur suram. Impian untuk menikmati pembangunan negara dengan langkah sederap jika tidak seiring, bersama golongan lebih mewah tidak akan menjadi kenyataan.
Bagi keluarga yang memiliki hanya sebuah kenderaan, dan kenderaan itu pula merupakan faktor penting dalam menjana ekonomi mereka, tentulah menjadi masalah besar apabila cukai jalan bagi kenderaan tua yang sudah puluhan tahun memberikan khidmat memuaskan itu, dan tidak pernah terlibat dengan kemalangan, tidak dapat diperbaharui hanya kerana sedikit masalah teknikal yang tidak memenuhi piawaian Puspakom.
Bagi keluarga yang berpendapatan sekadar di atas paras miskin tegar, kos tambahan menghantar kenderaan itu untuk pemeriksaan boleh menjerumuskan kembali mereka ke tahap kemiskinan itu, terutama bila piawaian tidak dipenuhi dengan sekali pemeriksaan.
Lebih parah lagi jika kenderaan itu tidak juga lulus setelah beberapa kali menjalani pemeriksaan, atas apa jua alasan. Mahu tidak mahu, terpaksalah kenderaan itu dibiarkan terbengkalai sehingga menjadi besi buruk.
Tiada lagi petani dan pengusaha IKS menghantar hasil tanaman dan produk segar mereka ke pasar. Pagi dingin tidak lagi menyaksikan surirumah bergegas dari sebuah restoran ke restoran lain membekalkan kuih-muih tradisional untuk sekadar membantu meningkatkan pendapatan keluarga.
Bilangan keluarga dalam negara yang mempunyai kenderaan persendirian semakin berkurangan. Hendak membeli kenderaan baru, tidak pula termampu.
Sungguh muram suasana seperti yang digambarkan itu, dan sungguh malang jika berlaku bagi sebuah negara yang sedang berusaha mencapai ekonomi berpendapatan tinggi dengan mengutamakan kesejahteraan rakyat.
Mujur dan memang wajar kesediaan kerajaan untuk meneliti semula peraturan baru Dasar Automotif Nasional (NAP) itu, seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Alasan utama yang dikemukakan bagi mewajibkan kereta berusia lebih 15 tahun menjalani pemeriksaan tahunan Puspakom bahawa kereta berkenaan kurang selamat dan menjadi penyebab kemalangan tidak seiring dengan kempen keselamatan jalanraya yang selalu kita dengar, iaitu, sebahagian besar kemalangan jalanraya berlaku akibat memandu terlalu laju dan sikap pengguna jalanraya yang cuai.
Tidak pernah pula terdengar berita berlakunya kemalangan jalanraya akibat memandu sebuah kenderaan lama.
No comments:
Post a Comment