Friday, December 31, 2010

Selamat Menyambut Tahun 2011

Selamat menyambut tahun 2011 diucapkan kepada semua pengunjung 'kunakians'.

Semoga tahun mendatang ini membawa lebih kebaikan kepada kita semua.

Imajinasi Bandaraya Kuala Lumpur di masa hadapan dengan
Menara Berkembar Petronas di tengah lukisan


Wednesday, December 29, 2010

Piala AFF Suzuki Milik Malaysia

Akhirnya, pada pukul 9:53 malam waktu Malaysia, pasukan 'Harimau Malaya' mengharumkan nama negara dengan mengesahkan kedudukan sebagai juara Piala AFF Suzuki 2010.

Impian pasukan 'Garuda' untuk membangkitkan semangat para pemainnya dengan menjaringkan gol pertama dalam perlawanan akhir bahagian kedua di Stadium Gelora Bung Karno dikecundangkan oleh Khairul Fahmi.

Sebaik sahaja perlawanan bermula, pemain-pemain Indonesia terus mengasak dan menekan sehingga bola terkena tangan seorang daripada pemain pertahanan Malaysia di kawasan kotak penalti. Pengadil menghadiahkan tendangan penalti kepada pasukan Indonesia, namun tendangan leret Firman Utina berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat.

Wajah penyokong pasukan Indonesia -> hampa, Khairul ->menyelamatkan gawang,
Safee -> Penjaring gol terbanyak
Separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan gol.

Mohd Safee Sali meletakkan Malaysia di hadapan setelah membolosi gawang Indonesi pada minit ke 52 perlawanan pada separuh masa kedua, sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai penjaring gol terbanyak untuk pertandingan. Tidak lama kemudian Mohammad Nasuha menjaringkan gol penyamaan untuk pasukan Indonesia.

Indonesia mendahului Malaysia pada minit ke 87 hasil rembatan Ridwan. Muslim cuba untuk menolak bola keluar dari kawasn bahaya dengan satu tandukan tetapi bola melantun ke gawang sendiri dan tidak dapat diselamatkan oleh Khairul.

Kedudukan Indonesia 2 dan Malaysia 1, kekal hingga tamat perlawanan. Dengan aggregat 4-2, Malaysia dinobatkan sebagai pemenang Piala AFF Suzuki 2010.


Tuesday, December 28, 2010

Piala AFF Suzuki: Percaturan K Rajagopal vs Alfred Riedl

Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad 26 Disember 2010,  menyaksikan Kelincahan Norshahrul Idlan menggelecek bola yang amat mengkagumkan. Dua kali Norshahrul berjaya mengatasi kawalan ketat pihak lawan lalu mengumpan bola yang menghasilkan gol, pertama melalui Safee Sali dan yang kedua menerusi Ashari Samsudin.

Kemenangan pasukan muda 'Harimau Malaya' pada bahagian pertama perlawanan akhir Piala AFF Suzuki ini amat bermakna bagi peminat bolasepak tanahair. Yang paling membanggakan ialah keseluruhan pasukan, termasuk pengurus dan jurulatih adalah terdiri daripada rakyat Malaysia sendiri. Ini membuktikan bahawa orang Malaysia mampu berjaya dalam bidang bolasepak tanpa bantuan pemain atau jurulatih impot.

Pasukan Malaysia untuk Piala AFF Suzuki 2010
Perlawanan sengit dan penuh kejutan Piala AFF Suzuki akan mencapai klimaks di Stadium Bung Karno Rabu ini. Diharapkan pemain-pemain muda kita akan gigih mempertahankan kelebihan 3 gol ke atas pasukan Indonesia. 

Persembahan mantap pasukan Malaysia pada separuh masa kedua perlawanan menunjukkan taktik K Rajagopal yang jitu di mana, selepas rehat masa pertama, beliau telah memasukkan Ashari untuk membuat serangan dari bahagian tengah.

K Rajagopal telah mengarah anak-anak buahnya untuk lebih berani membuat serangan yang ternyata membuahkan hasil lumayan.
Dengan kelebihan 3 gol, tentunya pemain Malaysia cenderung untuk memperketat kawalan agar gawang Malaysia tidak ditembusi lawan. Taktik itu berjaya mempertahankan kelebihan 2 gol ketika bertemu pasukan Vietnam di Stadium My Dinh. Namun begitu, K Rajagopal mungkin ada taktik yang lebih baik. 


Tentunya pula banyak yang sedang bermain di kepala jurulatih Indonesia, Alfred Riedl. Tidak syak, tentunya beliau akan memperketat kawalan ke atas Norshahrul dan Safee serta sedikit sebanyak ke ata Ashari. 

Pada perlawanan pembukaan Indonesia telah membenam Malaysia 5-1. Riedl mungkin akan cuba mengimbas kembali detik-detik manis itu bagaimana pasukannya boleh memperoleh kemenangan yang begitu besar dan menggunakan kembali strategi tersebut.

Apapun, bahagian kedua perlawanan akhir Piala AFF Suzuki di Stadium Bung Karno Rabu ini dijangka hangat dan merupakan pertarungan yang sengit. Pemain Malaysia dan Indonesia nampaknya sama hebat dan percaturan yang sebenar ialah kehebatan antara K Rajagopal berbanding Alfred Riedl.








Monday, December 27, 2010

Memfitnah Sampai Hari Kiamat

Hadits riwayat Muslim, Abu Dawud, At-Tirmidzi, Nasa’i dan Ahmad:
عَنْ أبِى هُرَيْرَة (ر) أنَّ رَسُول الله .صَ. قَالَ: إذَا مَاتَ الإنسَانُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إلاَّ مِنْ ثَلاَثٍ:
صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ اَو عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ, اَووَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُولَهُ (رواه ابو داود)
“Apabila seorang manusia meninggal dunia maka putuslah amalnya, kecuali tiga hal: Sedekah jariyah atau ilmu yang bermanfaat sesudahnya atau anak yang soleh yang mendo’akannya”.
Untuk huraian lanjut berkaitan hadits berkenaan sila layari qurancompleks.
Persoalannya:
Bagaimana pula dengan seseorang yang meninggalkan sebuah perniagaan yang meraih keuntungan melalui cara yang tidak diredhai Allah, misalnya perjudian, riba dan sebagainya?

Bagaimana pula info yang berupa pembohongan, fitnah dan seumpanya? Iyalah...seperti yang banyak ditemui melalui laman blog. Tidakkah setiap kali ada yang membaca entri berupa fitnah itu, seolah-olah blogger berkenaan menyebar fitnah lagi, walaupun tulang-belulang sang blogger sudah berubah warna enam kaki di bawah tanah? Maka akan bertambahkah dosa-dosanya selagi entri itu terus berada di ruang cyber, hatta sehingga hari kiamat? 
Allah lebih mengetahui.
Lebih baik menghindari fitnah dan pembohongan.

Friday, December 17, 2010

Rumah PPRT di Kg Buang Sayang Ranap Akibat Angin Kencang

Sebuah rumah PPRT di Kampung Buang Sayang Kunak ranap akibat tiupan angin kencang. Menurut Encik Pinu, ketua keluarga yang menghuni rumah tersebut, kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang pada Rabu, 15 Disember 2010.

Rumah PPRT Encik Pinu yang ranap


Barangan milik keluarga mangsa yang sempat diselamatkan

Sementara Pinu membina pondok sementara, ahli-ahli keluarganya
berteduh di bawah pokok berhampiran 

Encik Pinu (memakai topi) mendirikan pondok sementara dengan
dibantu oleh anak-anak lelakinya

"Mujurlah pada waktu itu hanya saya seorang yang berada dalam rumah sebab ahli-ahli keluarga saya yang lain berada di rumah jiran yang mengadakan persiapan kenduri", kata Pinu.

Menurut saksi, angin kencang itu berpusar seakan-akan puting beliung yang bergerak dari arah laut lalu melanda rumah Encik Pinu. Tiga buah rumah PPRT yang berhampiran tidak mengalami sebarang kerosakan. Kesemua rumah PPRT berkenaan dibina kira-kira 5 tahun dahulu.
Datuk Nilwan Kabang (ADUN Kunak) menyampaikan bantuan
wang tunai kepada mangsa

Pada tengahari 16 Disember 2010, ADUN Kunak, Datuk Nilwan Kabang telah melawat keluarga mangsa dan menghulurkan bantuan segera dalam bentuk wang tunai untuk meringankan beban mereka. Mangsa juga akan diberikan keutamaan untuk mendapatkan rumah PPRT yang baru bagi program tersebut untuk tahun 2011. Sementara itu, Datuk Nilwan meminta keluarga mangsa bersabar atas musibah yang menimpa itu. 


"Hanya sedikit sahaja bantuan yang dapat saya hulurkan buat masa sekarang. Saya baru sahaja dimaklumkan mengenai musibah ini", kata Datuk Nilwan kepada Pinu.


Dengan senyum simpul Pinu menjawab, "Kedatangan YB melawat kami adalah yang paling berharga bagi saya dan keluarga. Bantuan yang YB beri itu soal kedua dan bagi kami amat besar nilainya".

Sebagai langkah sementara sebelum pembinaan rumah PPRT baru, mangsa yang mengaku berkebolehan sebagai tukang kayu, akan diberikan bantuan bahan binaan untuk membina rumah sementara sebagai tempat berteduh. 

Pemaju mukim bagi Mukim Madai yang turut melawat mangsa di tempat kejadian memaklumkan yang pihaknya juga sedang mengatur bersama Pejabat Kebajikan Daerah Kunak untuk membekalkan barangan keperluan harian khususnya barangan makanan kepada mangsa.

Wednesday, December 15, 2010

Langkah-Langkah Mengurangkan Kes Kemalangan Jalanraya Kunak-Lahad Datu Perlu Disegerakan

Wartawan yang berpengkalan di Daerah Kunak melaporkan berlakunya lagi kemalangan di jalanraya Kunak-Lahad Datu melalui blog beliau Kunak Press. Kemalangan sememangnya kerap berlaku di sepanjang laluan berkenaan sehingga menurut Kunak Press, ramai yang menganggap laluan tersebut sebagai "jalan berhantu". 
Tidak hairanlah bila ADUN Kunak menitikberatkan keperluan untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk mengurangkan kes kemalangan jalanraya di sepanjang laluan berkenaan. Beliau telah membahaskan perkara tersebut di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah yang berlangsung November tahun ini secara agak terperinci. Berikut adalah petikan ucapan bahas beliau mengenai perkara tersebut:

Jalan Raya Kunak-Lahad Datu

Tuan Speaker,
 28.         Kenyataan YAB Ketua Menteri dalam pembentangan Bajet 2011 bahawa kerajaan hari ini telah melakukan yang terbaik dalam sejarah pembangunan infrastruktur di negeri Sabah termasuk peningkatan liputan dan penyenggaraan rangkaian jalanraya, adalah hakikat yang harus diterima.  Buktinya dapat dilihat dengan semakin meningkatnya bilangan kenderaan di jalan raya. Hakikat harus juga diterima bahawa peningkatan bilangan kenderaan di jalan raya itu turut menyumbang kepada peningkatan kes-kes kemalangan jalan raya.
29.         Satu daripada laluan dimana paling banyak dilaporkan berlaku kemalangan maut akhir-akhir ini ialah jalan raya yang menghubungkan Kunak dengan Lahad Datu. Saya mencadangkan agar laluan ini diberi perhatian khusus kerana bilangan pengguna laluan tersebut dijangka mendadak meningkat dengan kemasukan 15,000 pelajar tempatan dan antarabangsa, yang akan menuntut di Sandakan Education Hub bermula tahun hadapan. Pastinya laluan ini akan menjadi laluan utama pelajar-pelajar tempatan dari Kunak, Tawau dan Semporna juga pelajar-pelajar antarabangsa dari negara jiran Indonesia, khususnya Kalimantan.
 30.         Faktor-faktor khusus bagi laluan tersebut yang mungkin menyebabkan kemalangan jalanraya kerap berlaku hendaklah dikaji dengan teliti dan terperinci diikuti dengan langkah-langkah bagi mengatasinya.
31.         Di dewan yang mulia ini, sukacita saya ingin berkongsi pandangan secara kasar beberapa faktor yang secara holistik mungkin telah menyebabkan kemalangan kerap berlaku di laluan berkenaan berbanding jalan raya lain di negeri ini:
Pertama: Pada jalan raya Kunak-Lahad Datu terdapat banyak kawasan di mana selekoh tajam berada pada bahagian cerun. Saya cadangkan dimana mungkin, agar di kawasan-kawasan sedemikian ketajaman selekoh dikurangkan atau jalan dilebarkan.
Kedua: Jalan raya Kunak-Lahad Datu banyak dilalui oleh lori-lori tangki yang membawa minyak sawit mentah (CPO) dan juga lori-lori yang membawa buah sawit. Ketirisan CPO yang sedikit mungkin tidak disedari tetapi lama kelamaan ia semakin bertambah dan terkumpul menyebabkan permukaan jalan menjadi licin. Demikian juga halnya dengan buah sawit lerai yang jatuh sebiji dari sebuah lori dilihat sebagai tidak menimbulkan sebarang kesan. Namun, dalam jangkamasa sebulan cukup banyak buah sawit lerai yang jatuh ke atas jalan raya dan minyak yang keluar dari buah lerai itu cukup untuk menjadikan permukaan jalan menjadi licin sehingga menyebabkan kenderaan mudah terbabas. Saya cadangkan agar suatu kaedah dicari untuk kerja-kerja berjadual bagi “meneutralisasikan” minyak tersebut disamping langkah-langkah bagi mencegah tumpahan minyak ke atas jalan raya.
 Ketiga: Tidak terdapat kawasan R & R bagi para pemandu dari Tawau dan Semporna yang menuju ke Lahad Datu untuk berhenti rehat dan serba sedikit memeriksa keadaan kenderaan. Kita semua tahu melalui iklan-iklan kempen keselamatan jalan raya bahawa pemandu yang letih dan tidak sempat berehat seketika amat cenderung untuk terlibat dalam kemalangan jalan raya.  Oleh yang demikian maka amat wajarlah kawasan R & R yang cukup selesa disediakan di Daerah Kunak, yang terletak benar-benar di pertengahan antara Tawau dan Lahad Datu, juga antara Semporna dan Lahad datu. Nyatalah, disamping menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi seperti yang telah saya sebutkan lebih awal tadi, kawasan R & R di Kunak juga amat diperlukan untuk mengurangkan kes-kes kemalangan jalan raya.

Banjir Kilat di Daerah Kunak

Kejadian banjir jarang berlaku di Daerah Kunak. Namun pada malam 8 Disember 2010 hujan lebat telah turun selama lebihkurang 3 jam. Waktu itu kebetulan pula air laut sedang pasang. Pertemuan air laut dengan air bah Sungai Atas menyebabkan aliran air dari sungai tersebut terhambat. 

Aliran air turut terhalang oleh serpihan-serpihan kayu, sampah serta pelepah kelapa sawit yang tersangkut pada beberapa jembatan di sepanjang sungai. Akibatnya banjir kilat telah berlaku bermula lebihkurang pukul 11:00 malam yang melanda Kampung Sungai Langgas, Kampung Sungai Atas dan Kampung Getah. Beberapa buah rumah dan kenderaan di kampung-kampung berkenaan dilaporkan telah ditenggelami air. Tiada kemalangan jiwa berlaku manakala kerugian hartabenda belum lagi ditaksirkan.



Pada Isnin, 13 Disember 2010, ADUN Kunak Datuk Nilwan Kabang, Pegawai Daerah Encik Susilo Sumarto dan beberapa orang kakitangan kerajaan telah meninjau kawasan-kawasan terlibat sebagai langkah awal untuk mengenalpasti punca berlakunya banjir. Saya telah menyertai rombongan tersebut dan sempat merakamkan video aliran air sungai yang kelihatan keruh dan deras seperti di bawah ini. 


Thursday, December 9, 2010

Penculik Gadis Mempunyai Sosok Tubuh dan Wajah "Werewolf"?

Entri dalam blog ini bertarikh 12 Oktober 2010 menceritakan tentang kejadian yang menimpa seorang gadis, Siti Balqis, yang diculik berkali-kali oleh makhluk halus.

Menurut Balqis setiap kali dia hilang dia di bawa oleh lembaga yang besar dan tinggi, berwajah anjing dan berbulu tebal seperti beruang. Kalau gambarannya sedemikian, ia seakan-akan sosok serigala jadian atau "werewolf" yang banyak dijadikan tema filem seram Hollywood.
Serigala jadian atau "werewolf" banyak dijadikan tema filem-filem Hollywood
Mohammad Ishak mempunyai cerita lanjut mengenai makhluk halus tersebut dalam tulisannya di Berita Harian Online.


Di bawah ini ialah klip video filem "Never Cry Werewolf" menunjukkan transformasi kejadian "werewolf".



Tuesday, December 7, 2010

Empat Penyakit dan Ketahanan Barisan Nasional

Barisan Nasional (BN) akan terus kukuh sebagai parti pemerintah jika seruan pengerusinya untuk mengikis empat sikap negatif benar-benar digunapakai oleh pemimpin dan anggotanya. Ketika menyampaikan ucaptama dalam pembukaan Konvensyen Barisan Nasional pada 5 Disember, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan empat sikap negatif tersebut iaitu khayal (delusion), lupa diri (amnesia), jumud (inertia) dan angkuh (arrogance) sebagai "penyakit".

Pada pandangan saya keempat-empat penyakit tersebut mula menular dengan meluas di kalangan pemimpin dan "orang-orang kanan" BN selepas pilihanraya umum ke-11 (PRU11) pada 21 Mac 2004. Dalam PRU tersebut BN sebagai penyandang parti pemerintah telah dipilih semula dengan majoriti yang terbesar sejak tahun 1978. Lebih dari itu, Terengganu berjaya dijinakkan untuk kembali ke pangkuan BN dan ramai kalangan pemimpin BN  "khayal" bahawa mereka "lebih baik dan lebih berpengaruh" berbanding barisan pemimpin sebelumnya. Seperti kata Datuk Seri Najib mereka "khayal dan terawang-awang bahawa sokongan diterima daripada rakyat akan berterusan".

Dengan khayalan itu mereka menjadi "lupa diri". Perjuangan asal untuk memakmurkan negara melalui kemakmuran rakyat seluruhnya telah diketepikan. Perlumbaan untuk memakmurkan diri dan kroni menjadi-jadi.

Nikmat yang dikecapi kerana kejayaan memakmurkan diri dan kroni masing-masing menjadikan mereka "jumud" dan enggan membuat pembaharuan dan perubahan. Seperti kata bekas pemimpin kanan UMNO, yang disebutkan dalam blog Che Det:

"Di cawangan, ketua cawangan hanya berjuang untuk mengekal dirinya sebagai ketua sahaja. Kenapa? Sebabnya majoriti ketua cawangan dapat jadi pengerusi Jawatakuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dengan elaun tertentu dan kuasa untuk mengagih peruntukan. Berpeluang juga untuk jadi kontraktor Kelas F untuk projek kecil di luar bandar.

Untuk menentukan dirinya tidak dicabar ketua cawangan tidak akan benarkan sesiapa yang lebih terpelajar daripadanya masuk UMNO cawangannya. Lebih daripada itu kebanyakan peruntukan untuk jadi ahli UMNO, yang mana dia mesti melalui cawangan, tidak akan dilayan. Tujuannya ialah supaya cawangannya tidak mempunyai banyak ahli kerana mereka tetap akan menimbulkan masalah dan sukar dikawal, bahkan sukar disogok pun.

Sebab itu tidak ramai ahli profesional yang dapat menjadi ahli UMNO. Sebaliknya semakin ramai daripada pemimpin PAS terdiri daripada doktor, peguam, jurutera dan lain-lain profesyen.

Oleh kerana ketua cawangan biasanya tidak memiliki pelajaran yang tinggi dan beliau menentukan ahli lain dalam cawangannya mempunyai ilmu pengetahuan yang lebih rendah daripadanya, maka apabila ketua terpaksa berhenti kerana sebab-sebab tertentu, maka penggantinya akan terdiri daripada yang kurang berkebolehan daripadanya. Dengan itu kualiti kepimpinan akan merosot sepanjang masa.
Tentu ada cawangan yang tidak seperti ini tetapi pengecualian hanya mengesahkan keadaan yang sebenar."



Gabungan dua daripada sikap itu sudah cukup untuk membuatkan seseorang itu angkuh, tiga membuatkannya "super angkuh". Keangkuhan menyebabkannya enggan menerima pandangan dan cadangan orang ramai. Super-keangkuhan pula menyebabkan seseorang itu membuta tuli dan tidak mengendahkan teguran dan nasihat orang yang lebih berpengalaman darinya. Malah apabila seseorang yang pernah disanjung dan dianggap sebagai wira menegur dan menasihati, wira itu dilabel sebagai "penyibuk".

Para pemimpin BN yang merasa masih memiliki dan merasa sukar untuk mengikis mana-mana sikap negatif tersebut eloklah berundur diri dalam keadaan masih dihormati. Andai terus bertahan, rakyat akan mengikis pemimpin sedemikian dan akhirnya terpaksa jua berundur...dalam keadaan tanpa penghormatan, dan BN akan turut terhakis.

Jika BN benar-benar dapat mengikis empat penyakit itu, atau mengikis pemimpin-pemimpinnya yang masih "berpenyakit", insya Allah rakyat akan terus memberikan mandat kepada BN untuk terus mentadbir negara.