Kemenangan Barack Obama dari Parti Demokrat ke atas John McCain mewakili Parti Republikan, dalam pilihanraya presiden Amerika Syarikat pada 4 November 2008 adalah contoh nyata dimana rakyat menukar kepimpinan negara berikutan kepimpinan sediada dilihat sebagai membawa negara kearah yang tidak seiring dengan aspirasi mereka.
George W Bush calon Parti Republikan, memenagi pilihanraya presiden Amerika Syarikat tahun 2000 ke atas Al Gore calon Parti Demokrat, kerana kempennya yang banyak memberi tumpuan terhadap isu-isu dalam negara seperti cadangan bajet lebihan, reformasi keselamatan social dan kesihatan serta plan pengurangan cukai yang agak kompetetif.
Dalam isu dasar luar, Bush meraih sokongan dengan mengkritik polisi pentadbiran Clinton di Somalia dimana 19 orang rakyat Amerika terbunuh ketika cuba mengamankan dua kumpulan yang bermusuhan, dan di Balkans dimana tentera pasukan pengaman dari AS menjalankan pelbagai tugas.
“Tentera kita tidak sepatutnya dijadikan alat untuk apa yang diistilahkan sebagai membina negara”, kata Bush dengan sinis dalam suatu acara debatnya dengan Gore.
Bush yang memenangi 271 kawasan berbanding 266 yang dimenangi Gore dinobatkan sebagi Presiden Amerika Syarikat ke 43 pada 20 Januari 2001. Dengan kemenangan tipis itu, Bush berusaha keras untuk memenangi hati pengundi.
Dalam lapan bulan pertama selepas menjadi presiden, pentadbiran Bush kebanyakannya memberi tumpuan kepada perkara-perkara berkaitan ekonomi, hubungan dengan Korea Utara dan program nuklearnya, serta usaha menyatupadukana rakyat yang masih marah dengan kontroversi yang menyelubungi pilihanrya presiden tahun 2000. Berikutan peningkatan ketegangan konflik Israel dengan Palestin serta kegagalan pentadbiran Clinton untuk membawa kedua pihak ke meja rundingan, Bush lebih memberi pendekatan “tidak campurtangan”.
Rakyat Amerika mula tenang, dan sedikit demi sedikit populariti Bush makin meningkat.
Selasa, 11 September 2001 merupakan hari yang mencorakkan pentadbiran Bush berikutnya. Pada hari tersebut sekumpulan pengganas telah merampas empat buah pesawat penumpang , dua daripadanya merempuh dan memusnahkan menara berkembar Pusat Dagangan Dunia di Bandaraya New York. Pada malam itu juga, Presiden Bush mengumumkan perang terhadap keganasan. Kejadian itu segera melonjakkan kadar sokongan (approval rating) Bush kepada 90 peratus, yang tertinggi pernah direkodkan oleh Pertubuhan Gallup.
Teruja dengan sokongan yang memberangsangkan itu, Bush membuktikan komitmennya untuk memerangi keganasan dengan menghantar 11,000 tentera ke Afghanistan pada Oktober 2001. Harapan rakyat Amerika ialah wira-wira mereka iatu akan menangkap Osama Bin Laden dan memusnahkan al-Qaeda yang dipimpinnya, iaitu pertubuhan yang didakwa bertanggungjawab ke atas serangan 11 September. Namun itu bukan agenda sebenar Bush.
Bush telah salah tafsir akan sokongan rakyat Amerika dalam programnya untuk memerangi keganasan. Rakyat mahukan kedamaian dan jaminan keselamatan dari ancaman pengganas, Bush pula menyangka yang mereka "satu kepala" dengan dirinya yang ingin menunjukkan keunggulan ketenteraan dan menakut-nakutkan orang lain. Ternyata, Bush lebih dahsyat dalam ‘memperalat tentera’ berbanding Clinton yang dikritiknya dalam pilihanraya presiden tahun 2000.
Kerajaan Taliban di Afghanistan Berjaya digulingkan dan diganti dengan kerajaan pilihan Amerika Syarikat, namun majoriti anggota Al-Qaeda, termasuk Osama gagal diberkas. Pentadbiran Bush mula mendapat kritikan atas kegagalan itu.
Untuk mengalihkan pandangan rakyat dari isu kegagalan menangkap Osama, walau telah melibatkan korban jiwa yang besar serta serangan tentera ke atas sebuah negara lain, Bush mula menakut-nakutkan rakyat Amerika. Konon rakyat Amerika kini berhadapan dengan ancaman pengganas secara besar-besaran yang diatur oleh pertubuhan-pertubuhan pengganas di serata dunia, dan dengan itu, AS tidak lagi boleh menganggap bahawa dunia ini terdiri dari negara-negara yang berdaulat. Atas sebab itu, pentadbiran Bush melaksanakan dasar penggunaan "serangan menghalang" (preemptive strike) terhadap mana-mana negara yang melindungi atau memberi bantuan kepada kumpulan pengganas. Bush juga menggariskan teori tiga buah negara sebagai ancaman kepada keamanan, iaitu Iraq, Korea Utara dan Iran yang diberinya gelaran “Paksi Kejahatan”.
Kalangan rakyat Amerika yang meragui tindakan pentadbiran Bush di Afghanistan dan dasar serangan menghalang, memilih untuk berdiam diri. Mereka enggan mengambil tahu akan masa depan negara sendiri.
Bob Herbert, seorang penulis kolum di The New York Times menggambarkan keadaan rakyat Amerika itu sebagai cenderung untuk berada dalam keadaan yang amat pasif dalam mengharungi pelbagai krisis yang mencengkam negara dan menyukarkan kehidupaan jutaan manusia. Mereka seolah-olah menganggap bahawa rakyat jelata tidak boleh berbuat apa-apa dalam menangani keadaan-keadaan yang menghimpit kehidupan mereka.
Kebanyakan rakyat Amerika menonton berita sama seperti menonton siaran perlawanan sukan atau cerita bersiri di kaca televisyen. Mereka percaya yang mereka tiada daya kawalan ke atas peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam kehidupan seharian sama seperti mereka tiada kawalan ke atas strategi jurulatih pasukan kegemaran mereka atau skrip siri tv “Law & Order”.
Just Fancy replacing the "s" in Osama with "b"!
No comments:
Post a Comment