Sunday, October 11, 2009

KEMBALI KE PANGKUAN BARISAN NASIONAL

Kemenangan besar, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad di N31 Bagan Pinang merupakan petanda yang rakyat Malaysia sudah mula kembali ke pangkuan Barisan Nasional (BN).

Kesan permainan kata-kata sensasi yang membelai jiwa pengundi, terutama dari kalangan pengundi muda sudah mulai reda. Imajinasi gambaran suatu pemerintahan orde-baru sudah pudar. Kemuncak kobar emosi yang dipermainkan sudah mencapai antiklimaks.

Momentum fenomena-fenomena ini amat deras menjelang pilihanraya umum Mac 2008. Daya momentum bertambah dengan sekembalinya Datuk Sri Anwar Ibrahim ke arena politik pada Ogos 2008. Ia terus mendaki ke puncak menjelang pilihanraya kecil P36 Kuala Terengganu. BN kehilangan kerusi parlimen itu kepada PAS. Ramai yang bersorak tanpa menyedari kampong sedang diheret untuk digadai.

Memang lazimnya, sesuatu yang disensasikan cepat mendapat perhatian tetapi cepat pula menjemukan. Imajinasi jika tidak segera bertukar kepada realiti akan segera sirna. Hasil permainan emosi hanya berjaya sementara orang belum menyedari bahayanya. Sesudah itu, semuanya akan kembali kepada realiti.

Mac 2009, Pertukaran pucuk pimpinan BN (dan negara) membawa banyak perubahan positif dan muhasabah diri di kalangan pemimpinnya. Pandangan dan keluhan rakyat jelata mendapat perhatian yang lebih wajar.

Mei 2009, BN memilih untuk menumpukan tenaga dan kewangan memakmurkan masyarakat daripada menyertai pilihanraya kecil N12 Penanti. Tanpa BN dalam gelanggang, majoriti undi Parti Keadalian Rakyat (PKR) meningkat namun bilangan undinya merosot. Perjalanan turun dari puncak sudah bermula.

Julai 2009, Keputusan pilihanraya kecil Manek Urai mula memanifestasikan redanya gelombang sensasi. PAS mengekalkan kerusi N41 Manek Urai dengan kemenangan tipis ke atas BN. Kemerosotan undi majority amat ketara, iaitu dari 1,352 kepada hanya 65.

Ogos 2009, Meski BN gagal merebut kerusi N11 Permatang Pasir namun majoriti undi pihak lawannya terus merosot.

Oktober 2009, Peningkatan undi majoriti BN di pilihanraya N31 Bagan Pinang dari 2333 kepada 5435 lebih daripada 100%. Ia merupakan suatu tren yang bertentangan dengan yang dialami oleh pihak lawan – Apabila BN mengekalkan kerusi, majoritinya bertambah; Apabila parti lawan mengekalkan kerusi, majoritinya menurun.

Faktor-faktor yang menyebabkan para pengundi memilih laluan kembali ke pangkuan BN hendaklah diteliti dan terus dipelihara oleh barisan pimpinan BN agar laluan itu sentiasa lancar dan terbuka luas – menuju 1 Malaysia.

No comments: