Wednesday, October 14, 2009

PINDAAN PERLEMBAGAAN – TAMPARAN BAGI PENGAMAL POLITIK WANG

Usul pindaan Perlembagaan Umno yang akan dibentangkan pada Perhimpunan Agung Khas Umno Khamis ini akan memberi suatu tamparan hebat kepada para pengamal politik wang baik sipemancing undi mahupun ikan-ikan keke’ dan ikan-ikan gelama yang kelaparan umpan ringgit.

Dengan lonjakan 5,000 peratus bilangan perwakilan bagi pemilihan pimpinan tertinggi dan barisan pemimpin peringkat bahagian, kaki-kaki pancing itu kenalah menyediakan umpan yang besar jika hendak meneruskan kegiatan.

Perlaksanaan pindaan perlembagaan ini tentunya akan menyebabkan peningkatan kos untuk membawa perwakilan ke Perhimpunan Agung untuk pemilihan pimpinan tertinggi dan peringkat bahagian yang juga diusulkan untuk diadakan serentak. Sudah tentu perwakilan dari Sabah akan memerlukan dana paling tinggi memandangkan kedudukannya yang jauh dari venue perhimpunan.

Dalam keadaan sedemikian, kemungkinan akan muncul pihak-pihak tertentu yang menawarkan “khidmat” menaja kos perwakilan dengan niat tertentu untuk kepentingan calon tertentu. Jika hal ini berlaku, pindaan perlembagaan yang diusulkan tidak akan membendung politik wang, hanya menukar coraknya: dari memancing ikan keke dan ikan gelama kepada menjala udang disebalik batu.

Mudah-mudahan Jawatankuasa Pemilihan yang akan ditubuhkan untuk menyelia hal-hal logistik dan kos dapat mematahkan segala percubaan sedemikian.

Sebagai tunjang parti yang mentadbir negara, impak proses transformasi Umno kearah yang lebih demokratik, telus dan inklusif akan dapat kita lihat dalam aliran Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perceptions Index (CPI)) pada tahun-tahun berikutan perlaksanaan pindaan ini.

Untuk tahun 2008, Malaysia berkongsi kedudukan di tangga ke 47 (dari segi ketelusan) dengan Cape Verde, Costa Rica, Hungary dan Jordan dari senarai 180 buah negara. Kedudukan tersebut merupakan kejatuhan 4 tangga dari kedudukan ke-43 yang dikongsi bersama Korea Selatan dan Afrika Selatan pada tahun 2007.

Korea Selatan yang telah meninggalkan kita dengan memperbaiki kedudukan hingga mencapai ke tangga ke-40 pada tahun 2008, terus berusaha untuk mencapai yang lebih baik. Mampukan kita untuk mengejarnya kembali? Bersamalah kita berusaha dan berdoa.

No comments: