Friday, August 21, 2009

KUNAK MULA MENDAPAT PERHATIAN

Beberapa bulan yang lalu saya berada di tempat kejadian ketika berlaku kemalangan maut dimana sebuah lori tangki merempuh dua orang anak beranak. Saya telah mendail nombor kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan. Saya memberitahu bahawa satu kemalangan dahsyat berlaku di bulatan utama Pekan Kunak, Sabah.

Operator yang melayan panggilan saya bertanya, “Di Daerah mana di Sabah?”

“Daerah Kunak’, jawabku ringkas.

“Berapa jauh dari Kota Kota Kinabalu?”, tanya operator.

Dengan soalan itu, sayapun menyedari bahawa belum ramai yang mengenali daerah saya yang kaya bukan sahaja dengan hasil buminya bahkan juga sebagai tapak warisan tertua penempatan manusia di Asia Tenggara. Setelah memberitahu opertaor bahawa Daerah Kunak terletak di Bahagian Tawau, barulah panggilan saya disambungkan ke pusat kawalan di Tawau.

Begitulah keadaan Daerah Kunak yang jarang mendapat perhatian positif melainkan oleh pengusaha-pengusaha syarikat perladangan yang datang untuk merebut sebanyak mungkin tanah subur daerah ini.

Dengan usaha gigih masyarakat setempat dibawah pimpinan ADUN Kunak, Yang Berhormat Nilwan Kabang, untuk membangun dan memperkenalkan daerah ini kepada penduduk Malaysia khasnya dan dunia amnya, kini Kunak mula mendapat perhatian. Langkah Bernama, Berita Harian, The New Sabah Times, Utusan Borneo dan Daily Express yang mengetengahkan berita usaha-usaha untuk membangun daerah ini amat dihargai. Artikel oleh wartawan BH Encik Hassan Omar, “Nilwan Bawa Pembangunan Kunak”, yang dimuatkan dalam lipatan tengah (centrefold) Berita Harian 18 Ogos 2009 telah melakar sejarah bagi daerah ini sebagai “Centrefold Pertama Daerah Kunak” yang dimuatkan dalam salah satu akbar terkemuka di negara ini.


No comments: