Gambar: Pengetua SMK Kunak Encik Mohamad Tan Bacho (kanan) dan Penolong Pegawai Daerah Encik Simudah Hj Sulaiman (berbaju batik) mengiringi YB Nilwan(tengah) menerima tabik hormat perbarisan
Dalam ucapan perasmian penutup Hari Kemuncak Kokurikulum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah Kawasan N51 Kunak, Yang Berhormat Encik Nilwan Bin Kabang menyeru ahli-ahli persatuan unit beruniform sekolah itu agar mengambil contoh kesungguhan dan komitmen Pasukan Kadet Bomba SMK Kunak yang berjaya mengharumkan bukan sahaja nama sekolah, tetapi juga Daerah Kunak dan Negeri Sabah.
Pasukan Kadet Bomba SMK Kunak
“Janganlah menyertai sesuatu pasukan unit beruniform semata-mata kerana setiap pelajar dimestikan menjadi ahli salahsatu pasukan beruniform yang ada di sekolah”, ujar YB Nilwan menasihati para pelajar. “Sebaliknya, anggaplah bahawa dengan menjadi ahli sesuatu pasukan itu, peluang telah terbuka untuk mengasah bakat, memperkukuh semangat kerjasama, disiplin serta merupakan peluang untuk mengharumkan nama sekolah, Daerah Kunak serta Negeri Sabah seperti yang telah dilakukan oleh Pasukan Kadet Bomba SMK Kunak”.
Pasukan Pancaragam SMK Kunak
“Dengan mengambil bahagian yang aktif dalam sesuatu pasukan unit beruniform sekolah, masa terluang para pelajar dapat digunakan dengan lebih bermakna dan mampu mengelakkan para pelajar dari terlibat dari kegiatan-kegiatan jenayah juvana yang boleh merosakkan masa depan pelajar itu sendiri”, tambah YB Nilwan. “Jika para pemimpin diseru untuk memegang prinsip Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, maka saya menyeru para pelajar untuk memegang prinsip, Pelajaran Didahulukan, Disiplin Diutamakan.”
Terdahulu YB Nilwan menerima tabik hormat lintas perbarisan pasukan-pasukan unit beruniform SMK Kunak yang terdiri dari St John Ambulans Malaysia, Pengakap Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah, Kor Kadet Polis, Kadet Bomba, Kadet Remaja Sekolah, Pandu Puteri dan Puteri Islam.
No comments:
Post a Comment