Wednesday, March 10, 2010

ISYARAT JALURLEBAR DARI LAMPU MEJA ANDA


Pada masa hadapan, kita mungkin boleh mendapatkan penyambungan isyarat jalurlebar sebaik sahaja kita menghidupkan suis lampu di rumah. Menurut sekumpulan penyelidik di Jerman, cahaya lampu yang ada di rumah-rumah kediaman pada masa kini, suatu hari mampu menyediakan isyarat jalurlebar tanpawayar.
 "Kebaikannya ialah kita akan menggunakan cahaya yang sama untuk menerangi bilik," kata Jelena Vučić dari Fraunhofer Institute for Telecommunications, Heinrich-Hertz-Institut di Jerman.
Vučić dan rakan-rakannya telah menemui cara untuk mendapatkan sinergi pencahayaan dan maklumat sedemikian. Penemuan ini akan mereka bentangkan pada Pameran dan Persidangan Komunikasi Serat Optik / Persidangan Jurutera Serat Optik Kebangsaan (OFC/NFOC) di San Diego pada 21 hingga 25 Mac ini.
Pada masa kini kebanyakan sambungan tanpawayar di kediaman dan premis-premis perniagaan menggunakan sambungan WiFi. Malangnya jalur gelombang WiFi amat terbatas dan sukar untuk mendapatkan lebih banyak ruang dalam keadaan spektrum radio yang sekarang ini sememangnya sudah agak sesak. Sebaliknya, sambungan isyarat tanpawayar menggunakan cahaya tampak, memberikan ruang frekuensi yang lebih meluas. 
Isyarat dihasilkan dengan mengerlap-ngerdipkan semua lampu secara bersama. Kerdipan itu tidak akan mengganggu pencahayaan kerana kadar modulasinya adalah jutaan kali lebih cepat daripada yang boleh dikesan oleh mata manusia. 
Oleh kerana cahaya-tampak tidak dapat menembusi dinding maka gangguan isyarat tidak akan berlaku sebagaimana yang dialami apabila menggunakan gelombang radio. Seterusnya, gangguan penggodampun akan berkurangan.
Lampu pijar dan lampu neon tidak mampu mencapai frekuensi pengerdipan yang cukup tinggi bagi menghasilkan isyarat tanpawayar yang diperlukan. Oleh yang demikian, maka lampu yang digunakan adalah dari jenis LED (light emitting diode). Meskipun julat gelombang LED yang biasa digunakan pada masa kini terbatas kepada beberapa MHz sahaja, Vučić dan rakan-rakannya telah berjaya menigkatkan julatnya hingga sepuluh kali ganda dengan menapis semua spektrum LED kecuali biru.
Dengan sistem tanpawayar menggunakan cahaya-tampak yang dibina dan diuji dalam makmal, Vučić dan rakan-rakannya telah berjaya memuatturun data pada kelajuan 100 Mbit/s (berbanding kelajuan jalurlebar yang saya sedang gunakan ini pada kelajuan kurang 1 Mbit/s). 
Setakat ini, mereka telah menaiktaraf alat penerima sistem itu dan berjaya mendapatkan kelajuan 230 Mbit/s. Ia merupakan ciptaan rekod bagi isyarat tanpawayar menggunakan LED komersil. Meskipun teknologi terkini menggunakan isyarat radio mampu mencapai kelajuan yang setanding, Vučić mengatakan bahawa mereka akan dapat menggandakan kadar data mereka dengan menggunakan modulasi isyarat yang lebih canggih.



No comments: