Kunak 05 Disember -- Umpama seorang yang celek di kalangan kumpulan orang-orang buta. Begitulah perumpamaan yang diberikan oleh Presiden HALUAN Malaysia, Profesor Dr Abdullah Sudin Abdul Rahman kepada Malaysia di kalangan negara-negara Islam. Menurut beliau, Malaysia mampu membangun dan memakmurkan rakyatnya kerana perpaduan di kalangan penduduknya yang masih utuh.
Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluannya di Seminar Dakwah Zon Pantai Timur Sabah 2009 bertempat di Masjid Datuk Zainal Gunung di Kunak.
“Seramai 1.3 billion umat Islam di seluruh dunia adalah bilangan yang besar, namun bilangan yang besar ini berada dalam keadaan lemah. Ini adalah kerana umat Islam di kebanyakan negara-negara Islam yang lain dalam keadaan berpecah-belah’, kata Prof Abdullah.
Pandangan beliau turut dikongsi oleh ADUN Kunak, Yang Berhormat Datuk Nilwan Kabang, dalam ucapan perasmiannya.
“Umpama lima jari di tangan kanan, setiap satu jari mudah dilentuk dan dipatah-patahkan”, kata Datuk Nilwan memberi satu lagi perumpamaan. “Namun bila kesemua jejari itu disatukan dan dipadukan ia akan menjadi sesuatu yang mampu merebahkan penceroboh”.
“Oleh itu, adalah amat penting bagi umat Islam di Malaysia sentiasa berusaha mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dan kerjasama agar agar agenda pembangunan negara dapat direalisasikan”, tambah Datuk Nilwan.
No comments:
Post a Comment