Kewujudan manusia sejak azali telah diiringi dengan naluri untuk berhijrah yang didorong oleh keadaan-keadaan tertentu. Kebanyakan sebab atau dorongan untuk berhijrah adalah untuk mencari keadaan penghidupan yang lebih baik atau mengelakkan dari keadaan yang sukar atau menyeksakan.
Hijrah manusia yang pertama ialah penghijrahan Adam dan Hawa dari syurga abadi ke dunia fana, namun ia bukanlah didorong oleh keadaan untuk mencari penghidupan yang lebih baik atau mengelakkan keadaan yang menyeksakan. Sebaliknya, moyang umat manusia itu telah diperintah keluar dari syurga oleh Allah SWT.
Jika dikaitkan dengan kajian-kajian antropologi, moyang manusia memulakan penghidupan di bahagian timur Selatan Afrika antar 120 ribu hingga 150 ribu tahun yang lalu. Perubahan cuaca telah menyebabkan kawasan kediaman mereka semakin gersang. Haiwan buruanpun semakin berkurangan. Masalah kelaparan mula melanda.
Beberapa kumpulan dari kalangan mereka telah cuba mencari jalan keluar ke kawasan baru. Percubaan-percubaan awal adalah melalui perjalanan darat ke bahagian utara benua Afrika, namun selalu menemui kegagalan kerana mereka tidak dapat menakluk keadaan Gurun Sahara yang sentiasa membakar.
Beberapa keluarga menyusur pantai timur benua Afrika. Di sepanjang perjalanan hasil tangkapan dari persisiran pantai, iaitu ikan, kerang dan lain-lain, menjadi sumber makanan.
Sekitar 70 ribu tahun dahulu, mereka tiba di pantai Selat Babul Mandeb. Dari kejauhan kelihatan daratan Yaman menghijau, sangat berbeza dengan keadaan gersang padang pasir di tempat mereka berdiri.
Pada masa kini, keluasan Selat Babul Mandeb di Laut Merah lebihkurang 20 kilometer, namun pada masa itu ianya lebih sempit dan paras laut dikatakan 70 meter lebih rendah. Di antaranya terdapat pulau-pulau kecil yang boleh digunakan sebagai tempat persinggahan ketika menyeberang, samada berenang, menggunakan rakit atau sesuatu yang boleh terapung.
Untuk seketika mereka menetap di pantai itu dan meneruskan kehidupan dengan hasil tangkapan laut. Namun, kehijauan daratan Yaman seakan memanggil. Tangkapan dari laut semakin berkurangan. Tangisan kanak-kanak yang kelaparan semakin mendesak. Akhirnya, mereka nekad. Untuk kelangsungan generasi umat manusia, mereka mesti merentas laut. Mereka perlu berhijrah ke tanah yang lebih menjamin masa depan.
Persiapan seadanya dilakukan. Segala yang boleh terapung dikumpul. Kayu-kayan, ranting mahupun jerami yang dibawa hanyut dari Yemen ke Pantai Djibouti dipungut lalu diikat menjadi rakit. Kanak-kanak, kaum wanita dan mereka yang lemah dinaikkan ke rakit atau didukung oleh mereka yang lebih gagah. Penghijrahanpun bermula.
Walau ada yang terkorban dalam perjalanan itu, namun sebahagian besar dari rombongan itu berjaya tiba di pantai Yaman. Bilangan mereka dianggarkan dalam lingkugan 250 orang yang terdiri dari beberapa kumpulan atau keluarga.
Bermulalah suatu harapan baru untuk kelangsungan hidup umat manusia. Hijrah untuk menakluk bumi telahpun bermula.
No comments:
Post a Comment