Saturday, April 16, 2016

PROGRAM JELAJAH SISWA DI BAWAH BAYU 20 FSSK UKM

Kunak, 16 April 2016. - Seramai 28 orang mahasiswa/i Fakulti Sains Sosial dan Masyarakat Universiti Kebangsaan Malaysia (FSSK UKM) telah berkampung selama 5 hari 4 malam di Kampung Lormalong Kunak bagi menjayakan program Jelajah Siswa Di Bawah Bayu /20 dengan tema Siswa Untuk Komuniti. Daripada bilangan tersebut 27 daripada Semenanjung dan seorang berasal dari Negeri Sabah. Mereka diiringi oleh seorang pensyarah di fakulti berkenaan, Puan Norwati Binti Mohd Yusuf. Turut menyertai program ini ialah 6 orang mahasiswa/i dari Sekretariat HEP Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Pengarah program Encik Galeev George Lajuti berkata matlamat utama program ialah untuk mengeratkan hubungan dan kerjasama antara peserta dengan penduduk setempat.

Ketika berucap merasmikan penutupan program tersebut ADUN N51 Kunak, Yang Berhormat Datuk Hj Nilwan Bin Kabang berkata program-program anjuran siswa/i pusat-pusat pengajian tinggi amat dialu-alukan.  Beliau berharap program seperti itu dapat diteruskan dari masa ke semasa. Tambahnya, program seperti itu seharusnya menjadi contoh dan diteruskan oleh generasi akan datang kerana program sedemikian dapat memberi kesedaran an meningkatkan lagi sikap prihatin dalam diri para mahasiswa/i.

Dalam program itu Nilwan yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah menyumbang hamper makanan asas harian kepada 16 keluarga angkat dan 6 orang ketua isirumah golongan asnaf.




Turut hadir ialah isteri ADUN N51 Kunak, Datin Hjh Amnanai Tansin Abdullah, Pemimpin Pembangunan Masyarakat N51 Kunak, Encik Utoh Joehann Angkie, Penyelaras Perpaduan Daerah Kunak Encik Abdul Rahmat Maulilah, para pegawai dan kakitangan UPPM Kunak, ketua-ketua kampung dan pengerusi-pengerusi JKKK N51 Kunak serta penduduk Kampung Lormalong.


Thursday, April 14, 2016

KEMELUT GERAI SIMPANG EMPAT KUNAK

Pada 13 April 2016 tercatit satu lagi sejarah suka dan duka di Daerah Kunak.


Deretan gerai di Simpang Empat Kunak yang selama hampir 20 tahun telah menjadi punca sumber pendapatan lebihkurang 50 keluarga telah dirobohkan. Sebelumnya para peniaga kecil di gerai tersebut memang telah beberapa kali diarah oleh PBT untuk merobohkan gerai masing-masing. Namun setiap kali diarah berbuat demikian wakil mereka menemui ADUN setempat YB Datuk Hj Nilwan Kabang memohon simpati dan pertimbangan. Setiap kali pula YB mempertahankan kedudukan mereka.
Pada 17 November 2009 di Dewan Undangan Negeri YB meminta Kerajaan Negeri Sabah untuk membina premis perniagaan dengan mengambil model Pasar Sentral Tawau atau Pekan Rabu Alor Star bagi menggantikan Gerai Simpang Empat Kunak. Dalam ucapan bahasnya YB telah berkata, "Bermula dengan tiga gerai gubuk yang didirikan oleh pengusaha kecil tempatan lebih dua dekad lalu dari kepingan-kepingan papan buangan dan kepingan zing-zing terpakai untuk bumbung, kini sudah menjadi deretan melebihi 20 gerai.
"Meskipun demikian keadaannya, itulah satu-satunya premis perniagaan di Daerah Kunak yang paling banyak menerima pelanggan dari kalangan pelancong dalam dan laur negeri.


"Untuk itu, saya dengan ini memohon agar perbelanjaan wang negeri bagi pembangunan tahun 2010 dapat diambil sedikit dan diperuntukkan bagi membina sebuah pusat pemasaran produk PKS dan produk pertanian tempatan di lokasi Gerai Simpang Empat, dengan mengambil konsep binaan Pasar Sentral Tawau atau Pekan Rabu Alor Star", kata Datuk Nilwan lagi.
Kemudian berlaku beberapa siri kemalangan jalanraya tidak jauh dari gerai tersebut dan beberapa pihak menduga bahawa ia ada kaitan dengan gerai tersebut. Sekali lagi arahan untuk merobohkannya dikeluarkan dan sekali lagi YB Datuk Hj Nilwan mempertahankannya.
Pada 15 Jun 2010 YB telah membawa beberapa pegawai kanan kerajaan di Daerah Kunak melawat kawasan gerai untuk merangka suatu penyelesaian yang sebaik-baiknya. Pegawai-pegawai kanan kerajaan yang dimaksudkan termasuklah Pegawai Daerah, Ketua Jabatan Pejabat Tanah Daerah dan jurutera JKR Kunak. Matlamat lawatan ialah untuk meninjau alternatif bagi membolehkan peniaga meneruskan usaha dengan gerai yang lebih baik dan dalam keadaan lebih selamat.

Dalam tinjauan itu, sebuah batu penanda sempadan ditemui dipercayai sebagai sempadan antara rizab jalan dengan ladang kelapa sawit yang terdapat di belakang gerai. Jika benar, bermakna gerai boleh diundurkan dalam lingkungan 15 hingga 20 kaki ke belakang. Lorong hentian kenderaan kemudian boleh diperluaskan di hadapan gerai.
Datuk Nilwan meminta pihak Jabatan Tanah dan Ukur untuk segera melaksanakan kerja-kerja memastikan kedudukan sebenar sempadan berkenaan dan memasang pancang. Pihak Pejabat Daerah seterusnya diminta menyusul dengan perancangan dan pelaksanaan pembinaan gerai baru. Namun terdapat beberapa masalah yang menyukarkan untuk pembinaan gerai di kawasan tersebut dan PBT mencadangkan lokasi alternatif, iaitu di sebelah kiri jalan (selepas bulatan) menuju ke Tawau.
Keadaan tenang kembali buat beberapa lama. Kemudian pada tahun 2014 sekali lagi para peniaga di gerai tersebut diarah merobohkan gerai mereka. Kali ini arahan daripada pihak JKR. Selaku Pegawai Khas YB, saya diarah membincangkan hal ersebut dengan Jurutera JKR Kunak dan meminta tempoh sehingga gerai alternatif siap dibina untuk para peniaga yang terlibat. Pada masa yang sama YB telah memberi jaminan kepada para peniaga bahawa gerai mereka tidak akan dibongkar sehingga gerai alternatif disediakan.
Sehubungan dengan itu sederet gerai mula dibina dihadapan pejabat JPN di Simpang Empat dan siap sebelum berakhir tahun 2015. Tidak pasti pula kenapa ia tidak dibina di sebelah kiri jalan (selepas bulatan) menuju ke Tawau seperti cadangan awal oleh PBT.

Pada bulan Mac 2016 para peniaga mendapat notis pembongkaran lagi dan seperti biasa wakil mereka menemui YB untuk memohon pertimbangan. Malangnya, sebelumnya sebahagian besar peniaga sudahpun ke pejabat Majlis Daerah Kunak untuk menempah gerai masing-masing. Pandangan am menunjukkan tindakan itu menggambarkan bahawa mereka "sudah bersedia untuk berpindah" ke gerai baru yang disediakan. YB dalam keadaan dilema. Jika menyokong pembongkaran gerai, ada pula yang menuduh beliau tidak peka dengan nasib peniaga kecil yang terlibat, jika terus membantah seakan-akan pula beliaulah yang menjadi pengacau (undermine) tugas dan tanggungjawab PBT.

Tuesday, December 3, 2013

MEMPERBAIKI ADAB-ADAB ZAHIR DALAM SOLAT – QIYAM

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم 

بسم الله الرحمن الرحيم 

الْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ اْلأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ وَعَلَى اَلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ أَمَّا بَعْدُ

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang dengan rahmatNya jua maka kita diberi kesempatan untuk melanjutkan ke bahagian ketiga dalam siri ini. Salawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW serta keluarga dan para sahabat baginda.
Setelah sempurna takbiratul ihram yang disertai dengan mengangkat kedua tangan seperti yang dijelaskan dalam bahagian kedua siri ini, musolli (orang yang solat) yang mampu hendaklah terus berada dalam keadaan qiyam.
Pegawai Dakwah Jabatan Hal Ehwal Ugama Islam Kelantan, Tuan Haji Othman Haji Ahmad menerangkan maksud qiyam (berdiri betul): “dengan membetulkan tulang belakang bagi yang berkuasa, oleh itu di dalam melakukan qiyam, jangan condong ke mana-mana arah dengan tidak meluruskan tulang belakang. Sekiranya condong tidaklah dinamakan qiyam dan batal sembahyang.”(1)
Imam Al-Ghazali menyarankan kedudukan tangan dalam keadaan qiyam selepas takbiratul ihram seperti berikut: (2)
2.      KEDUDUKAN TANGAN KETIKA QIYAM SELEPAS TAKBIRATUL IHRAM
2.1.     Meletakkan kedua tangan di atas pusat dan di bawah dada
2.2.     Tangan kanan di atas tangan kiri
2.3.     Telunjuk dan jari tengah dari tangan kanan dilepaskan di atas sepanjang lengan kiri.
2.4.     Ibu jari, kelingking dan anak jari menggenggam pergelangan tangan kiri. 
-   Saranan Prof. T.M. Hasbi Ash-Shiddieqy(3): “Apabila sudah selesai bertakbir, maka turunkanlah tangan dan letakkanyalah keduanya atas dada, dengan meletakkan pergelangan tangan kanan atas tangan kiri, menggenggam pergelangan tangan kiri dengan kelingking, jari manis, jari tengah dan ibu jari, sedang telunjuk diulurkan atas tangan kiri.
-     Dari Wa-il bin Hujr r.a., katanya dia melihat Nabi SAW mengangkat kedua tangan pada permulaan solat setentang dengan kedua telinganya sambil membaca takbir. Kemudian dilipatkannya bajunya lalu diletakkanya tangan kanan di atas yang kiri. (H.R. Muslim)(4)
-     Dari Ibnu Abi Hazam, dari Sahal bin Sa’ad, katanya: “Orang-orang yakni para sahabat diperintah oleh Nabi SAW agar supaya seseorang itu meletakkan tangan kanan di atas hasta kirinya di dalam melakukan solat.”
Abu Hazam mengatakan: “Aku tidak mengerti persolan ini, hanya saja Sahal merafa’kan hadits itu kepada Nabi SAW.” (H.R. Bukhary)(5)
-       Ustaz Azhar Idrus menyebut tiga tempat kedudukan kedua tangan selepas takbiratul ihram yang dipersetujui oleh para ‘ulama:(6)
(i)                 Atas pada pusat – Imam Syafie dan Imam Maliki
(ii)               Atas dada – Dipakai oleh Mazhab Hambali
(iii)             Di bawah pusat – Dipakai oleh Mazhab Hanafi

Semoga bermanfaat
سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلهَ إِلاَّ أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوْبُ إِلَيْكَ

(1)   Haji Othman Haji Ahmad, Kesempurnaan Sembahyang, pondokhabib.wordpress.com/2010/09/16.
(2)  H. Ismail Yakub, Terjemahan “Ihya’ Ulumiddin oleh Imam Al-Ghazali”, Perc. Menara Kudus, Jakarta, 1980.
(3)   Muhd Hasbi Ash-Shiddieqy, Pedoman Shalat, Penerbit Bulan Bintang, Jakarta, 1978.
(4)  Ma’Mur Daud, Terjemah Hadis Shahih Muslim, Klang Book Center, Klang, Malaysia, 1982.
(5)    H. Moh Abdai Rothomy, Terjemahan Hadis Shahih Bukhary, Victory Agencie, Kuala Lumpur, 1993.
(6) Hambafaqir, Kedudukan Tangan Selepas Takbir (Qiyam) – Ustaz Azhar Idrus, www.youtube.com/watch?v=oZPt07uidAA

MEMPERBAIKI ADAB-ADAB ZAHIR DALAM SOLAT – TAKBIRATUL IHRAM

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم 

بسم الله الرحمن الرحيم 

الْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ اْلأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ وَعَلَى اَلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ أَمَّا بَعْدُ

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang dengan rahmatNya jua maka kita diberi kesempatan untuk melanjutkan tulisan dalam siri ini. Salawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW serta keluarga dan para sahabat baginda.
Menurut Imam Al-Ghazali r.a. dalam Ihya’ Ulumiddin – Kitab Rahasia Solat dan Segala Kepentingannya, apabila sudah dalam keadaan berdiri lurus dan menghadap qiblat seperti yang dihuraikan pada bahagian pertama siri ini, musolli (orang yang solat) hendaklah membaca Surah An-Naas, kemudian iqamah. Dan jika dia mengharapkan akan kedatangan orang untuk menyertainya solat, maka hendaklah dia azan terlebih dahulu.
Setelah selesai iqamah, dan masih dalam keadaan berdiri lurus menghadap qiblat, musolli hendaklah berniat dalam hati dengan jelas, iaitu jika akan solat Zohor maka jelas diniatkannya untuk Zohor  dan bukan Asar; solat fardhu untuk membezakan dengan yang sunat, solat pada waktunya untuk membezakan dengan solat qadha dan sebagainya. Hendaklah niat itu kekal hadir dalam hati sehingga akhir takbiratul ihram.
2.      MENGANGKAT TANGAN KETIKA TAKBIRATUL IHRAM
2.1.     Dari keadaan berdiri tegak, tangan diangkat hingga setentang dengan bahu.
2.2.     Kedua tapak tangan terbuka menghadap ke kiblat.
2.3.     Jari jemari tangan dalam keadaan sanatai (tidak dipaksa untuk dirapatkan dan tidak pula terlalu direnggangkan)
2.4.     Kedua ibu jari setentang dengan hujung bawah cuping telinga
2.5.     Kedua hujung anak jari setentang dengan hujung atas cuping telinga

-  Dalam buku Teladani Solat Nabi SAW, Muhammad Uzair Al-Aziz menerangkan tentang tiga keadaan kedudukan tangan ketika bertakbir yang boleh digunapakai kerana terdapat hadis yang sahih mengenai ketiga-tiga keadaan tersebut:
Pertama        : Bertakbir serentak dengan mengangkat kedua tangan.
Kedua            : Mengangkat kedua tangan terlebih dahulu kemudian bertakbir.
Ketiga            : Bertakbir kemudian mengangkat kedua tangan.
- Ustaz Azhar Idrus (UAI) menerangkan dalam ‘youtube’ UstazAzhar Idrus – Qiam: Syarat Sah Takbiratul Ihram, yang dimuatnaik oleh shahzaro, bahawa orang yang mampu berdiri tegak tetapi melakukan takbiratul ihram dalam keadaan tidak berdiri tegak maka takbiratul ihramnya tidak sah, dan solatnya juga tidak sah.
- Dalam klip video lain yang dimuatnaik oleh Ahmad Azhari Abdul Aziz bertajuk Ustaz Azhar Idrus – Takbiratul Ihram TakAngkat Tangan, UAI menerangkan bahawa takbiratul ihram sah tanpa mengangkat tangan namun pahala sunnah tidak diperoleh. Demikian pula pahala sunnah tidak diperoleh apabila tangan diangkat dengan cara yang lain. UAI seterusnya menerangkan tentang cara mengangkat tangan untuk mendapatkan pahala sunnah dalam takbiratul ihram, iaitu seperti yang diterangkan di atas.
- Hadis Riwayat Muslim r.a. mengenai Takbir dan Mengangkat Tangan:
1. Dari Salim r.a., dari bapaknya, katanya: “Aku melihat Rasulullah SAW ketika beliau memulai solat: diangkatnya kedua tangannya hingga setentang dengan kedua bahunya. Begitu pula sebelum ruku’. Tetapi beliau tidak mengangkatnya ketika duduk antara dua sujud.”
2. Dari Salim bin Abdullah Bin Umar r.a., katanya: “Apabila Rasulullah SAW berdiri hendak solat, maka diangkatnya kedua tangannya hingga setentang dengan kedua bahunya sambil membaca takbir. Apabila beliau hendak ruku’, dilakukannya pula seperti itu, begitu pula ketika bangkit dari ruku’. Tetapi beliau tidak melakukannya ketika mengangkat kepala dari sujud.
3. Dari Malik bin Huwairits r.a., katanya: “Bila Rasulullah SAW takbir (untuk solat) beliau mengangkat kedua tangannya hingga setentang dengan kedua telinganya. Dan bila beliau hendak ruku’, diangkatnya pula kedua tangannya setentang dengan telinganya. Dan bila beliau mengangkat tangan dari ruku’, beliau membaca حَمِدهُ لِمنْ اللهُ سَمِعَ sambil mengangkat tangan seperti itu pula."

- Hadis Riwayat Bukhari r.a. mengenai Takbir dan Mengangkat Tangan:
1. Dari Abdullah bin Umar r.anhuma, katanya: “Aku melihat Rasulullah SAW apabila berdiri untuk memulai mengerjakan solat: beliau SAW mengangkat kedua tangannya sehingga kedua tangannya itu bertepatan sekali dengan kedua bahunya. Beliau SAW mengerjakan sedemikian itu pula ketika bertakbir hendak melakukan ruku’,  begitu pula ketika mengangkat kepalanya dari ruku dan terus mengucapkan  حَمِدهُ لِمنْ اللهُ سَمِعَ , tetapi beliau SAW tidak melakukan itu diwaktu hendak bersujud.”
Semoga bermanfaat
سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلهَ إِلاَّ أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوْبُ إِلَيْكَ

Monday, December 2, 2013

MEMPERBAIKI ADAB-ADAB ZAHIR DALAM SOLAT – BERDIRI TEGAK

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم                                                           
بسم الله الرحمن الرحيم                                                              
الْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ اْلأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ وَعَلَى اَلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ أَمَّا بَعْدُ
Apa yang saya cuba sampaikan dalam siri tulisan inilah bukanlah bermaksud untuk menjadikannya sebagai perdebatan, lebih-lebih lagi tiadalah sama sekali tujuan saya untuk menyatakan bahawa cara berlainan yang dilakukan oleh sebilangan umat Islam adalah salah atau tidak mengikut sunnah Rasulullah SAW. Bahkan tujuan saya adalah semata-mata mengharapkan redha Allah SWT dengan berkongsi serba sedikit maklumat dari apa yang saya dapati dari beberapa sumber. Keampunan jua yang saya harapkan dari Allah atas segala kesilapan dan kesalahan yang saya lakukan. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

1.      CARA BERDIRI UNTUK SOLAT
1          1.1.Menghadap Qiblat
1          1.2.Merenggangkan Kedua Tapak Kaki
1          1.3.Jari kaki menghadap ke qiblat
1          1.4.Kedua-dua lutut serta tulang belakang dalam keadaan lurus
1          1.5.Kepala ditundukkan sedikit
1          1.6.Mata memandang ke tempat sujud
-          Petikan dari Ihya’ Ulumiddin - Kitab Rahasia Solat dan Segala Kepentingannya, karya Imam Al-Ghazali r.a:
Setelah selesai berwudhu dan suci daripada najis pada badan, pakain dan tempat, musolli (orang yang mengerjakan solat) hendaklah berdiri menghadap qiblat, dan merenggangkan antara kedua tapak kakinya, tidak dirapatkan.
Dan dijaga mengenai kedua lututnya dan tulang belakangnya dengan lurus. Dan mengenai kepalanya, kalau ia mahu, maka dibiarkannya tegak lurus, dan kalau ia mahu, maka ditundukkannya sedikit. Menundukkan kepala itu adalah lebih mendekatkan kepada khusyu’ dan lebih memincingkan kepada mata.
Dan hendaklah matanya tertuju kepada musollanya (tempat solatnya) . . .
-          Petikan dari buku Pedoman Solat oleh Prof Dr. T.M. Hasbi Ash-Shiddieqy:
Apabila kita berdiri buat solat, maka hendaklah kita berdiri dengan lurus, sama tegak kedua belah kaki, berhadap ke qiblat (ke arahnya) dengan menundukkan kepala, memandang ke tempat sujud, dan menghadapkan ujung jari-jari kaki ke kiblat dengan merenggangkan antara dua kaki kira-kira 10 cm, yakni jangan sangat dirapatkan dan jangan sangat dijauhkan.
-    Dari “youtube”, Bukaan Kaki Semasa Berdiri Dalam Solat – Ustaz Azhar Idrus UAI dimuatnaik oleh alRamadhan88:
Soalan : Semasa berdiri dalam sembahyang bagaimanakah bukaan kaki yang sesuai?
Jawapan : Ada pandangan mengatakan hendaklah ditutup, ada pandangan mengatakan dibuka kadar sejengkal, ada mengatakan kalau perempuan ditutup dan kalau laki-laki dibuka kadar sejengkal. Jawabnya, semua ni boleh belaka. Yang tidak boleh ialah kita besarkan kaki (terlalu merenggangkan) sehingga menyempitkan ruang shaf. Itu adalah dilarang oleh syarak.
-          Dari TV ALHIJRAH, 30 Minit Ustaz Don – Rukun Solat: Berdiri Tegak – dimuatnaik ke “youtube” oleh champ20ns, disimpulkan:
Orang yang tidak boleh berdiri lama kerana uzur, hendaklah juga memulakan solat fardhu dengan berdiri. Selepas takbiratul ihram maka bolehlah dia duduk untuk menyempurnakan rukun-rukun solat seterusnya.
Kaki hendaklah dalam keadaan seperti 'nombor 11', bagi lelaki, sekurang-kurang jarak ialah 4 jari dan sebaik-baiknya sejengkal, bagi perempuan ialah serapat yang mampu.
Bagi orang yang sememangnya badannya tidak tegak berdiri dalam keadaan biasa, maka hendaklah dia menegakkan tubuh anggota dan tubuh badannya mengikut kemampuan.

Sembahyang sunat dibolehkan duduk, tetapi apabila solat sunat berjemaah sebaik-baiknya berdiri atau mengikut cara imam.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ الله لِي وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنّهُ هُوَ اْلغَفُوْرُ الرّحِيْمُ

Sunday, September 15, 2013

Melangkah Keluar Dari Kegagalan Menuju Kejayaan

Setiap insan pernah mengalami apa yang kebanyakan kita kenali sebagai "kegagalan". Setidak-tidaknya merasakan wujudnya suatu masalah yang menghambat kelancaran pada perancangan. Pada ketika ini mungkin saja ada di kalangan kita yang masih merasakan kesan kegagalan itu atau belum dapat mengatasi masalah yang mengganggu perasaan. 

Jika demikian adanya maka dengan penuh rasa rendah diri saya mengajak diri ini dan anda untuk meyakini bahawa kegagalan atau masalah adalah merupakan ujian yang diturunkan oleh Allah SWT kepada para hambaNya yang dikasihiNya, sekaligus sebagai "undangan" untuk kembali mendekatkan diri kepadaNya. Mudah-mudahan kelak kita kembali ke hadhratNya lalu disambut dengan kata-kata seperti firmanNya:

 .يَـٰٓأَيَّتُهَا ٱلنَّفْسُ ٱلْمُطْمَئِنَّةُ . ٱرْجِعِىٓ إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّة.
 .فَٱدْخُلِى فِى عِبَـٰدِى . وَٱدْخُلِى جَنَّتِى

Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas dan diredhaiNya.
Maka masuklah dalam jemaah para hambaku.  Dan masuklah ke dalam SyurgaKu. (Al Fajr: 27-30)

Sayugia hendaknya kita beringat bahawa ujian itu boleh saja datang dalam pelbagai rupa dan bentuk. Ia boleh saja berupa kesenangan dan keadaan-keadaan duniawi yang disukai manusia. Ia juga boleh berupa kesukaran, kedukaan, kesengsaraan dan lain-lain.

Kegagalan

Kegagalan umat manusia ialah apabila ia diuji dengan kesenangan maka dia lupa bahawa yang demikian itu adalah ujian dari Allah kepadanya. Keangkuhan meresap lalu bertapak dalam jiwanya yang meyakini bahawa dirinya lebih baik atau lebih mulia. Akhirnya dia memandang rendah kepada orang lain. Paling malang apabila dia mula menyangka bahawa semua kesenangan yang dikecapinya itu adalah atas hasil usahanya sendiri, dan lupa bahawa ia merupakan ujian dari Allah SWT sebagaimana firmanNya:

فَأَمَّا ٱلْإِنسَـٰنُ إِذَا مَا ٱبْتَلَىٰهُ رَبُّهُۥ فَأَكْرَمَهُۥ وَنَعَّمَهُۥ فَيَقُولُ رَبِّىٓ أَكْرَمَن .
  . وَأَمَّآ إِذَا مَا ٱبْتَلَىٰهُ فَقَدَرَ عَلَيْهِ رِزْقَهُۥ فَيَقُولُ رَبِّىٓ أَهَـٰنَن

Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakanNya dan diberiNya kesenangan, maka dia akan berkata: "Tuhanku telah memuliakanku." Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rizkinya maka dia berkata: "Tuhanku menghinakanku". (Al Fajr: 15-16)

Kegagalan juga berlaku pada manusia yang diuji dengan kesukaran atau kesengsaraan lalu tidak meyakini Allah sedang mengujinya dengan keadaannya itu, dan bahawasanya jika dia mengharungi dugaan itu dengan penuh rendah diri dan teguh keimanan, maka sesuatu yang lebih baik disediakan baginya oleh Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. 

Kejayaan

Berjayalah seseorang itu apabila dia mengecapi kesenangan lalu mensyukurinya dan beringat bahawa yang demikian itu tidak lain dan tidak bukan melainkan ujian dari Allah semata-mata. 

Tatkala dia diuji dengan kesenangan berupa kekayaan maka dia bersifat pemurah, bukan bakhil. 

Apabila dia diuji dengan kesenangan berupa kesihatan tubuh badan maka dipergunakannya untuk berusaha mencari rezeki halal dan usaha-usaha menuju keredhaan Ilahi. 

Dia diuji dengan kesenangan berupa kelapangan maka dipergunakannya masa itu untuk berbuat kebaikan, bukan melakukan perkara-perkara yang melalaikan. 

Dia diuji dengan kesenangan berupa minda cergas, dipergunakannya untuk menuntut ilmu bagi manfaat diri, keluarga, negara dan ummat manusia seluruhnya, dan dielaknya daripada menuntut ilmu yang memudharatkan atau membuat manusia menyimpang dari jalan Allah.

Berjayalah seseorang hamba Allah apabila dia menghadapi dugaan atau kesukaran lalu dia bersabar dan menginsafi bahawa yang demikian adalah ujian dari Allah semata-mata, iman dan ketaqwaannyapun tidak goyah. Dia tetap yakin bahawa kendatipun semua itu, Allah Maha Pemurah dan Maha Mengasihi, dan disebalik dugaan hidup yang dialaminya, ada kesenangan dan kebahagiaan menantinya di dunia fana lebih-lebih lagi di akhirat yang kekal abadi.

Tatkala dia diuji dengan kesukaran berupa kekurangan hartabenda maka dia bersyukur dengan apa yang ada lalu terus berusaha mencari rezeki yang halal tanpa meminta-minta dan tanpa dukcita.

Apabila dia diuji dengan kesukaran berupa penyakit maka dia bersabar dan dengan penuh tawakkal terus berusaha mencari ubat atau penawar tanpa keluh kesah atau putus asa. Tatkala penyakitnya itu semakin melemahkan jasmani dia tetap tenang dan redha.

Dia diuji dengan kesukaran berupa kesibukan maka didahulukannya untuk melaksanakan kewajipan-kewajipan terhadap Allah dan RasulNya kemudian yang lain-lain mengikut urutan sebagaimana yang disyariatkanNya.

Sebagai pelajar dia diuji dengan kesukaran berupa kegagalan dalam peperiksaan atau memperoleh keputusan yang kurang memuaskan, dia tidak berputus asa dan terus mencuba. Tatkala percubaan demi percubaan tidak berhasil, dia mencuba pula bidang lain dan percaya bahawa rezeki yang disediakan oleh Allah baginya ada pada bidang lain.

Demikian beberapa contoh untuk renungan kita bersama. Semoga bermanfaat. Yang baik dan benar datangnya dari Allah jua manakala kesilapan dan kelemahan datangnya dari diri ini, yang dengan itu saya mohon keampunan dari Yang Maha Pengampun.

WALLAHU 'ALAM BISSAWAB.

Tuesday, September 3, 2013

Matlamat Hidup dan Aktiviti Harian

Di celah kesibukan harian dalam usaha memenuhi "keperluan hidup" amat jarang manusia berhenti sejenak untuk memikirkan ke mana usahanya itu akan kelak membawanya. Lebih malang lagi apabila usahanya itu, tanpa disedari, semakin mengheretnya jauh dari tujuan asal.



Pada amnya tujuan seorang lelaki yang telah berumahtangga bekerja atau menjalankan perusahaan adalah untuk mencari nafkah bagi anak dan isterinya. Harapannya dengan rezeki yang diperoleh itu rumahtangganya akan hidup sentosa, sejahtera dan ... yang paling penting - aman dan bahagia.

Dua, tiga atau beberapa tahun selepas mula bekerja atau menjalankan perusahaan, hidupnya bersama keluarga benar-benar aman dan bahagia. Kepercayaan timbul dalam hatinya, bahawa kebahagiaan itu disebabkan rezeki yang diperoleh dari usahanya. Dia mula merasakan adanya hubungan langsung antara rezeki atau harta dengan kebahagiaan. Keyakinan mula bertakhta di hatinya bahawa semakin banyak yang dimiliki seseorang itu maka semakin bahagialah diri dan keluarganya. 

Maka dia mula mencari jalan untuk mendapatkan lebih banyak lagi. Pada tahap itu tanpa disedarinya, matlamat yang asalnya adalah keamanan dan kebahagiaan telah berubah kepada mengumpul kekayaan hartabenda ... "intan permata, wang berjuta" - kata lirik lagu penyamun dalam filem "Ali Baba Bujang Lapok".

Oleh kerana kebahagiaan bukan lagi menjadi matlamat, maka acapkali ia "dikorbankan" demi untuk mencapai matlamat baru itu. Faktor-faktor yang memberikan rasa kebahagiaan pada diri dan keluarga seperti makan dan solat berjemaah bersama, membawa anak-anak bersiar-siar pada hujung minggu dan sebagainya, tidak lagi tercatit dalam diari aktivitinya. Kerana selalu sibuk, dia cuma sempat makan di warung atau restoran, solat bersendirian - malah adakalanya terlepas waktu dan hujung minggu dihabiskan bersama pelanggan atau urusan kerja semata-mata.

Demikian pula halnya dengan seorang wanita yang telah bergelar isteri dan ibu. Dia menceburi bidang pekerjaan atau memulakan suatu usaha dengan tujuan untuk membantu suami mencari nafkah bagi memenuhi keperluan hidup. Matlamatnya sama ... semoga dengan rezeki tambahan yang diperoleh, kehidupannya sekeluarga akan lebih sentosa dan bahagia. 

Hari berlalu tahun berganti, usahanya semakin maju. Pendapatannyapun semakin lumayan, malah melebihi pendapatan suaminya. Faktor-faktor yang memberikan rasa kebahagiaan pada diri dan keluarga seperti memasak untuk hidangan keluarga, menyambut kepulangan suami dari tempat kerja dan anak-anak pulang dari sekolah, serta lain-lain tanggungjawab seorang suri rumahtangga sudah lenyap dari agenda hariannya. Oleh kerana dia mampu dari segi kewangan, dia mengupah orang lain untuk melaksanakan semua itu. 

Oleh kerana yakin pada diri bahawa tanggungjawabnya kepada suami dan anak-anak telahpun tertunai dengan mengupah pembantu rumah wanita itu kini lebih banyak menghabiskan masa bersama rakan-rakan atau kumpulan niaga yang dianggotainya. Kadangkala ada wanita yang sampai pada tahap tertentu merasakan bahawa usahanya itu lebih penting dari pekerjaan usaha suaminya dan pendapat rakan-rakan atau ketua kumpulan niaga yang dianggotainya lebih penting daripada pandangan suami atau keluarganya.

Begitu contoh dua kehidupan, seorang lelaki dan seorang wanita yang aktiviti harian mereka menyebabkan kedua-duanya menyimpang dari matlamat asal. Yang demikian terjadi disebabkan kesibukan harian sehingga lupa untuk berhenti sejenak merenung kembali akan matlamat asal mengapa mereka melakukan pada mulanya apa yang mereka sedang sibuk lakukan.

Apabila seorang Muslim konsisten pada matlamat hidup yang telah digariskan oleh Allah SWT dalam surah Az-Zariyat ayat 56:

“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku”..
insya Allah dia tidak akan mudah terpengaruh oleh alam sekeliling. Sikap konsisten pada matlamat agung itu akan menjadi pemandu arah kepada semua aktiviti harian yang dilakukan. Sehubungan dengan itu maka maksud ibadah hendaklah dimengerti secara meluas serta dijiwai sedalam-dalamnya seterusnya diamalkan sepanjang masa. Pengertian ibadah telah banyak ditulis oleh para alim ulama serta banyak pula yang boleh diperoleh dari internet. Sebagai panduan asas, saya dapati artikel "pengertian ibadah" dari laman IslamGRID amat bermanfaat dan mudah difahami. 

Berdasarkan takrif ibadah dari pelbagai sumber ternyata setiap saat dalam kehidupan ini dan pada setiap denyutan nadi seorang Muslim boleh berada dalam keadaan beribadah. Mudah-mudahan saya dan anda termasuk dalam golongan itu . . .