Thursday, June 24, 2010

Jaringan Defoe Melayakkan England Ke Pusingan 16-Pasukan

Gol tunggal jaringan Jermain Defoe pada minit ke-13 ternyata sudah mencukupi untuk membolehkan England meneruskan perjuangan ke Pusingan 16-Pasukan seterusnya menyingkirkan pasukan Slovenia. Menyertai England dalam kumpulan C ialah Amerika Syarikat selepas mengalahkan Algeria 1-0.
Berikut ialah babak-babak yang membawa kepada jaringan Defoe.



Monday, June 21, 2010

Bola Meniti di Belakang Cristiano Ronaldo

Portugal menang bergaya dengan membenam Korea Utara 7-0 dalam perlawanan kumpulan G   pada 21 Jun. 
Gol jaringan oleh Cristiano Ronaldo pada minit ke 87 (gol ke-6 perlawanan) juga cukup menghiburkan.
Bola melantun dari lutut penjaga gol Korea Utara, Ri Myong Guk ke belakang Cristiano Ronaldo meniti ke kepala lalu jatuh di hadapan tepat pada kedudukan yang mudah bagi Ronaldo untuk merembat gol ke gawang Korea Utara.




Tujuh jaringan oleh pasukan portugal dalam perlawanan tersebut dilakukan oleh:
  • Raul Meireles - minit ke-29
  • Simao - minit ke-53
  • Hugo Almeida - minit ke-56
  • Tiago - minit ke-60
  • Liedson - minit ke-81
  • Cristiano Ronaldo - minit ke-87
  • Tiago - minit ke-89

Saturday, June 19, 2010

TOKEK: REPTILIA PALING POPULAR MASA KINI

Akhir-akhir ini gelombang populariti sejenis reptilia bergelar tokek turut di rasa di Daerah Kunak ini, terutama di kalangan anak-anak muda. Ramai yang menjadikan memburu dan menjual tokek sebagai mata pencarian.
Harga tokek dikatakan mencecah sehingga RM 1 juta sekilogram dan hanya tokek seberat tidak kurang 200 gm yang ada nilai di pasaran.



Enzim yang dihasilkan oleh tokek dikatakan boleh digunakan untuk merawat penyakit AIDS. Namun begitu, belum ada kajian klinikal atau dokumentasi sah sejauh mana kebenaran dakwaan itu.
Dikatakan bahawa seekor tokek seberat 64 kilogram (klik untuk maklumat lanjut) pernah ditemui di Kalabakan, Tawau dan telah dijual dengan harag RM 64juta kepada seorang pembeli yang mengekspotnya ke negeri Cina.
Nama saintifik tokek ialah Gekko gecko. Ia termasuk dalam kelas haiwan reptilia dan suborder Sauria, iaitu semua jenis reptilia bersisik kecuali ular.
Menurut rekod sains, tokek jantan boleh mencapai saiz antara 30 hingga 40 sentimeter manakala tokek betina pula antara 20 hingga 30 sentimeter. 
Berat tokek dewasa ialaha antara 150 hingga 300 gm. Jika benar tokek seberat 64 kg ditemui di Kalabakan, maka ia adalah sesuatu yang amat luar biasa.
Kulit tokek berwarna kebiru-biruan atau agak kelabu dengan bintil-bintil kuning, oren, cokelat atau merah tua.   Matanya berwarna cokelat atau cokelat-kehiajuan dengan anak mata tegak memanjang.
Apabila seekor tokek jantan mendiami sesuatu kawasan, ia akan mempertahankannya daripada dimasuki oleh tokek jantan lain atau apa jua jenis haiwan. Ia suka hidup bersendirian dan hanya akan berhubung dengan tokek betina pada musim mengawan. Makanan tokek yang utama ialah serangga dan haiwan-haiwan vertebrata kecil.
Umur tokek biasanya mencapai antara 7 hingga 10 tahun, namun terdapat tokek peliharaan yang menjangkau usia sehingga 18 tahun.
Suara tokek amat nyaring. Bunyi yang biasa didengar adalah bunyi untuk memanggil pasangan seakan berbunyi "TOKEH" atau "GEHKO". Dari bunyi itulah nama biasa dan nama saintifik reptilia ini diberikan, yang disadur dari istilah Bahasa Melayu, Sunda, Tagalog atau Jawa.
Dengar dan saksikan bagaimana tokek berbunyi pada klip video ini:




Thursday, June 17, 2010

Jaringan Pertama Higuain dari Kedudukan "OFFSIDE"?

Piala Dunia 2010, 17 June 2010: Argentina lwn Korea Selatan: 4 - 1
Jaringan ke gawang sendiri oleh Park Chu Young (KOR) pada minit ke 17 perlawan memberikan kemenangan awal kepada Argentina. Korea Selatan terdesak. Enambelas minit kemudian, Gonzalo Higuain menjaringkan gol kedua untuk Argentina.
Namun, dari "foto frame" rekaman video perlawanan tersebut, Higuain berada dalam kedudukan "offside" sejurus sebelum melakukan tandukan yang menjaringkan gol kedua tersebut.












Tuesday, June 15, 2010

GERAI SIMPANG EMPAT KUNAK

Deretan gerai berhampiran bulatan Simpang Empat Kunak merupakan tempat persinggahan utama bagi pengguna jalanraya yang melalui Daerah Kunak samada dari Tawau dan Semporna untuk ke daerah-daerah lain mahupun sebaliknya. Mereka biasanya singgah membeli minuman ringan, buah-buahan, kerepek, kuih-muih dan lain-lain makanan ringan sebelum meneruskan perjalanan.


Namun begitu, gerai yang dibina sendiri oleh pengusaha ini adalah sangat daif dan langsung tidak sesuai dengan peranannya sebagai 'tumpuan pandangan pertama' (first impression) bagi orang luar, tentang Kunak. Sebahagian besar gerai-gerai berkenaan dibina menggunakan papan atau kayu buangan dengan bumbung daripada zink terpakai. Disamping itu kedudukan gerai yang terlalu dekat dengan jalanraya boleh membahayakan peniaga, pelanggan dan juga pengguna jalanraya.




Usaha untuk membina gerai yang lebih baik dan dengan kedudukan lebih selamat sememangnya pernah dicadang oleh ADUN Kunak, Datuk Nilwan Kabang termasuk di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah. Cadangan awal ialah untuk berunding dengan pemilik sebidang tanah yang terdapat di belakang gerai tersebut untuk mendapatakan tapak bagi pembinaan kompleks gerai bertingkat lengkap dengan stesen bas dan tempat letak kereta. Malangnya, pemilik tanah tersebut tidak dapat dihubungi.
Sementara itu, bilangan peniaga serta pengunjung gerai semakin bertambah. Bilangan kenderaan yang singgah di tepi jalan turut bertambah dan keadaan keselamatan semakin terancam. Sesuatu perlu dilakukan segera sebelum kemalangan dahsyat berlaku.
Menyedari keadaan itu Datuk Nilwan yang ditemani Encik Susilo Sumarto (Pegawai Daerah Kunak), Encik Rajih (Penolong Pemungut Hasil Tanah), Tuan Haji Hassan (JKR) dan beberapa orang pegawai kerajaan telah melawat ke kawasan gerai tersebut bagi meninjau alternatif untuk membolehkan peniaga meneruskan usaha dengan gerai yang lebih baik dan dalam keadaan lebih selamat.





Dalam tinjauan itu, sebuah batu penanda sempadan ditemui dipercayai sebagai sempadan antara rizab jalan dengan ladang kelapa sawit yang terdapat di belakang gerai. Jika benar, bermakna gerai boleh diundurkan dalam lingkungan 15 hingga 20 kaki ke belakang. Lorong hentian kenderaan kemudian boleh diperluaskan di hadapan gerai. 




Datuk Nilwan meminta pihak Jabatan Tanah dan Ukur untuk segera melaksanakan kerja-kerja memastikan kedudukan sebenar sempadan berkenaan dan memasang pancang. Pihak Pejabat Daerah seterusnya diminta menyusul dengan perancangan dan pelaksanaan pembinaan gerai baru.
Para peniaga di Gerai Simpang Empat yang sempat kami temui menunjukkan rasa gembira dan merasa terharu atas keprihatinan Datuk Nilwan dan rombongan yang bersungguh-sungguh berusaha membela nasib mereka dan seterusnya menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk meneruskan perniagaan.
"Berniaga di gerai inilah satu-satunya punca pendapatan saya sebab suami saya sudah tidak bekerja lagi kerana sudah melebihi umur persaraan", kata seorang peniaga. "Hendak bertanipun, kami tidak memiliki tanah".
Seorang peniaga lain pula memberitahu bahawa selama ini beliau amat bimbang jika pihak berkuasa tempatan akan mengambil tindakan merobohkan deretan gerai tersebut. Beliau merasa amat lega dan bersyukur setelah mendengar sendiri perbincangan Datuk Nilwan dengan Encik Susilo serta pegawai-pegawai kerajaan yang turut serta bagi membina gerai lebih baik dan selesa di kawasan tersebut.

Saturday, June 12, 2010

YANG COMEL-MANJA DAN YANG CANTIK-MANIS

Gaya dan gelagat kanak-kanak yang memperagakan pakaian tradisi kaum Murut mencuit hati para hadirin dalam acara sambutan Pesta Kaamatan peringkat Kampung Lormalong, Kunak. Pesta anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Lormalong (JKKK) itu diadalakan di mini dewan Kg Lormalong pada Sabtu, 12 Jun 2010 bermula jam 10:00 pagi. 
Seramai sembilan orang kanak-kanak dari kalangan penduduk kampung itu mengambil bahagian dalam acara tersebut.


Dalam ucapan alu-aluannya, pengerusi pelaksana Encik Raphael menggelar pesta tersebut sebagai Pesta Perpaduan Kaum.
"Saya menamakannya sebagai Pesta Perpaduan Kaum kerana walaupun penduduk dari keturunan Murut hanya 30 peratus dari jumlah penduduk keseluruhan kampung, namun kerja-kerja persiapan dan pelaksanaan pesta ini telah dilakukab bersama-sama oleh semua penduduk kampung, tidak kira suku kaum mahupun agama", jelas Encik Raphael.
Dengan berseloroh Raphael menambah, "Lebih 40 tahun dahulu kaum Murut menuai padi di bukit manakala kaum Bajau menuai padi di bendang, tetapi kini kami bersama-sama menuai, tidak kira di bukit mahupun di lurah, tapi kali ini bukan menuai padi tetapi menuai kelapa sawit".
ADUN Kunak, Datuk Nilwan Kabang, yang merasmikan pesta tersebut memuji kesungguhan dan cara pelaksanaan sambutan pesta kaaamatan itu yang menitikberatkan soal perpaduan kaum. Beliau amat berbesar hati melihat kehadiran yang begitu ramai dari semua keturunan suku kaum yang terdapat di Kg Lormalong, bersama-sama sibuk mengatur pelaksanaan program-program yang telah diatur.


"Kerjasama dan perpaduan seumpama inilah yang akan menjadi pemangkin kepada kejayaan gagasan 1Malaysia", kata Datuk Nilwan.
Dalam majlis itu, Datuk Nilwan telah memperuntukkan sejumlah RM 5000 untuk kerja-kerja mengecat dan menambahbaik kemudahan di Mini Dewan Kg Lormalong.
Selain pertandingan Unduk Ngadau peringkat kanak-kanak, pertandingan Unduk Ngadau peringkat remaja dan juga pertandingan menyanyi lagu-lagu KDM. Acara-acara pertandingan itu diselang-seli pula dengan persembahan tarian bambu, igal-igal dan juga sumazau.

Pemenang pertandingan Unduk Ngadau Peringkat Kanak-Kanak ialah Nabila Idris (johan), Jirah Aziz (naib johan) dan Ain Alice (ketiga). Bagi kategori remaja pula pemenangnya ialah Azirah Lubis (johan), Fazirah Yaakub (naib johan) dan Fitriadi Junaidi (ketiga).



Friday, June 11, 2010

RAFFLESIA BUNGA BANGKAI

Penduduk tempatan menamakan bunga terbesar di dunia sebagai bunga bangkai kerana ia berbau seperti bangkai. Kini ia lebih dikenali sebagai Bunga Rafflesia sempena nama seorang pengembara yang juga pengasas koloni British di Singapura iaitu Sir Stamford Raffles. 
Nama beliau diabadikan bersama tumbuhan berkenaan kerana beliaulah yang mengetuai ekspedisi hutan di Sumatera yang menemui dan buat pertama kalinya merekodkan genus tersebut pada tahun 1818. Bersama Raffles ialah Dr Joseph Arnold seorang doktor bedah dari angkatan tentera laut, lalu spesis yang terbesar diberi nama Rafflesia arnoldii, sempena nama mereka berdua. Bunga R. arnoldii boleh mencapai diameter sehingga 100 sentimeter dengan berat sehingga 10 kilogram.


.Rafflesia tidak mempunyai daun, batang, mahupun akar. Ia merupakan tumbuhan parasit dengan haustoria seakan bebenang yang menyusup dalam batang pokok menjalar dari genus Tetrastigma (Yunani: Tetra = empat; stigma = bahagian bunga yang menerima debunga). Dalam keadaan ini ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar. 


Kewujudan Rafflesia dalam hutan hanya dapat diketahui apabila ia mula mengeluarkan putik bunga berwarna cokelat kemerahan dengan saiz sebesar kubis. Selalunya putik bunga itu tumbuh dari batang Tetrastigma yang menjalar dalam tanah walau kadang-kadang terdapat juga putik tumbuh pada batang yang berada di atas paras tanah.


Selepas 9 bulan, putik akan mekar menjadi bunga besar dengan lima kelopak bunga berwarna cokelat kemerahan dengan tompok-tompok putih menjadikan ia seakan-akan ketulan daging.



Dengan saiznya yang begitu besar ia tentunya juaga mengeluarkan banyak sari. Bau sari itu yang seakan-akan bau bangkai beserta dengan warnanya seakan-akan daging menarik perhatian lalat dan serangga lain. Peralihan lalat dan serangga itu dari satu bunga ke bunga lain menghasilkan pendebungaan bagi Rafflesia.
Bunga Rafflesia tidak bertahan lama. Selepas 3 atau 4 hari ia akan layu menjadi sisa-sisa berlendir dan meninggalkan buah bersaiz lebihkurang 15 sentimeter yang mengandungi ribuan biji kecil.
Sebanyak 27 spesis Rafflesia dikenali tumbuh semulajadi di kawasan hutan dengan ketinggian antara 500 hingga 700 meter di Semenanjung Malaysia, Borneo, Sumatera dan Filipina.