Saturday, July 16, 2011

Antara Balat dan Alunan Lagu

Mentari sudah semakin lesu. Yang hampir ketinggalan Asar gelisah bergegas menuju musollah. Wangian Maghrib menghembus salam.

“Ada tiga buah rumah lagi yang perlu kita lawati”, kata Pengerusi JKKK Kampung Pangi Tengah.

“Teruskan”, jawabku sambil mempercepat langkah untuk mengikuti YB Datuk Nilwan dan beberapa rakan kami yang sudah agak jauh di hadapan. Titi kayu yang menghubungkan rumah ke rumah atas laut itu seakan menari mengikut irama derap langkah rombongan kami. Meragui kemampuan titi itu, aku kembali memperlahankan langkah.

“Cepat, bos!”, gesa pengerusi JKKK. “Datuk sudah menunggu tu”

“Iyalah…iyalah”, sahutku namun tetap dengan langkah berhati-hati. Tiba-tiba aku terdengar suara merdu dari celah-celah rumah berdinding papan usang dan kepingan zink yang sudah berwarna cokelat kerana karat. Aku menghentikan langkah, seperti ada sesuatu menyapa jiwa yang amat sukar untuk ditafsir.

Gamat atau Balat (nama tempatan) direbus sebelum dijemur

Penduduk mengadu permasalahan kehidupan harian mereka
kepada Datuk Nilwan
Antara keperitan hidup seharian dan harapan masa hadapan melalui perusahaan balat (gamat) dan rumpailaut, mereka masih mampu mendendangkan lagu. 

Belia Diminta Tubuhkan Pasukan Futsal Daerah Kunak

Kunak, 16 Julai 2011 – Hari ini, sebanyak 20 pasukan yang terdiri daripada belia-belia berusia 30 tahun ke bawah menyertai kejohanan futsal peringkat Daerah Kunak yang berlangsung di gelanggang Futsal Kampung Getah, Kunak.

Dalam ucapan perasmian kejohanan itu ADUN Kunak, YB Datuk Nilwan Kabang menasihatkan para pemain agar menggunakan kesempatan itu bukan sekadar untuk memburu kemenangan dalam pertandingan tetapi juga untuk mengukuhkan perpaduan antara pemain-pemain semua pasukan.






Datuk Nilwan juga meminta penganjur agar memilih dari kalangan pemain-pemain 20 pasukan itu untuk membentuk satu pasukan yang boleh diketengahkan sebagai Pasukan Futsal Daerah Kunak dalam kejohanan-kejohanan antara Daerah.
Kejohanan dianjurkan oleh kumpulan belia yang diketuai oleh Encik Hamid Bin Harun dan Encik Anil Ajeet Singh.

Thursday, July 14, 2011

Penduduk Pangi Terharu Dengan Lawatan Tiba-Tiba

Kunak, 14 Julai 2011 - Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah Kawasan N51 Kunak, Yang Berhormat Datuk Nilwan Kabang hari ini melawat ke beberapa buah kampung di Mukim Pangi untuk meninjau keadaan perumahan penduduk. Kampung-kampung yang dilawati adalah Kg Pangi Hujung, Kampung Pangi Tengah dan Kampung Hampilan.

Dalam lawatan bermula pukul 10:30 pagi sehingga pukul 5:00 petang itu, Datuk Nilwan telah melawat dan mengenalpasti 31 buah rumah penduduk yang memerlukan bantuan segera untuk pembaikan. Keutamaan diberikan kepada pengagihan zink untuk mengganti bumbung yang bocor.

Seorang warga emas terharu dengan lawatan Datuk Nilwan ke rumahnya yang tidak
disangka-sangka dan terus mendakap pemimpin kesayangannya itu.
Keluarga yang dilawati keseluruhannya menyambut ketibaan Datuk Nilwan yang tidak disangka-sangka itu dengan penuh mesra serta menyatakan rasa kesyukuran dan berterimakasih kepada pihak kerajaan atas perhatian yang diberikan kepada mereka. 

Bumbung rumah beratap nipah ini antara yang dicadangkan untuk diganti
dengan bumbung zink
Sebelum melakukan lawatan ke kampung itu, Datuk Nilwan yang baru tiba di Kunak pada pukul 9:00 pagi (dari Kota Kinabalu) sempat memanggil Pegawai Jabatan Air Kunak, Encik Jefri Eki, untuk penjelasan mengenai beberapa masalah ketidaksempurnaan sistem bekalan air yang sedang dihadapi oleh penduduk daerah ini. Perkara ini sedang hangat dibincangkan oleh penduduk Kunak melalui laman sesawang sosial facebook terutama dalam “Orang Kunak” facebook (OKfb).

Berikutan masalah bekalan air paip, penduduk Kg Dasar Baru ini
menggunakan air dari perigi ini untuk kegunaan harian
Terdahulu, Pembantu Pembangunan Masyarakat dari pejabat Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) Kawasan N51 Kunak telah meninjau aduan penduduk mengenai masalah bekalan air di Kampung Dasar Baru, bersama-sama dengan beberapa pengunjung aktif OKfb, termasuk seorang wartawan akhbar harian Daily Express, Encik Ibrahim Tabir. Beliau dan Encik Ibrahim kemudian menyertai perbincangan dan melaporkan hasil tinjaun berkenaan.

Wartawan Daily Express mendengar aduan penduduk Kg Dasar Baru
dengan diperhatikan oleh beberapa orang pengunjung aktif OKfb
Dalam perbincangan tersebut Encik Jefri telah memberikan penjelasan yang agak terperinci mengenai beberapa faktor yang menyebabkan ketidaksempurnaan sistem pada masa kini dan langkah-langkah yang sedang dalam peringkat perlaksanaan untuk memperbaikinya. Datuk Nilwan meminta Encik Ibrahim melaporkan dalam akhbar harian yang diwakilinya sebagaimana yang didengarnya sendiri dari Encik Jefri.

Sebahagian dari rombongan YB ADUN Kunak dalam lawatan ke Pangi
Turut hadir ialah Ketua Daerah Kunak Panglima Hussin Hj Ombit, Pegawai Kesihatan Kunak Encik Dolar Yakim, Pegawai Kemajuan Rakyat Puan Hjh Maimunah Datuk Hj Zainal, kakitangan UPKR Kunak dan beberapa orang ketua kampung dan pengerusi JKKK Daerah Kunak.

Tunggu laporan mengenainya oleh Ibrahim Tabir melalui akhbar harian Daily Express.

Monday, July 4, 2011

Jemputan Perhimpunan BERSIH Disambut Dingin oleh Komuniti "Cyber"




Dari respon "jemputan" event facebook "Himpunan Bersih":http://www.facebook.com/event.php?eid=157151477684559:
(sehingga 10:00 malam 4 Julai 2011)
Jumlah jemputan : 39,844
Akan hadir : 8,735 (21.92%)
Mungkin Hadir : 4,056 (10.18%)
Tidak Akan Hadir : 13,536 (33.97%)
Tiada Jawapan : 13,517 (33.92%)

Pandangan saya mengenai pendirian jemputan
#1. Akan hadir : Penyokong cadangan
#2. Mungkin hadir : Bersimpati dengan penganjur, tetapi masih meragui "benefit" cara tindakan.
#3. Tidak akan hadir: Tidak bersetuju dengan yang diperjuangkan dan/atau cara tindakan.
#4. Tiada Jawapan : Tidak berminat dengan perkara-perkara sedemikian. Masa, tenaga dan sumber (resource) lebih baik disalurkan kepada perkara-perkara lain.

Kesimpulan
Hanya 1/5 daripada komuniti cyber yg benar-benar merestui cadangan perhimpunan tsb. Lebih ramai yang kuat menentang.

Pada dasarnya, "demokrasi" adalah pelaksanaan kehendak majoriti, dan membelakangi atau melanggar kehendak majoriti adalah "anti-demokrasi".

Berdasarkan statistik di atas, jelas, jika perhimpunan yg diberi nama "BERSIH" diteruskan juga pada 9 Julai ini, ia adalah suatu tindakan "anti-demokrasi".

Saturday, July 2, 2011

KUNAK BUMI LELUHUR - Episod 1: Dari Ethiopia ke Tingkayu


Batu lahar berongga boleh ditemui di mana-mana di Daerah Kunak, sebuah daerah yang terletak di pantai timur Sabah. Penduduk daerah ini pada amnya tahu hubungan batu-batan ini dengan kesuburan tanah pertanian yang mereka usahakan, ada segelintir yang tahu asal usulnya, namun amat sedikit yang menyedari hubungan eratnya dengan sejarah penjelajahan dan kependudukan umata manusia di bumi nusantara.

Kira-kira 30,000 tahun dahulu, gunung yang kini dekenali sebagai Gunung Mostyn, telah meletup dan memuntahkan lahar ke segenap penjuru meliputi keseluruhan kawasan Daerah Kunak dan sekitarnya. Kesan dan fenomena aktiviti magma yang mengalir di bawah bumi Daerah Kunak dapat dilihat pada terowong kartz di Mostyn, kolam air panas di Sungang, Kolam Air Masin di puncak bukit di Tingkayu dan Kolam Lumpur di Binuang.
Lahar dari Gunung Mostyn yang mengalir ke barat daya telah menutupi laluan sebatang sungai, iaitu Sungai Tingkayu. Air sungai melimpah membanjiri kawasan pamah di sekitarnya. Maka terbentuklah sebuah tasik dengan anggaran keluasan 100 kilometer persegi. Di tepi tasik flora tumbuh subur. Ia menjadi padang ragut bagi haiwan-haiwan herbivor yang menarik pula haiwan-haiwan karnivor datang mencari mangsa. Pelbagai spesis ikan air tawar membiak dengan banyaknya.
Pada 150,000 tahun SM sekumpulan manusia zaman purba meninggalkan tanah kelahiran umat manusia di Afrika dengan menyeberang selat ke Yaman. 

Dari sana keturunan mereka berpecah haluan, generai demi generasi, menuju ke segenap penjuru bumi yang mudah mereka lalui. Selepas lebihkurang 120,000 tahun, iaitu sekitar 28,000 tahun SM, sekumpulan umat manusia, yang dianggarkan sebagai generasi ke 3,000 tiba di tepi Tasik Tingkayu. 

Melihat kekayaan sumber semulajadi di kawasan itu yang boleh menampung kehidupan, maka mereka mengambil keputusan untuk mendirikan penempatan di sekitar tasik ini.

Wednesday, May 11, 2011

Minum Kopi Kurangkan Risiko Barah Payudara, Kata Penyelidik

Hasil kajian yang diterbitkan dalam Jernal Breast Cancer Research pada 10 Mei 2011 menunjukkan bahawa wanita penggemar kopi bukan sahaja dapat menikmati minuman kegemaran mereka itu, malah minuman itu membantu mereka mengurangkan risiko untuk mengalami barah payudara.



Para pengkaji di Sweden itu mendapati bahawa peminat kopi di kalangan wanita  jarang menghidap barah payudara berbanding mereka yang kurang meminumnya. Walau bagaimanapun mereka juga mendapati beberapa faktor gayahidup lain turut mempengaruhi kadar berlakunya barah tersebut, termasuklah umur ketika mula mengalami menopos, senaman, berat badan, pendidikan dan sejarah insiden barah payudara dalam keluarga.

Setelah data diubahsuai dengan mengaitkan faktor-faktor tersebut mereka dapati kesan perlindungan kopi ke atas barah payudara hanya boleh diukur pada jenis ER-negatif.

Hasil kajian itu menunjukkan adanya persamaan dengan kajian yang dilakukan di Jerman.

Namun menurut laporan laman WebMD, Shumin Zhang, MD, ScD, seorang penyelidik di Harvard Medical School, mengingatkan yang hasil kajian itu kemungkinan besar merupakan suatu kebetulan semata-mata. Menurut beliau, mesej yang jelas dari kajian itu ialah: "Meminum kopi nampaknya tidak menyebabkan peningkatan risiko mengalami barah payudara."

Tuesday, May 3, 2011

Satu Lagi Gambar Wajah Jenazah Osama Bin Laden?

Gambar 1
Osama Bin Laden dilaporkan telah terbunuh dalam serangan pada 1 Mei yang dilakukan oleh tentera Amerika Syarikat di tempat persembunyiannya di Abbotabad, kira-kira 45 kilometer ke timur laut Islamabad, Pakistan.

Satu-satunya gambar wajah jenazah (sebelah kiri Gambar 2) pemimpin Al-Qaeda itu ialah yang disiarkan oleh televisyen Pakistan seperti di bawah ini:

GAMBAR disiarkan televisyen Pakistan menunjukkan  wajah Osama Bin Laden yang didakwa Amerika Syarikat berjaya dibunuh (kiri) berbanding gambar fail pemimpin Al-Qaeda itu. Bagaimanapun kesahihan gambar berkenaan masih dipertikaikan agensi berita antarabangsa berikutan gambar berkenaan berkedudukan sama. - Foto AFP
Gambar 2 - Foto AFP

Bagaimanapun kesahihan gambar berkenaan masih dipertikaikan agensi berita antarabangsa kerana kedudukan gambar jenazah tersebut sama dengan kedudukan gambar Osama yang diambil ketika sedang berucap.

"Superimpose" yang kami lakukan (Gambar 3 dan Gambar 4) menggunakan kedua-dua gambar dari AFP itu menunjukkan persamaan kedudukan yang tepat antara satu sama lain. Malah, bukaan bibir keduanya sama besar. 

Gambar 3

Gambar 4
Keraguan mengenai kesahihan kematian Osama semakin bertambah dengan laporan konon "jenazah Allahyarham" telah dikebumikan oleh pihak tentera Amerika Syarikat di laut. Dengan cara itu, tiada siapa yang dapat membuktikan bahawa jenazah itu benar-benar adalah jenazah Osama.

Oh ya, Gambar 1 adalah "percubaan" kami untuk menunjukkan bagaimana mudahnya mereka-reka wajah jenazah (kiri) menggunakan gambar sedia ada (kanan). Kami melakukannya dalam masa kurang dari lima minit!