Sunday, February 28, 2010

RAMALAN GEMPABUMI TERSASAR DARI NEPAL KE CHILE

Beberapa minggu yang lepas pakar-pakar seismologi meramalkan bahawa selepas Haiti,  gempabumi dengan magnitud besar yang berikutnya akan melanda Kathmandu dalam tempoh terdekat. Gempabumi besar berukuran magnitud 8.8 benar-benar terjadi tetapi bukan di Kathmandu. 

Kejadian yang setakat ini telah mengorbankan lebih 120 orang itu, berlaku di Chile pada Sabtu 27 Februari pada 3:34 pagi waktu setempat, ketika kebanyakan penduduk sedang tidur nyenyak. Angka kematian dilaporkan terus meningkat.

Pusat gegaran ialah di luar pantai Maule, lebihkurang 200 batu ke barat daya Santiago dan hanya 70 batu dari Concepcion, bandar kedua terbesar Chile, dengan penduduk melebihi 200,000. Di bandar itu, banyak rumah kediaman dan jembatan telah runtuh, bangunan terbakar, dan kenderaan menjunam ke rekahan besar yang terbentuk berikutan gempabumi itu.


Ramai kalangan penduduk yang cedera bergelimpangan di jalan dan dalam kekalutan itu ada pula yang mengambil kesempatan menceroboh farmasi dan lain-lain premis perniagaan untuk mencuri. 

Sistem komunikasi di pekan itu telah terjejas menyebabkan sukar untuk membuat penaksiran keadaan malapetaka di kawasan tersebut.


Gegaran dahsyat itu telah menghasilkan tsunami setinggi 7.7 kaki terhempas ke pekan Talcahuano.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik melaporkan 10 pekan pesisiran pantai turut dilanda ombak besar. Amaran tsunami juga dikeluarkan di 53 buah negara lain termasuk Australia, New Zealand, Filipina dan pulau-pulau di Lautan Pasifik.

No comments: