Monday, November 30, 2009
FENOMENA TAHUN 2012 - APA AKAN BERLAKU DI MALAYSIA?
Sunday, November 29, 2009
SAMBUTAN HARI RAYA KORBAN DI KG SKIM COCOS
15 EKOR LEMBU UNTUK MAJLIS KORBAN BERKELOMPOK DAERAH KUNAK
Thursday, November 26, 2009
ASTEROID - PUNCA LETUPAN DI TELUK BONE
Wednesday, November 25, 2009
AKAUN BANK TIDAK AKTIF PUNCA KELAMBATAN PENYALURAN BANTUAN JABATAN KEBAJIKAN
Tuesday, November 24, 2009
MEMBANTU PETANI MENINGKATKAN PENDAPATAN
Sunday, November 22, 2009
LOJI JANAKUASA GUNA ARANG BATU TIDAK JEJAS ALAM SEKITAR
Thursday, November 19, 2009
REPLIKA UDANG - TIDAK SESUAI BAGI DAERAH KUNAK?
Replica udang di bulatan jalan Kunak-Semporna sedang dalam pembinaan
Semalam, sebaik keluar dari bilik ketibaan di lapangan terbang Tawau dari Kota Kinabalu, saya telah bertemu dengan seorang rakan lama yang sedang menanti tuntuk menaiki kapal terbang menuju Kuala Lumpur. Selepas memberi salam dan berjabat tangan, beliau bertanya, "Kenapa Udang?"
Kehairanan, saya bertanya balik, “Kenapa dengan udang?”
Sambil tersenyum, rakan saya itu, yang berasal dari Tawau menjelaskan, "Saya tertanya-tanya, kenapa orang Kunak meletakkan tiga replika udang besar di bulatan jalan Pelan Kunak? Saya ingat, di Kunak ni tentulah banyak udang. Jadi, sayapun pergilah ke pasar ikan di Pengkalan, konon mahu juga beli lima-enam kilo udang besar yang murah-murah!"
Kawan saya itu mula ketawa sinis.
"Kau tahu?", katanya sambil terbahak-bahak, dan dengan suara yang meninggi berkata, "seekor udangpun 'ndak ada, kawan!"
Kawan saya itu terus mengusik, dan agak menyentuh juga perasaan saya, "Kawan, oleh kerana kamu tiada udang di pasar, agaknya replika udang tu melambangkan peribahasa, Otak Udang atau Udang di Sebalik Batu, ye?"
Malu juga saya dibuatnya namun hanya dapat tersenyum sipu. Apa nak kata? Ada kebenaran pada kata-katanya itu. Tangkapan udang nelayan Kunak, tidak seberapa, malah tidak mencukupi untuk keperluan orang Kunak sendiri.
Dengan fikiran terganggu oleh kata-kata kawan saya yang agak pedas itu, saya menelefon Pemimpin Kemajuan Rakyat pagi tadi, bertanyakan kalau-kalau beliau boleh menjelaskan mengenainya. Beliau memberitahu bahawa baik beliau sendiri, mahupun Wakil Rakyat Kunak, Datuk Nilwan Kabang, tidak pernah dimaklumkan atau dirujuk dalam keputusan untuk membina replika tersebut.
Secara peribadi, saya lebih suka jika replika-replika berikut diletakkan di bulatan-bulatan jalan Daerah Kunak:
- Replika menunjukkan kegiatan pemburu-pemburu zaman purba yang berlaku di kawasan Tingkayu Daerah Kunak yang berlaku sekitar 30,000 sebelum masehi;
- Kegiatan penuaian buah kelapa sawit melambangkan kegiatan pertanian utama Daerah Kunak.
- Buah Salak yang melambangkan Daerah Kunak sebagai pengeluar buah salak pertama di negeri Sabah.
Tuesday, November 17, 2009
WAKIL RAKYAT KUNAK MINTA DIBINA PREMIS PERNIAGAAN LUAR BANDAR
Saturday, November 7, 2009
TARIK BALIK CADANGAN DALAM NAP ADALAH LEBIH BERANI
Jika anda berada berhampiran rakan anda yang memiliki kenderaan lama, seperti petani, pengusaha IKS dan kerani AR dalam cerita pos sebelum ini, tentu anda dapat mendengar helaan nafas lega selepas anda memberitahu bahawa kerajaan telah menarik balik cadangan mewajibkan pemeriksaan tahunan oleh Puspakom ke atas kenderaan persendirian berusia 15 tahun ke atas.
Namun sudah memang menjadi lumrah, apa jua yang berlaku, ada saja kritikan kedengaran.
Pihak kerajaan sudahpun membuat keputusan yang memuaskan dan melegakan hati pihak yang terbabit, tetapi masih ada juga pihak yang menganggap keputusan itu sebagai menunjukkan bahawa kerajaan telah membuat cadangan tanpa analisa mendalam dan macam-macam lagi, setakat hendak membebel.
Yang lebih wajar, dalam menarik nafas lega, kita hendaklah bersyukur dan memandang keputusan kerajaan dalam hal ini secara positif.
Ketika usia remaja saya pernah membaca petikan kata-kata seorang pujangga melalui tulisan Professor Dr Hamka, “Mengakui kesilapan adalah berani, tetapi berundur dari kesilapan adalah lebih berani”.
Barangkali kata-kata itu sudah cukup untuk menggambarkan hakikat keputusan kerajaan dalam hal ini. Tidak perlulah lagi terus dihentam dengan kritikan, kerana ianya hanya menunjukkan belang sipengkritik yang bersikap "apa-jua-anda-lakukan-semuanya-salah-belaka".
Thursday, November 5, 2009
DI SEBALIK SEBUAH KERETA TUA
Sesuatu yang barangkali patut dibanggakan ialah realiti bahawa sebahagian besar keluarga di negara ini mempunyai kenderaan masing-masing, kendatipun hanya sebuah kereta tua. Setidak-tidaknya kehadiran harta antik itu dapat juga memudahkan urusan seharian mereka.
Bagi para petani dan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS), hasil tanaman dan produk dapat juga mereka hantar ke pasar tani atau "tamu" dalam keadaan segar. Pengguna mendapat harga belian yang lebih murah manakala pendapatan petani dan pengusaha lebih lumayan, sebab urusan jual-beli antara petani atau pengusaha dengan pengguna berlangsung tanpa melalui pihak ketiga.
Bagi seorang kerani am rendah pula, sejak memiliki van berusia 18 tahun itu, beban kewangan keluarganya dapat diringankan. Dengan van seusia anak sulungnya itulah isterinya menghantar kuih-muih untuk dibekalkan ke beberapa buah restoran di pekan berhampiran. Hasil usahanya itu dapatlah digunakan untuk membantu membiayai persekolahan anak-anak mereka.
Begitupun segelintir keluarga yang belum mempunyai kenderaan, samada motosikal atau kereta, sedang menghitung-hitung tabungan untuk membeli sebuah kenderaan terpakai yang mampu dicapai oleh tahap kewangan yang ada. Kelak, mudahlah bagi mereka ke pekan untuk membeli bahan keperluan. Impian mereka, dapatlah mereka membawa lebihan hasil tanaman sayuran dan tangkapan ikan dari sungai untuk dijual di pasar atau di pekan.
Suasana damai dan impian dalam kehidupan masyarakat sederhana ini agak terganggu juga dengan adanya cadangan untuk mewajibkan kenderaan penumpang berusia lebih 15 tahun membuat pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sebagai syarat memperbaharui cukai jalan.
Jika cadangan itu dilaksanakan dan dijadikan satu lagi dasar oleh kerajaan, kedamaian dalam kehidupan masyarakat ini akan beransur suram. Impian untuk menikmati pembangunan negara dengan langkah sederap jika tidak seiring, bersama golongan lebih mewah tidak akan menjadi kenyataan.
Bagi keluarga yang memiliki hanya sebuah kenderaan, dan kenderaan itu pula merupakan faktor penting dalam menjana ekonomi mereka, tentulah menjadi masalah besar apabila cukai jalan bagi kenderaan tua yang sudah puluhan tahun memberikan khidmat memuaskan itu, dan tidak pernah terlibat dengan kemalangan, tidak dapat diperbaharui hanya kerana sedikit masalah teknikal yang tidak memenuhi piawaian Puspakom.
Bagi keluarga yang berpendapatan sekadar di atas paras miskin tegar, kos tambahan menghantar kenderaan itu untuk pemeriksaan boleh menjerumuskan kembali mereka ke tahap kemiskinan itu, terutama bila piawaian tidak dipenuhi dengan sekali pemeriksaan.
Lebih parah lagi jika kenderaan itu tidak juga lulus setelah beberapa kali menjalani pemeriksaan, atas apa jua alasan. Mahu tidak mahu, terpaksalah kenderaan itu dibiarkan terbengkalai sehingga menjadi besi buruk.
Tiada lagi petani dan pengusaha IKS menghantar hasil tanaman dan produk segar mereka ke pasar. Pagi dingin tidak lagi menyaksikan surirumah bergegas dari sebuah restoran ke restoran lain membekalkan kuih-muih tradisional untuk sekadar membantu meningkatkan pendapatan keluarga.
Bilangan keluarga dalam negara yang mempunyai kenderaan persendirian semakin berkurangan. Hendak membeli kenderaan baru, tidak pula termampu.
Sungguh muram suasana seperti yang digambarkan itu, dan sungguh malang jika berlaku bagi sebuah negara yang sedang berusaha mencapai ekonomi berpendapatan tinggi dengan mengutamakan kesejahteraan rakyat.
Mujur dan memang wajar kesediaan kerajaan untuk meneliti semula peraturan baru Dasar Automotif Nasional (NAP) itu, seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Alasan utama yang dikemukakan bagi mewajibkan kereta berusia lebih 15 tahun menjalani pemeriksaan tahunan Puspakom bahawa kereta berkenaan kurang selamat dan menjadi penyebab kemalangan tidak seiring dengan kempen keselamatan jalanraya yang selalu kita dengar, iaitu, sebahagian besar kemalangan jalanraya berlaku akibat memandu terlalu laju dan sikap pengguna jalanraya yang cuai.
Tidak pernah pula terdengar berita berlakunya kemalangan jalanraya akibat memandu sebuah kenderaan lama.
Monday, November 2, 2009
HALATUJU NEGARA vs KEHENDAK RAKYAT – Edisi Khas: Aliran Persekolahan
Ketika sedang dalam proses meneruskan kisah Bush dalam siri ini, terdengar pula berita tentang adanya cadangan mengubah sistem sekolah yang sedia ada kepada sistem sekolah satu aliran. Jika itu berlaku, pastinya ia menjurus kepada suatu perubahan besar bagi negara dengan membawa pelbagai kemungkinan yang sukar diduga.
Oleh kerana perkara ini berada dalam nic pembentukan sahsiah dan minda generasi akan datang, kesannya bagi negara akan kekal lama dan amat sukar untuk dipusing balik jika didapati kemudian bahawa kita telah membuat kesilapan.
Beberapa pihak berpendapat bahawa sistem persekolahan pelbagai aliran yang ada sekarang menghambat proses perpaduan dan menyukarkan pemahaman konsep 1Malaysia.
Sistem persekolahan satu aliran dalam konteks rakyat Malaysia yang berbilang kaum belum tentu lebih baik atau boleh mempercepat proses perpaduan. Yang pasti sistem itu akan melembabkan proses pengajaran dan pembelajaran di kalangan murid yang menggunakan bahasa di rumah berbeza dengan bahasa di sekolah.
Penggunaan pelbagai bahasa bukanlah penghambat perpaduan.
Dalam perjuangan mencapai kemerdekaan, komponen-komponen Parti Perikatan telah menggunakan bahasa berlainan untuk meyakinkan komuniti masing-masing akan pentingnya perpaduan kaum ke arah pencapaian kemerdekaan.
Rakyat cepat menerima konsep perpaduan kerana mesej disampaikan kepada mereka melalui bahasa yang mereka faham sepenuhnya. Maka bersatulah keturuna Melayu di bawah panji-panji UMNO, keturunan Cina di bawah panji-panji MCA, keturunan India di bawah panji-panji MIC, lalu berpadu di bawah lambang perahu layar.
Kesukaran mencapai perpaduan bukan disebabkan penggunaan pelbagai bahasa, tetapi kerana timbulnya kecurigaan antara satu sama lain yang diapi-apikan oleh golongan yang suka menangguk di air keruh.
Pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, seperti yang dipetik oleh New Straits Times, mengenai perkara ini, adalah (terjemahan) seperti berikut:
“Kita bermula dengan suatu keadaan dimana kita berikan setiap komuniti rakyat Malaysia hak memilih jenis pendidikan yang mereka inginkan. Dari segi dasar, anjakan paradigma yang amat besar diperlukan jika kita mahu mengubahnya sekarang. Kita hanya akan mengubah dasar berlandaskan kehendak rakyat.”
Kenyataan perdana menteri itu menunjukkan frasa “Rakyat Didahulukan” bukanlah suatu retorik semata-mata. Bila dasar hanya diubah berlandaskan kehendak rakyat, benarlah rakyat didahulukan.
Dasar akan menentukan halatuju negara dan apabila dasar itu dilandaskan kepada kehendak rakyat, maka seiringlah HALATUJU NEGARA dengan KEHENDAK RAKYAT.