Monday, March 28, 2011

80 Unit Rumah PPRT (PBR) Bukan 40 Unit

Bilangan rumah di bawah skim Projek Bantuan Rumah (PBR) atau dahulunya dikenali sebagai Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi tahun 2010, untuk kawasan DUN Kunak yang disampaikan oleh ADUN Kunak, Datuk Nilwan Kabang pada 26 Mac 2011 sebenarnya berjumlah 80 unit dan bukannya 40 unit. 

Datuk Nilwan menyampaikan replika kunci rumah PBR
kepada ketua isirumah penerima
Angka 40 yang dilaporkan oleh BERNAMA dan telah dipetik oleh beberapa media cetak, elektronik dan media alternatif, termasuk Berita Harian Online, sebenarnya adalah bilangan rumah PBR yang akan dibina di Daerah Kunak pada tahun 2011. Selain daripada pembinaan 40 unit rumah PBR baru bagi tahun ini, peruntukan untuk pembaikan 40 unit rumah golongan paling memerlukan juga telah disediakan dengan peruntukan daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Replika kunci rumah untuk 80 unit rumah PBR yang dibina dalam tahun 2010 disampaikan oleh Datuk Nilwan kepada para ketua isirumah penerima di Dewan Masyarakat Kunak dalam satu majlis yang digabungkan bersama beberapa acara lain, termasuk Majlis Doa Kesyukuran. Turut disampaikan ialah bantuan keperluan rumahtangga kepada 81 penerima dan peralatan sekolah kepada 17 penerima, melalui peruntukan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

"Backdrop" hiasan pentas dalam majlis doa kesyukuran
dan penyampaian beberapa kategori bantuan di Dewan Masyarakat Kunak
pada Sabtu 26 Mac 2011

Kemalangan Jalanraya Berhampiran Simpang Kampong Lormalong

Kami dalam perjalanan pulang selepas menghadiri upacara perasmian penutupan Kem Padu Anak Malaysia anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Tawau di kawasan Hutan Simpan Madai berhampiran Air Terjun Madai, yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Nilwan Kabang, ADUN N51 Kunak.

Saya dan tiga rakan lain menumpang kereta "R" (lihat ilustrasi di bawah) yang dipandu Encik Halid, Pemimpin Kemajuan Rakyat Kunak. Dihadapan kami ialah kereta (Q) yang dinaiki oleh Datuk Nilwan yang mengekori sebuah trak (P). Ketika menghampiri Simpang Kampung Dasar Lama, berlaku satu kemalangan di hadapan mata.

Sebuah kereta Avanza (A) berwarna putih dengan 6 orang penumpang termasuk pemandu, telah terbabas ketika cuba mengelak sebuah kereta Kancil (K) yang keluar dari simpang Kg Lormalong. Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 3:50 petang, Ahad 27 Mac 2011. 

Untuk mengelak kereta yang keluar dari Simpang Kg Lormalong itu, pemandu Avanza mengambil jalan ke sebelah kanannya. Namun, dari arah bertentangan terdapat beberapa kenderaan yang didahului oleh sebuah trak ringan. Pemandu Avanza mengelak pula dari pertembungan dengan trak tersebut tetapi kereta itu terbabas dan naik ke tebing yang agak tinggi. Ia terus meluncur sejauh kira-kira sejauh 20 meter sebelum berpusing dan terbalik ke sisi.


Kamipun berhenti untuk memberikan bantuan. Hati terasa lega apabila kami melihat penumpang-penumpang  keluar satu-persatu dari kereta malang itu. Dari luaran, tidak ada penumpang yang cedera parah, tetapi tiga orang daripadanya kelihatan lemah. Datuk Nilwan menawarkan bantuan untuk membawa mereka ke Hospital Kunak. Tawaran itu diterima dan ketiga-tiga mereka di bawa ke hospital menggunakan kereta Encik Halid.

Ilustrasi menunjukkan bagaimana kemalangan pada petang 27 Mac 2011
berhampiran Simpang Kg Lormalong berlaku

Datuk Nilwan (memakai topi) menawarkan bantuan membawa mangsa (baju hitam)
ke hospital.
Bumper hadapan terpisah dan tertinggal jauh sebelum kereta itu terbalik
Lokasi kejadian

Friday, March 25, 2011

Benarkah Pemberontakan Libya Dapat Dukungan Majoriti Rakyat?

Seminggu sudah berlalu sejak campurtangan "tentera gabungan" di Libya bermula pada Sabtu 19 Mac, namun tidak ada perkara positif yang diperoleh rakyat Libya, sebaliknya hanya kemusnahan aset negara mereka. Tidak cukup dengan kemusnahan yang telah dilakukan, kekuatan serangan dirancang untuk dipertingkatkan pula dengan penglibatan NATO. Pertahanan Gadhafi telahpun lumpuh, apa perlunya NATO yang melibatkan kuasa ketenteraan 28 buah negara campurtangan lagi?

Pertahanan Gadhafi sudah lumpuh tetapi tidak ada kemajuan yang dicapai oleh pihak pemberontak, sedangkan sebelum adanya campurtangan dalam pergolakan itu kekuatan kedua belah pihak agak seimbang. Kadangkala pemberontak mara ke kawasan Gadhafi dan pada masa yang lain pasukan Gadhafi berjaya menawan kawasan yang dikuasai pemberontak.

Pemberontak Libya: Benarkah mereka mendapat sokongan majoriti
rakyat Libya atau benarkah dakwaan Gadhafi bahawa pemberontakan
itu didalangi pihak luar?
Di peringkat awal pergolakan media melaporkan bahawa kebanyakan pasukan Gadhafi adalah terdiri dari tentera upahan kerana majoriti rakyat Libya termasuk dari kalangan tentera telah berpaling tadah dan menyertai pemberontakan. Jika itu kebenarannya, maka dalam keadaan pertahanan Gadhafi yang sudah lumpuh, tentunya pihak pemberontak dapat mara untuk menawan Tripoli, namun itu tidak berlaku.

Apa sebenarnya yang telah terjadi? Mungkinkah AS, UK dan Perancis, selaku pasukan terkuat dalam gabungan itu sengaja merancang keadaan di Libya sehingga pemberontak tidak dapat terus mara dan mengakhiri "perang saudara" itu dengan lebih cepat? Harus diingat bahawa minyak mentah yang terdapat di Libya adalah yang paling baik untuk kegunaan bahanapi untuk pesawat jet, dan ketiga-tiga negara tersebut pula adalah peneraju industri enjin jet. 

Dengan berpanjangannya pergolakan di Libya, peluang ketiga-tiga negara tersebut lebih cerah untuk memperkuat pengaruh, strategi dan kepentingan di negara itu selepas tamatnya pemberontakan. Cadangan untuk NATO mengambilalih teraju campurtangan adalah kerana ketiga-tiga negara itu merupakan anggota utama dalam kesatuan ketenteraan tersebut. Dalam masa yang sama, pengambilalihan oleh NATO bermakna pengunduran Qatar dan UAE dari memainkan peranan.

Kuasa-kuasa Barat itu yang kini sangat ghairah untuk memusnahkan Gadhafi perlu membuktikan bahawa tindakan mereka seterusnya adalah benar-benar atas sebab kemanusiaan dan bukannya sebagai "fixed deposit" dan "bayaran pendahuluan" untuk campurtangan dalam jangkamasa yang lebih panjang di Libya dan rantau Timur Tengah.

Rakyat Libya Perlu Memainkan Peranan Lebih Besar
Dengan adanya perlindungan yang disediakan oleh komuniti antarabangsa yang merangkumi ketenteraan dan bantuan kemanusiaan, maka rakyta Libya, khususnya para pemimpin revolusi hendaklah segera menggembeling kekuatan untuk tindakan besar-besaran di setiap bandaraya dan pekan, baik di barat mahupun di timur negara itu, untuk membuat perhitungan dengan pasukan Gadhafi.

Pihak pemberontak tidak sepatutnya menyerahkan terlalu banyak peranan kepada campurtangan luar bagi menjayakan revolusi mereka. Malah jika pemimpin revolusi Libya bertindak lebih pro-aktif dan tidak bergantung kepada negara luar, mereke boleh memanfaatkan "pengiktirafan" dan sokongan antarabangsa atas perjuangan mereka, untuk bekerjasama lebih erat dengan negara-negara jiran, membuktikan kekuatan politik dan sokongan rakyat, mereka boleh meruntuhkan rejim Gadhafi dari dalam.

Oleh kerana Bangsa-Bangsa bersatu sudah memberi mandat bagi penggunaan kuasa tentera keatas Libya, maka seboleh-bolehnya penggunaannya adalah seminima dan sejitu mungkin. Serangan hendaklah benar-benar selektif, iaitu hanya pada sasaran yang benar-benar perlu dan tidak menyebabkan korban di kalangan orang awam.

Pemerintahan rejim yang kini sudah amat lemah boleh ditamatkan oleh rakyat Libya sendiri dengan penggembelingan bersepadu kekuatan mereka tanpa perlu lebih banyak kemusnahan akibat campurtangan kuasa luar. Peperangan yang berpanjangan mungkin menguntungkan pihak tertentu tetapi bagi rakyat Libya, hanya kemusnahan dan kerugian semata-mata.

Wednesday, March 23, 2011

Keputusan SPM Terbaik Dalam 4 Tahun, UPSR dan PMR Wajar Diteruskan

Dengan jumlah 9,239 mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diduduki, keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) bagi tahun 2010 adalah yang terbaik dalam tempoh 4 tahun terakhir ini.

Cukup menarik apabila pencapaian pelajar luarbandar dalam matapelajaran sains lebih baik berbanding dengan pencapaian pelajar dari bandar.


Sudah pasti pelajar yang mendapat keputusan cemerlang akan merasa gembira dengan pencapaian tetapi yang lebih gembira ialah ibubapa mereka. Saya yakin dengan kenyataan ini, kerana saya pernah melaluinya sebagai pelajar dan kini mengalaminya sebagai bapa. Sebesar mana debar pelajar menanti pengumuman keputusan peperiksaan, besar lagi degupan jantung ibubapa.

Meskipun kerajaan menyediakan sekolah tanpa kutipan yuran, namun bagi kebanyakan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, pembelajaran anak-anak tetap merupakan bahagian perbelanjaan isirumah paling besar, sekaligus pelaburan paling besar.

Pada hakikatnya, kebanyakan ibubapa tidak menunggu apa-apa balasan material daripada anak-anak yang berjaya dalam pelajaran seterusnya dalam kehidupan. Sebaliknya, melihat anak-anak berjaya dalam hidup sudah cukup sebagai balasan atas segala pengorbanan yang dicurahkan. Justeru, keputusan peperiksaan anak-anak menjadi sebahagian daripada ganjaran kepada penat lelah dan pelaburan itu, tidak kiralah apa jua hasil keputusan peperiksaan itu.

Ibubapa yang pada umumnya mengambil berat akan perkembangan anak-anak memang tahu serba sedikit sejauhmana kebolehan akademik setiap seorang daripada anak-anak mereka. Maka tidak timbullah soal kekecewaan apabila anak-anak tidak mencapai keputusan yang cemerlang. Namun apabila seorang anak itu memperoleh sesuatu keputusan lebih baik daripada yang dijangkakan, maka ia menjadi suatu hadiah yang amat istimewa bagi ibubapa. Sebaliknya, jika keputusan itu tidak sebaik yang diharapkan, maka ibubapa akan menilai semula dimana kekurangan diri dalam membantu anak-anak.

Justeru itu, "peperiksaan besar" adalah amat bermakna bagi ibubapa, tidak kiralah samada ia UPSR, PMR, SPM, STPM atau peperiksaan akhir semester di pusat pengajian tinggi. Oleh yang demikian ura-ura untuk menghapuskan peperiksaan UPSR dan PMR, seperti yang pernah disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri pada 18 Jun 2010, hendaklah jangan diteruskan buat masa ini.

Antara faktor yang menyebabkan timbulnya cadangan untuk memansuhkan UPSR dan PMR ialah kerana ia dikatakan menyebabkan sistem pendidikan negara terlalu berorientasikan peperiksaan (exam-oriented). Ia dikatakan memberi tekanan kepada pelajar sehingga mereka belajar dengan "membabi buta" semata-mata untuk lulus peperiksaan, tanpa memahami kaitan matapelajaran itu dengan kegunaannya di masa akan datang.

Cadangan untuk memansuhkan UPSR dan PMR juga atas alasan peperiksaan itu menyebabkan kurangnya masa bagi pelajar dan perhatian bagi guru untuk bidang kokurikulum dan sukan.

Kita harus sedar bahawa setiap pelajar mempunyai kelebihan serta kekurangan dalam bidang tertentu. Tidak semua pelajar mampu cemerlang dalam bidang akademik, pun tidak juga semua boleh menjadi atlit yang ternama, tidak pula semua mempunyai bakat tersohor dalam aktiviti organisasi.

Jika UPSR dan PMR dimansuhkan, maka pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik terpaksa menunggu 11 tahun untuk memberikan "hadiah" kepada ibubapa mereka. Jarang didapati pelajar yang cemerlang dalam akademik cemerlang pula dalam sukan. Malah, kebanyakan daripada mereka adalah dalam golongan "kaki bangku", maka tanpa UPSR dan PMR pelajar itu berada dalam keadaan "terpinggir", tidak popular di kalangan rakan sebaya dan tidak pula dipandang serius oleh masyarakat. Keadaan itu dikhuatiri akan menimbulkan kesan psikologi yang negatif kepada pelajar-pelajar sedemikian.

Ruang bagi pelajar yang berbakat dalam bidang sukan dan kokurikulum buat masa ini, jika tidak pun berlebihan, sekurang-kurangnya sudah mencukupi. Mereka dapat menonjolkan diri dan kebolehan beberapa kali dalam setahun, iaitu sukan tahunan sekolah, sukan peringkat daerah, peringkat zon, peringkat bahagian, peringkat negeri, peringkat kebangsaan, seterusnya ke peringkat antarabangsa. Begitu pula yang punya bakat dalam bidang kokurikulum, setiap tahun ada hari kokurikulum sekolah, perhimpunan peringkat daerah, zon, bahagian, negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Oleh itu, ibubapa kepada pelajar-pelajar yang berbakat dalam sukan dan kokurikulum dapat berbangga beberapa kali dalam setahun dengan pencapaian anak-anak mereka.

Ruang harus pula diberikan secukupnya kepada pelajar-pelajar yang kurang berbakat dalam bidang sukan dan kurikulum untuk menonjolkan diri dalam bidang yang lebih sesuai dengan kebolehan mereka, iaitu akademik, agar ibubapa mereka berpeluang pula merasa berbangga akan anak-anak mereka. Oleh itu, wajarlah UPSR dan PMR sikekalkan dalam sistem pendidikan negara kita.

Monday, March 21, 2011

Apa Motif Sebenar Serangan Tentera Gabungan Keatas Libya?

Pemberontakan di Libya sudah masuk ke minggu keempat. Semangat kental dan ketabahan rakyat Libya yang berjuang untuk menggulingkan Gadhafi terus berhadapan dengan pelbagai kekejaman rejim dari polisi "tembak sampai mati" hingga kepada penggunaan senjata berat ke atas orang awam yang tidak bersenjata.

Hari ini sudah masuk hari ketiga campurtangan oleh Pasukan Gabungan yang dianggotai  9 buah negara iaitu, Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Kanada, Itali, Sepanyol, Belgium, Belanda dan Qatar. Bermula dengan pelancaran Tomahawk dari Laut Mediterranean pada Sabtu diikuti serangan menggunakan pesawat udara dan pengguguran bom menggunakan pesawat B2. 

Bangunan di laman kemah Ghadafi musnah terkena bedilan.
Benarkah tiada kemalangan jiwa di kalangan orang awam?

Serangan tiga hari yang diberi nama Operation Odyssey Dawn (OOD) itu dilaporkan telah berjaya melumpuhkan sistem pertahanan udara Libya, malah telah memusnahkan bangunan di laman kemah Gadhafi, iaitu sebuah bangunan tiga tingkat yang menjadi simbol pertahanan pemimpin Libya itu.


Alasan utama Pasukan Gabungan untuk campurtangan dalam pergolakan itu ialah "untuk melindungi orang awam" daripada serangan oleh pasukan yang setia kepada Gadhafi.

Media barat sememangnya melaporkan bahawa dalam serangan tiga hari itu tiada kemalangan jiwa dari kalangan orang awam berlaku. Benarkah?

Sedangkan peluru dari senjata dalam tangan manusia (senapang, pistol dan sebagainya) adalah "tidak bermata" dan boleh tersasar kepada orang awam, apatah lagi roket yang dilancarkan dari kawasan ratusan kilometer jauhnya dan bom yang digugurkan dari ribuan kaki di angkasa. Dengan yang demikian alasan dan matlamat untuk melindungi orang awam menjadi sebaliknya, iaitu mencederakan dan melindungi orang awam.

Jika benar, matlamat utama Pasukan Gabungan adalah untuk melindungi orang awam di Libya, maka tindakan membuat serangan pantas dan besar-besaran seperti yang berlaku dalam tempoh tiga hari lepas adalah gopoh. Ruang masa yang diberikan kepada orang awam untuk mengungsi jauh daripada kawasan-kawasan yang menjadi sasaran serangan tidak mencukupi.

Kenyataan dapat kita lihat bahawa negara-negara yang terlibat dalam OOD telahpun memastikan rakyat mereka yang berada di Libya, ketika tercetusnya pergolakan pada 17 Mac 2011, telahpun dibawa keluar dari negara itu dan berada dalam keadaan selamat. Namun, tawaran evakuasi yang serupa tidak diberikan kepada orang awam dari kalangan rakyat Libya atau pekerja dari kalangan rakyat negara-negara Afrika. 

Kenyataan bahawa  kuasa-kuasa luar enggan melakukan tindakan tegas selagi masih ada rakyat mereka di bumi Libya menunjukkan bahawa mereka memang sedia maklum bahawa dengan mengambil tindakan tegas ke atas rejim akan mengakibatkan korban dari kalangan orang awam, samada akibat langsung daripada serangan yang dilakukan ataupun secara tidak langsung melalui tindakan balas dari pihak rejim ke atas orang awam yang dianggap ada kaitan dengan pihak yang campurtangan.

Andai keikhlasan ada dalam mencanang bahawa keutamaan adalah untuk melindungi orang awam dari kalangan rakyat Libya, tentunya mereka telah ditawarkan jalan keluar dari negara itu. Sebaliknya, apabila kesemua warganegara dari negara-negara Barat sudah berada jauh dari kawasan bahaya, tindakan kekerasan segera diambil tanpa didahului dengan sebarang usaha untuk melindungi atau mengeluarkan orang awam yang masih tertinggal di Tripoli dan sekitarnya.

Sejarah jelas membuktikan bahawa campurtangan pihak luar dalam penggulingan dan penukaran sesuatu rejim adalah berdasarkan pelbagai motif, meskipun alasan yang dikemukakan adalah atas dasar kemanusiaan. Selalunya campurtangan sedemikian memberi keuntungan kepada pihak-pihak yang mengambil bahagian dalam campurtangan itu, samada keuntungan dalam bentuk kepentingan strategik mahupun kepentingan ekonomi, dan sebaliknya, mengakibatkan porak peranda kepada penduduk tempatan.

Sesuatu yang menjadi tandatanya ialah perbezaan pendekatan yang diambil oleh Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan pihak Barat bagi pergolakan di Libya berbanding pergolakan di Tunisia dan Mesir. 

Resolusi 1970 yang diluluskan UNSC pada 26 Februari 2011, yang antara lain akan membawa rejim Gadhafi ke muka pengadilan di Mahkamah Jenayah Antrabangsa (ICC), menambah buruk keadaan. Tindakan itu membuat Gadhafi berfikir bahawa diri dan keluarganya sudah tidak ada jalan selamat untuk keluar dari pergolakan itu, lalu nekad untuk berjuang dengan apa jua cara untuk mempertahankan diri dan keluarganya. 

Sepatutnya keutamaan diberikan untuk perundingan strategi bagi memberi laluan yang selamat untuk pengunduran Gadhafi dan keluarganya, sebagaimana laluan telah diberikan kepada Ben Ali dan Hosni Mubarak. Kaedah ini terbukti berjaya menamatkan pergolakan di Tunisia dan Mesir dengan lebih cepat dan mengelakkan lebih banyak pertumpahan darah. 

Kenapa laluan selamat diberikan kepada Ben Ali dan Mubarak tetapi tidak kepada Muammar Gadhafi? Apa motif sebenar serangan "tentera gabungan" ke atas Libya?

Resolusi 1973 yang diluluskan UNSC pada 17 Mac 2011 menuntut agar gencatan senjata segera diwujudkan di Libya dan mengentikan serangan ke atas orang awam, namun resolusi itu tidak menegaskan yang kedua belah pihak mesti mematuhi gencatan senjata itu. Pihak pemberontak terus melakukan serangan dan pasukan yang setia kepada Gadhafi membalas serangan. Gadhafi dipersalahkan, tetapi pemberontak tidak.

Kenapa bila pemberontak bersenjata bergerak ke barat Libya untuk menawan Tripoli tidak didakwa melanggar penguatkuasaan gencatan senjata? Kenapa bila pasukan yang setia kepada Gadhafi bertindak menghalang kemaraan pemberontak itu dipersalahkan sebagai melanggar gencatan senjata? 

Adakah Resolusi 1973 memang sengaja dibuat untuk mewujudkan alasan agar kuasa asing campurtangan di bumi Libya?

Apa motif sebenar serangan "tentera gabungan" ke atas 
Libya?

Dalam video berikut Michel Chossudovsky, pengarah Pusat Penyelidikan Globalisasi (CRG), memberitahu bahawa negara-negara Barat sebenarnya hanya memikirkan tentang minyak dan lain-lain sumber yang terdapat di Libya, bukan untuk melindungi rakyat negara itu. Oleh sebab itulah, mereka lebih beria-ia untuk campurtangan di Libya berbanding di negara-negara Arab bergolak yang lain.


Sunday, March 20, 2011

Pesawat B2 Mengebom Libya

Pesawat perang AS dan British melakukan serangan ke atas sasaran-sasaran tertentu di Libya, sebagai susulan kepada 112 roket Tomahawk yang dilepaskan dari beberapa buah kapal di Laut Mediterranean, melumpuhkan pertahanan udara wilayah barat Libya.

Empat buah pesawat pengebom B2, masing-masing telah menggugurkan 16 butir bom ke atas beberapa pengkalan udara dan pesawat terbang Libya, unit-unit pertahanan udara bergerak dan pasukan darat yang setia kepada Muammar Gadhafi.


Serangan itu adalah awal daripada operasi "Operation Odyssey Dawn" yang menurut Pentagon bertujuan untuk menghalang Gadhafi dari terus melakukan serangan ketenteraan ke atas rakyanya sendiri, dan juga mewujudkan zon larangan terbang sebagaimana yang dikehendaki oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.


Stesen televisyen Libya melaporkan bahawa 48 orang telah terkorban dan lebih 150 lagi cedera dalam serangan roket pada Sabtu 19 Mac itu. 

Gadhafi bagaimanapun enggan mengalah dan berikrar akan meneruskan serangan ke atas bandar Benghazi yang dikuasai pemberontak dan berjanji akan menangkis serangan pasukan antarabangsa yang didakwanya sebagai "pencerobohan tentera-salib kolonial".

Rampasan Kuasa
Gadhafi mula memerintah Libya sejak 42 tahun lalu selepas mengetuai kudeta (rampasan kuasa) ke atas Raja Libya, Sayyid Muhammad Idris Bin Muhammad al-Mahdi al-Senussi pada 1 September 1969. Waktu itu Raja Idris sedang berada di Turki untuk rawatan perubatan. Raja Idris meninggalkan Turki dengan menaiki kapal ke Greece, dan seterusnya hidup dalam buangan di Mesir. Beliau meninggal di Kaherah pada tahun 1983 dalam usia 94 tahun dan jenazahnya dikebumikan di tanah perkburan yang amat masyhur iaitu Jannat al-Baqi di Medina.

Meskipun Raja Idris meninggal dunia ketika dalam buangan dan kebanyakan rakyat Libya dilahirkan selepas pemerintahan beliau, ramai penunjuk perasaan menentang Gadhafi dalam pergolaskan yang berlaku ketika ini telah menggunakan bendera tiga warna yang dipakai ketika pemerintahan Raja Idris serta membawa potret raja tersebut.

Pemberontakan 2011
Penentangan terhadap pemerintahan Gadhafi bermula secara terbuka pada 17 Februari 2011. Perjuangan pemberontak cepat mendapat sokongan ramai dari kalangan rakyat Libya dan mereka mula menguasai bahagian timur negara itu, termasuk Benghazi, bandaraya kedua terbesar di Libya.

Gadhafi bertahan di Tripoli dan pemberontak yang terus melebarkan penguasaan mula bergerak menuju Tripoli untuk memaksa Gadhafi melepaskan kekuasaan ke atas Libya. Enggan berundur, Gadhafi mengarahkan pasukan yang setia kepadanya untuk melakukan serangan ketenteraan ke atas pemberontak termasuk penggunaan pesawat perang. Tindakan Gadhafi itu menyebabkan ramai pegawai tinggi kerajaan dan diplomat Libya letak jawatan dan menyertai pemberontakan.

Oleh kerana juruterbang dari kalangan rakyat Libya, enggan untuk melakukan serangan ke atas sesama rakyat Libya, maka Gadhafi dikatakan telah menggunakan khidmat juruterbang upahan berbangsa Serb. Tentera upahan dari Ghana turut digunakan.

Berikutan serangan udara oleh pesawat perang Libya ke atas rakyatnya sendiri maka pada pada Khamis lepas, 17 Mac 2011, Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu mengisytiharkan zon larangan terbang di ruang udara Libya sebagai sebahagian daripada siri langkah-langkah untuk melindungi orang awam di Libya.

Pengisytiharan itu tidak diindahkan oleh Gadhafi. Pada hari berikutnya, 18 Mac 2011, presiden AS, Barack Obama memberi amaran kepada Gadhafi untuk menghentikan keganasan ke atas rakyatnya sendiri atau akan menghadapi serangan ketenteraan dari komuniti antarabangsa. 

Keengganan Gadhafi untuk menghentikan serangan menyebabkan serangan roket Tomahawk dilancarkan pada 19 Mac 2011 diikuti pengeboman oleh pesawat B2 hari ini.


Kesan Radiasi Malapetaka Nuklear Jepun Telah Sampai Ke California, AS

Radiasi yang berpunca dari malapetaka nuklear Jepun telah dikesan di California, Amerika Syarikat, pada pagi 19 Mac 2011. Demikian menurut laporan dalam "Good Morning America" yang disiarkan oleh ABC News.

"Stop frame" dari rekaman rancacangan "Good Morning America" terbitan ABC News
melaporkan pengesanan radiasi di pantai barat Amerika Syarikat
Meskipun amaun radiasi yang sampai ke pantai barat AS itu amat kecil, ia memberi petunjuk bahawa kesan radiasi itu boleh merebak jauh dari tempat kejadian malapetaka nuklear. Jarak antara Sendai, Jepun (tempat kejadian) dengan pantai California ialah lebihkurang 8600 kilometer. Bagaimana pula dengan kita di Malaysia yang berada lebih dekat? Jarak antara Sendai dengan Kota Kinabalu cuma lebihkurang 4400 kilometer.

Jika kesan radiasi dari Sendai boleh sampai ke Los Angeles bagaimana pula
keadaan di Sabah yang berada lebih dekat dari tempat kejadian?
Menurut laporan BERNAMA yang dipetik oleh Berita Halian Online berhubung dengan perkara ini, rakyat Malaysia tidak perlu bimbang mengenai pencemaran radiaktif di negara ini berikutan letupan loji tenaga nuklear di Fukushima itu kerana kerajaan melakukan pemantauan dengan ketat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Maximus Ongkili berkata pemantauan itu dilakukan membabitkan alam sekitar, kemasukan pelancong dari luar negara dan kemasukan barang makanan dari luar negara dan kemasukan barangan makanan dari lapangan terbang dan pelabuhan terutama dari Jepun.

"Tiada keraguan perlu ditimbulkan kerana tiada sebarang pencemaran radioaktif dikesan di negara kita sehingga hari ini dan jangan percaya kepada khabar-khabar angin yang tidak berasas," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penanaman Tukun Tiruan Mesra Alam di sini (Sandakan) hari ini (20 Mac 2011).

Beliau berkata Sistem Pemonitoran Radiologi Alam Sekitar (ERMS) di enam lokasi seluruh negara masih menunjukkan paras normal dan saringan yang dilakukan di pelabuhan membabitkan makanan dan kontena belum ada pencemaran bahan radioaktif dikesan. 

Katanya sejak tiga hari lalu Kementerian Kesihatan sudah mengambil sampel-sampel makanan yang diimport dan keputusan sampel itu semuanya negatif. 

"Rakyat diminta merujuk dan mengambil perhatian mengenai perkembangan pencemaran radioaktif di negara ini oleh kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan saya adalah jurucakap mereka," katanya.

Menurutnya Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB), Agensi Nuklear Malaysia, Jabatan Meteorologi Malaysia dan Kementerian Kesihatan akan memantau secara aktif keadaan insiden nuklear di Jepun dan impaknya di negara ini.