Monday, June 29, 2009

JEJAK INFLUENZA A(H1N1) - 29 JUN 2009

  • Sehingga pukul 5.00 petang 29 Jun 2009, sejumlah 116 buah negara dan jajahan telah disahkan dilanda wabak selsema babi dengan jumlah kes terkumpul sebanyak 70,983 kes yang melibatkan 311 kematian.
  • Berikut ialah 10 negara dengan bilangan kes tertinggi:
  • Negara-negara yang telah melaporkan kes kematian akibat jangkitan selsema babi adalah seperti berikut:
  • Argentina kemungkinan besar akan mengumumkan keadaan darurat berikutan kes kematian yang semakin meningkat. "Keadaan darurat bukan bererti kami akan menutup (memberhentikan kegiatan) segalanya. Ia lebih merujuk kepada penyediaan kemudahan untuk membeli ubat-ubatan serta persedian kakitangan perubatan untuk dihantar bertugas ke kawasan-kawasan yang memerlukan", demikian kenyataan Menteri Kesihatan Argentina, Claudio Zin.
  • Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai pula memberitahu bahawa keadaan di Malaysia masih terkawal dan belum perlu pelaksanaan plan kontinjensi (plan yang dirangka untuk menghadapi sesuatu kemungkinan).

Sunday, June 28, 2009

Blogger Turns 10: What's your story?

Pos ini ditulis sebagai menyahut pelawaan blogger.com bertarikh 18 Jun 2009 untuk berkongsi cerita mengenai pengalaman sebagai penulis blog.

Saya mula mengenali perkhidmatan web dalam tahun 2000. Ketika itu, di kampung saya, belum ramai lagi yang menggunakan perkhidmatan internet. Aliran data juga sangat lambat. Saya menggunakan internet ketika itu semata-mata untuk mendapatkan maklumat terutama yang berkaitan dengan pekerjaan saya sebagai seorang pengurus ladang kelapa sawit. Laman yang paling banyak saya lawati ialah laman PORLA dan PORIM untuk mengikuti perkembangan industri kelapa sawit terutama turun-naiknya harga pasaran minyak sawit mentah.

Saya mula menyertai Blogger pada March 2009 dengan blog yang saya namakanKunak ians, yang bermaksud orang-orang Kunak. Pos pertama saya merupakan artikel dalam Bahasa Malaysia dimana saya melaporkan pengalaman bersama teman-teman mengikuti kursus Jatidiri di sebuah pulau tidak berpenghuni. Sehingga bulan April 2009 kesemua artikel yang saya poskan hanya dalam bentuk laporan.

Pada 27 April 2009 saya mendaftarkan satu lagi blog dengan Blogger untuk artikel-artikel dalam Bahasa Inggeris. Pos pertama dalam blog tersebut bertajuk Luffa Aegyptiaca masih lagi dalam bentuk laporan tetapi sudah banyak memuatkan unsur kajian. Pada 29 April 2009 cakera induk (hard disk) komputer saya telah rosak terok dan terpaksa menggantikannya dengan yang baru. Sudah tentu banyak data berharga yang hilang bersama kerosakan tersebut, termasuklah data-data berkenaan dengan sejarah kampung halaman saya, Kunak, yang telah lama saya kumpul sebelumnya. Beberapa artikel saya telah terselamat iaitu artikel-artikel yang telah saya poskan ke dalam blog. Semenjak hari itu saya pun menyedari bahawa salah satu kebaikan menulis dalam blog ini ialah jaminan tidak hilangnya artikel tersebut. Sayapun mula mengumpul data kembali untuk menulis semula sejarah kampung halaman saya dan terus mengeposnya ke Blogger.

Pergaulan saya yang agak meluas dengan masyarakat kampung membawa kepada banyak perbincangan dengan mereka, ramai yang mengemukakan pandangan dan tidak kurang pula yang meminta pendapat. Perkara yang saya rasa bermanfaat untuk dikongsi dengan pembaca, saya poskan ke dalam blog.

Ketika duduk di sebuah kedai kopi bersama tiga orang rakan, kedengaran berita dari TV di kedai kopi tersebut tentang kes Influenza A(H1N1) yang sudah mula dikesan di Malaysia. Serang rakan saya, yang tertua antara kami berempat bertanya, “Penyakit apa tu? Macam AIDS kah juga?”

Sebagai seorang sizwazah dalam bidang Mikrobiologi sedikit sebanyak ada juga pengetahuan saya mengenainya maka saya memberitahu rakan saya tu, “Influenza macam selsema juga. Demam, batuk, sakit kepala, tapi tentang H1N1 ni, saya tak berapa pasti”.

“Kalau sesuatu penyakit tu disiarkan dalam berita, biasanya agak bahaya juga tu”, sahut kawan saya seorang lagi sambil menggaru-garu perutnya yang agak buncit.

Rakan tertua kami mula kelihatan gusar. Kepingan roti canai yang sudah di ambang bibirnya diletakkan kembali ke pinggan. “Ada ubatnya kah?” dia bertanya bersungguh-sungguh.

“Jangan risau sangatlah, nanti kawan kita ni selidik dan beritahu kita”, kata rakan kami yang berperut agak buncit. Sambil menunjuk kepada saya dia sambung, “Kawan kita ni bekas guru sains. Dia mesti boleh tahu macam mana mahu elak (penyakit itu), ada ubat kah, tidak ada kah”. Dia kemudian menepuk-nepuk bahu saya dan menambah, “Boleh kan?”

“Tak pastilah, Panglima”, jawabku berterus terang. “Nanti saya rujuk kembali buku teks atau nota-nota kuliah saya kalau masih ada. Di internetpun barangkali ada maklumat mengenainya.”

Sekembali ke rumah sayapun terus mengumpul maklumat dari buku-buku mengenai virus dan nota-nota kuliah lama saya mengenai penyakit berjangkit. Pengumpulan maklumat saya teruskan dengan melayari internet. Kesemuanya saya gabung serta hubungkaitkan dan sedaya upaya menulisnya dalam bahasa dan istilah yang paling mudah difaham oleh orang seperti rakan-rakan saya di kedai kopi itu. Terhasillah artikel “Mengenal dan Menangani Influenza A(H1N1)” yang saya poskan dalam blog KUNAKIANS pada 29 Mei 2009. Saya mencetak tiga salinan artikel itu dan memberikan kepada ketiga-tiga rakan saya yang disebutkan tadi.

Siri “Keajaiban Nombor” pula saya poskan ke dalam laman web atas cadangan beberapa orang bekas pelajar yang memberitahu bahawa kaedah kaedah ini telah banyak membantu mereka dalam mengikuti matapelajaran Matematik samada di sekolah rendah mahupun sekolah menengah. Begitu juga dengan mereka yang telah meninggalkan bangku sekolah, mereka dapati bahawa kaedah ini amat berguna dalam kehidupan seharian.

Banyak perkara yang boleh diceritakan mengenai pengalaman sebagai penulis blog meskipun bagi saya baru mula menyertainya empat bulan yang lalu, apatah lagi bagi mereka yang telah bertahun-tahun berkecimpung dengannya.

Bagi saya memadailah untuk meyimpulkan dua alasan utama yang mendorong saya untuk meneruskan kegiatan ini:

1. Ia merupakan cara yang terbaik untuk berkongsi maklumat dengan mereka yang mendapati maklumat dalam blog saya berfaedah dan turut menyedari bahawa pada masa yang sama berusaha mengelak daripada mengaibkan mana-mana pihak.

2. Ia merupakan tempat menyimpan dengan selamat buah fikiran yang mungkin tidak akan terdaya untuk difikir lagi setelah usia semakin meningkat.

Thursday, June 25, 2009

SABAH KINI TERDEDAH KEPADA INFLUENZA A(H1N1)?

  • Sehingga ke hari ini, penduduk Sabah seakan-akan terlepas dari ancaman influenza A(H1N1) yang mula dilaporkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 24 April 2009.
  • Memandangkan kemungkinan menularnya pandemik berkenaan ke Negeri Sabah, kami telah memuatkan beberapa panduan ringkas dalam menangani wabak tersebut melalui blog ini dalam pos "Mengenali dan Menangani Influenza A(H1N1) bertarikh 29 Mei 2009. Komen dari seorang pembaca pos ini mungkin juga berfaedah kepada pembaca lain, terutama dari kalangan Umat Islam.
  • Kini, wabak yang sedang menggerunkan penduduk seluruh dunia akhirnya telah sampai kepada kita.
  • Pada pukul 1.41 petang hari ini, 25 Jun 2009, Agensi Berita Nasional (BERNAMA) melaporkan bahawa mangsa kes ke-91 wabak ini di Malaysia merupakan seorang warganegara Malaysia yang baru pulang dari Melbourne, Australia pada 20 Jun 2009. Mangsa tersebut, seorang lelaki, telah transit di KLIA sebelum menaiki penerbangan lain ke Kota Kinabalu, kemudian ke Sandakan pada hari itu juga.
  • BERNAMA tidak pula menyatakan beberapa perkara yang perlu diketahui oleh kita semua dalam usaha mengawal penyakit tersebut dari merebak:
  1. Di mana pesakit berkenaan sedang dirawat? Apakah pesakit berkenaan dan anak lelaki Datuk Peter Pang (Timbalan Ketua Menteri Sabah) yang baru sahaja pulang dari Melbourne seminggu yang lalu orang yang sama?
  2. Nombor penerbangan yang membawa beliau ke Kota Kinabalu dan Sandakan?
  3. Bagaimana nasib dengan penumpang-penumpang lain dalam penerbangan tersebut? Apakah mereka sudah dimaklumkan mengenai perkara ini dan dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan segera sebaik sahaja mereka mengalami sebarang simtom yang berkaitan dengan influenza A(H1N1)?
  • Datuk Peter Pang dan keluarga kini mengkuarantinkan diri sebagai langkah berhati-hati (untuk tidak merebakkan virus seandainya mereka turut dijangkiti). Suatu sikap yang bertanggungjawab dan patut dicontohi.
  • Laporan WHO pada 24 Jun 2009 menunjukkan sejumlah 55,867 kes di seluruh dunia dengan angka kematian seramai 238 orang. Malaysia mencatat 91 kes, 74 berpunca dari luar negara dan 14 merupakan jangkitan dalam negeri.

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN - GUNA BAHASA YANG PALING DIFAHAMI

  • Isu penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains janganlah hendaknya disensasikan sehingga dikaitkan dengan isu-isu perkauman.
  • Ilmu atau penemuan terbaru yang diterbitkan dalam bahasa asing sewajarnyalah dipelajari dan dikaji menggunakan bahasa tersebut. Apabila telah dipelajari oleh para cendekiawan ianya hendaklah diturunkan kepada pelajar menggunakan bahasa yang paling mudah difahami oleh kumpulan pelajar tersebut.
  • Cendekiawan Barat mempelajari ilmu al-jabar (algebra) dari Bangsa Arab, pertama dengan mempelajari Bahasa Arab atau berganding bahu dengan cendekiawan Arab untuk menterjemah ilmu tersebut ke dalam bahasa orang-orang Barat sendiri. Mereka kemudian mengajar dan menyebar ilmu tersebut kepada pelajar-pelajar mereka menggunakan bahasa mereka sendiri.
  • Dari mula hingga kini, algebra tidak diajar di sekolah atau pusat-pusat pengajian tinggi di mana-mana negara Barat menggunakan Bahasa Arab.
  • Bayangkan betapa terkapainya pelajar-pelajar di Amerika Syarikat atau Jerman andai mereka terpaksa mempelajari ilmu perubatan menggunakan Bahasa Arab semata-mata kerana ilmu perubatan moden telah diasaskan oleh Ibnu Sinna, seorang Bangsa Parsi yang menulis dalam Bahasa Arab.
  • Bagi Malaysia yang penduduknya berbilang kaum, biarlah semua ilmu, termasuk sains dan matematik, diajar dalam bahasa penduduk Malaysia.
  • Di sekolah-sekolah kebangsaan (menengah atau rendah) biarlah pengajaran dan pembelajaran menggunakan Bahasa Malaysia tanpa mengira apa jua matapelajaran. Di sekolah jenis kebangsaan biarlah bahasa Tamil, Mandarin, Inggeris dan sebagainya digunakan bergantung kepada bahasa yang paling difahami oleh kebanyakan pelajar-pelajar berkenaan.
  • Apalah faedahnya memaksa anak-anak kita mempelajari sesuatu ilmu menggunakan bahasa yang sukar mereka fahami. Ia akan hanya menyebabkan mereka terus tinggal dalam kegelapan tentang prinsip dan hukum-hukum ilmu berkenaan.
  • Cuba tanya pelajar-pelajar kita dari kawasan kampung yang kini sudah berada di Tingkatan Satu, “What is the product of fourteen and six?” Bolehkah mereka menjawab dengan spontan. Saya percaya, jarang sekali yang boleh. Malah ada yang akan bertanya, “Prodak tu apabende?” Mereka ini, telah mempelajari matematik menggunakan Bahasa Inggeris sejak dari tahun satu sekolah rendah. Cuba tanya pula dalam Bahasa Melayu, “Berapakah hasildarab empatbelas dengan enam?” Sekali lagi, mereka terkapai-kapai. Nah! Bahasa Inggerispun tak faham, Bahasa Melayupun tak fasih. Hal ini berlaku kerana mereka tidak mahir akan asas prinsip darab dan paling malang, mereka tidak pernah benar-benar faham pola kedudukan nombor. Mereka tidak pernah faham yang fourteen itu ialah satu puluh dan empat sa. Kalau mereka faham, pelajar yang sederhana cerdik akan dapat mengolah dalam minda bahawa satu puluh darab enam ialah enampuluh; empat darab enam ialah duapuluh empat; Enampuluh tambah duapuluh ialah lapanpuluh; Lapanpuluh tambah empat ialah lapanpuluh empat.
  • Bahasa-bahasa asing terutama bahasa yang meluas digunakan di dunia, seperti Bahasa Inggeris, Arab, Mandarin, Perancis dan lain-lain, hendaklah diajarkan di sekolah-sekolah rendah dan menengah mengikut kronologi kognitif bahasa pertumbuhan kanak-kanak hingga remaja. Kalau perlu, diperingkat sekolah menengah, impot guru dari England untuk mengajar Bahasa Inggeris, dari Mesir untuk Bahasa Arab, dari Beijing untuk Bahasa Mandarin dan seterusnya. Dengan cara ini saya yakin anak-anak kita akan mampu berbahas dalam menggunakan Bahasa Inggeris, seperti Lord Erskine, Bahasa Mandarin seperti Yu Hua, Bahasa Arab seperti Sheik Nazrallah dan seterusnya.
  • Di peringkat universiti, impot Guru Bahasa Asing hendaklah diteruskan. Beri peluang kepada bakal-bakal cendekiawan kita terus mendalami sesuatu bahasa asing yang membolehkan mereka memburu ilmu yang ditemui melalui bahasa itu, disamping terus mengolah ilmu berkenaan dalam Bahasa Melayu atau bahasa yang paling difahaminya.

Tuesday, June 23, 2009

MEASAT-3a: SATELIT KEEMPAT MALAYSIA

Pelancaran satelit terbaru negara, Measat-3a di Baikonur, Kazakhstan beberapa jam yang lalu tentunya membanggakan kebanyakan rakyat Malaysia. Paling gembira dan paling bertuah pastinya 5 orang remaja Malaysia, iaitu Ahmad Ruiz Mohd Asri yang berasal dari Taman Tun Dr Ismail Kuala Lumpur, Edmund Chen Min Lau dari Kuching, Sarawak, Lina Na’ilah Abdul Talip dari Kajang, Selangor, Chandra Sekhar Kuppusamy dari Johor Baharu dan Cliff Asher R. Ongil dari Beaufort, Sabah. Mereka adalah antara 14 orang remaja yang telah dipilih oleh MEASAT ke Baikonur bagi menyaksikan secara langsung pelancaran Measat-3a.

Satelit seberat 2,417 kilogram itu yang dibawa oleh pesawat pelancar jenis Zenit-3SLB bertolak dari tapak pelancaran Baikonur Cosmodrome mengikut jadual pada pukul 5.50 pagi waktu Malaysia atau pukul 3.50 pagi di Baikonur. Measat-3a merupakan satelit keempat kepunyaan Measat Satellite Systems Sdn Bhd dan akan mengorbit pada kedudukan 91.5 darjah Timur longitud.

Kejayaan pelancaran ini merupakan satu lagi peristiwa bersejarah bagi negara. Bercakap tentang sejarah, hendaknya kita jangan lupa akan titik tolak bermulanya kita rakyat Malaysia mengecap nikmat komunikasi satelit yang setaraf dengan yang dinikmati oleh rakyat di negara-negara maju. Ianya bermula dari inisiatif seorang anak Malaysia yang berjiwa besar dan berpandangan jauh, tidak lain dan tidak bukan, dia ialah Tun Dr Mahathir Mohamad. Walaupun sudah hampir 6 tahun meninggalkan kerusi Perdana Menteri namun hasil usaha yang Tun telah landaskan masih terus menyalur nikmat kepada kita semua.

Pada tahun 1992, berikutan pelan Wawasan 2020 yang dirangka oleh Tun bagi pembangunan infrastruktur komunikasi negara dalam memasuki abad baru, Binariang Sdn Bhd telah mengumpul satu pasukan pakar-pakar yang berpengalaman dan bermotivasi tinggi dalam bidang ini untuk membangun dan melancarkan sistem satelit komunikasi Malaysia yang pertama. Projek tersebut telah diberi nama Malaysia East Asia Satellite atau singkatnya MEASAT.

Impian ini akhirnya tercapai dengan pelancaran Measat-1 dan Measat-2 dari Pengkalan Angkasa Eropah di Kourou, French Guiana pada tahun 1996. Dari pusat kawalan yang terletak 915 meter dari paras laut di Gunung Raya, Langkawi Measat-1 dan Measat-2 mula memberikan khidmat ke seluruh Asia Tenggara pada tahun itu juga. Kejayaan ini telah membawa lonjakan yang besar dan pembangunan yang pesat dalam industri telekomunikasi dan penyiaran di Malaysia, termasuklah pelancaran khidmat Pelbagai-Saluran TV digital langsung-ke-kediaman (DTH) yang pertama di dunia, iaitu ASTRO.

Semoga kita rakyat Malaysia tahu menghargai nikmat hasil usaha mereka yang telah memerah buah fikiran dan bekerja keras sehingga kita dapat mencapai ke tahap ini. Terimakasih, Tun.

Kepada generasi muda termasuklah 5 remaja bertuah yang sempat ke Baikonur untuk pelancaran Measat-3a, janganlah hendaknya mudah lupa.

Janganlah menjadi seperti sebilangan kecil di antara kita yang menggunakan sistem Measat (melalui internet) untuk menabur fitnah dan melemparkan kata-kata kesat kepada orang yang telah membawa kemudahan itu kepada kita.

Sunday, June 21, 2009

KEAJAIBAN NOMBOR - BHG 5

Dalam Bhg 4 siri ini kita telah melihat apa itu pelengkap bagi sesuatu angka. Penguasaan “sistem” ini membolehkan seseorang menyelesaikan operasi tolak yang mudah secara lisan tanpa menggunakan kalkulator atau pen dan kertas, contoh: 324 – 38 = ?

Kaedah yang biasa kita pelajari di sekolah adalah seperti berikut:Pertama, tulis semula soalan ke bentuk lazim:

3 2 4

- 3 8

Selepas itu mulalah meminjam (teringat pula kes AH LONG). Penyelesaian dimulakan dari kedudukan angka paling kecil, iaitu SA---> 4 – 8 = (tidak boleh), jadi “pinjam” dari kedudukan angka berikutnya, iaitu PULUH ---> (10 + 4) – 8 ---> 14 – 8 = 6. Bentuk lazim kita akan kelihatan seperti ini:

1

3 2 4

- 3 8

6

Seterusnya, kita selesaikan pula pada kedudukan PULUH ---> 1 – 3 = (tidak boleh), jadi pinjam lagi (habislah pinjam teruss!), ---> (10 + 1) – 3 --> 11 – 3 = 8 dan bentuk lazim kita menjadi:

2 1

3 2 4

- 3 8

8 6

Akhir sekali, kita turunkan baki kedudukan RATUS dan barulah operasi tolak ini selesai.

2 1

3 2 4

- 3 8

2 8 6

Cuba bandingkan pula dengan kaedah berikut, iaitu penyelesaian yang bermula dari kedudukan angka paling besar, RATUS:

Sebaik sahaja disebutkan “tiga ratus dua puluh empat tolak tiga puluh lapan”, anda boleh terus menyambut, “Dua ratus...”, sebab anda tahu bahawa RATUS itu akan berkurangan satu tangga (dari 3 kpd 2) kerana PULUH nombor yang ditolak (2) lebih kecil dari PULUH nombor penolak.

Selanjutnya sebutlah “...lapan puluh...” dengan mengambil kira bahawa

(i) pelengkap 3 ialah 7 (3 ialah angka kedudukan PULUH pada nombor penolak)

(ii) 7 + 2 = 9 (7 ialah pelengkap 3, 2 ialah angka kedudukan PULUH pada nombor yang ditolak).

(iii) Satu tangga dibawah 9 ialah 8 (kerana angka pada kedudukan SA nombor yang ditolak iaitu 4 lebih kecil dari angka SA nombor penolak iaitu 8)

Seterusnya sebutlah “...enam!” kerana:

(iv) Pelengkap 8 ialah 2

(v) 2 + 4 = 6 (4 ialah angka pd kedudukan SA nombor yang ditolak).

Lakaran minda kaedah ini ialah:

324 - 38 ---> (3-1)ratus (7+2-1)puluh (2+4) ---> 2 ratus 8 puluh 6 = 286.

Ajaibnya: Masalah Operasi Tolak diselesaikan dengan Operasi Tambah, sebab operasi tambah agaknya lebih mudah berbanding operasi tolak.


Friday, June 19, 2009

KEAJAIBAN NOMBOR - BHG 4

ANGKA DALAM SISTEM NOMBOR
Angka-angka yang digunakan dalam sistem nombor yang digunapakai dewasa ini ialah 1,2,3,4,5,6,7,8, dan 9. Cuba tambahkan angka yang paling kiri dengan angka yang paling kanan, angka kedua dari kiri dengan anga kedua dari kanan dan seterusnya seperti dalam rajah di bawah ini.
Anda akan mendapati bahawa kesemua jawapan anda ialah 10. Dengan kata lain, angka 1 melengkapkan angka 9 menjadi 10, angka 2 melengkapkan angka 8 menjadi 10 dan seterusnya. Begitu pula sebaliknya angka 9 melengkapkan angka 1 menjadi 10, angka 7 melengkapkan angka 3 menjadi 10 dan sebagainya.
Angka 5 tidak mempunyai pasangan kerana ia melengkapkan dirinya: 5 + 5 = 10.
Untuk memudahkan perbincangan ke bahagian-bahagian seterusnya dalam siri ini kita akan mengistilahkan:
Pelengkap 1 ialah 9 dan pelengkap 9 ialah 1, pelengkap 4 ialah 6 dan pelengkap 6 ialah 4, pelengkap 3 ialah 7 dan seterusnya.