Wednesday, January 23, 2013

Datuk Nilwan dan Agenda Pembangunan DUN Kunak - Perhubungan


Apabila sudah memiliki kediaman yang selesa maka dapatlah seseorang ketua isirumah itu keluar dengan dada yang lapang mencari nafkah halal untuk keluarganya. Namun untuk mengoptimakan produktiviti dia perlu untuk sampai ke tempat kerja atau tempat mencari nafkah tanpa menghadapi banyak masalah. Anak-anak yang bersekolah pula perlu sampai ke sekolah masing-masing tepat pada waktunya bagi membolehkan mereka mengikuti program pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan. 

Begitulah antara faktor yang mendorong Datuk Nilwan meletakkan pembangunan perhubungan sebagai keutamaan kedua selepas perumahan dalam agenda pembangunan beliau bagi masyarakat di DUN Kunak. Disamping itu, tanpa sistem perhubungan yang baik maka agak sukar untuk menyalurkan kemudahan-kemudahan asas yang lain seperti bekalan air dan tenaga elektrik.

Jalanraya
Semenjak Datuk Nilwan menerajui Kunak sebagai ADUN, hampir semua jalan-jalan utama yang menghubungkan pekan Kunak dengan kawasan perkampungan telahpun dinaiktaraf dari jalan gravel ke jalan berturap. Jalan-jalan utama yang dimaksudkan ialah Jalan Tun Fuad (3 km) dan Jalan Kg Selamat (2 km) dalam tahun 2009, Jalan Pengkalan Madai (2.5 km) dan Jalan Ulu Madai (2 km) dalam tahun 2010 serta Jalan Pangi (4 km) dalam tahun 2011. Dalam tahun 2012 naiktaraf Jalan Tun Fuad ditambah sehingga keseluruhan jalan tersebut berturap sepenuhnya. 

Jalan dan lorong-lorong di kawasan perkampungan juga kebanyakannya sudah diturap. Meskipun demikian, tidak dinafikan masih terdapat jalan kampung yang perlukan dana untuk dinaiktaraf atau dibaikpulih. Antaranya ialah Jalan Kg Jaya Baru. Penyenggaraaan jalan tersebut adalah terletak di bawah tanggungjawab Majlis Daerah Kunak (MDKK) yang telah memberikan kontak kepada sebuah syarikat. Datuk Nilwan telah menasihatkan pegawai eksekutif MDKK agar menggesa syarikat tersebut untuk segera membaikpulih jalan berkenaan atau mengembalikan tanggungjawab itu kepada Jabatan Kerjaraya (JKR) Kunak.

Jalan Pangi
Jembatan dan Titi
Bagi kampung-kampung atas air seperti Pangi, Pengkalan, Kunak Tiga dan lain-lain,  fungsi jembatan dan titi amat mustahak dalam aktiviti harian penduduk. Oleh yang demikian maka setiap tahun dana yang cukup besar dari peruntukan khas ADUN dibelanjakan bagi membaikpulih jembatan dan titi di DUN Kunak.
Titi yang dibina oleh penduduk kampung sendiri menggunakan
tiang kayu bakau
Hampir semua jembatan di perkampungan atas air Daerah Kunak diperbuat daripada kayu, kebanyakannya dibina oleh penduduk kampung sendiri semasa mereka membina rumah. Pada waktu itu bahan kayu mudah didapati di daerah ini. Tiang jembatan adalah daripada kayu bulian atau kayu bakau, manakala rasuk, gelagar dan lantai diperbuat daripada kayu keras.

Keadaan titi yang perlu untuk segera dibaikpulih atau diganti
Dengan keadaan dewasa ini dimana amat sukar untuk memperoleh bahan kayu, terutama jenis berkualiti dan tahan lama, perancangan membaikpulih jembatan sediada menghadapi cabaran getir. Bahan besi pula tidak sesuai kerana mudah berkarat apabila terkena air laut.
Apabila keadaan titi membahayakan pengguna dan perlu dibaikpulih segera, Datuk Nilwan sendiri akan meninjaunya dan berbincang dengan penduduk bagaimana mendapatkan bahan yang diperlukan. Untuk perancangan masa akan datang jika titi baru dibina, beliau bercadang menggunakan bahan alternatif, misalnya konkrit dengan tetulang logam yang tahan karat.
Datuk Nilwan memeriksa titi yang baru siap dibina (kiri) menggantikan
titi lama yang sudah rosak (kanan)
Pos terdahulu yang berkaitan: Perumahan

Monday, January 21, 2013

Membantu Anak Memahami dan Menjawab Soalan Matematik Tahun 5

Anak perempuan saya yang belajar di tahun 5 sekolah kebangsaan menghadapi sedikit masalah menjawab soalan-soalan matematik yang berbentuk aplikasi harian. Hari ini soalannya seperti berikut:

Seorang peruncit membeli 12 kampit tepung, setiap satu dengan jisim 25 kg. Beliau kemudian membungkusnya dalam paket dengan jisim 2 kg setiap satu paket. Berapa paket tepung yang peruncit itu peroleh?

Untuk soalan-soalan seperti ini saya nasihatkan anak itu agar menulis angka-angka yang terdapat dalam soalan dan terus membentuk format matematik yang betul. Apabila soalan melibatkan sesuatu "kumpulan" dan "bilangan ahli", maka penyelesaian soalan akan melibatkan operasi darab. Dalam soalan ini, kumpulan ialah "kampit tepung" dan ahlinya ialah "jisim 25 kg". Soalan ini juga melibatkan pembentukan "kumpulan baru" (paket) dengan bilangan ahli yang berbeza (2kg), maka ia melibatkan operasi bahagi.

Selepas menerangkan cara penyelesaian matematik yang biasa, saya ajarkan pula suatu kaedah penyelesaian pantas apabila kebetulan bentuk ayat matematiknya seperti di atas.

> Ada 4 '25' dalam '100' (4 x 25 = 100)
> Ada 3 '4' dalam '12' (3 x 4 = 12)
> Bermakna : 12 x 25 adalah bersamaan dengan 3 x 100 = 300
> 300/2 adalah bersamaan dengan 300 x 5/10 = 1500/10 
                                                                =    150  (keterangan)


Sunday, January 20, 2013

Datuk Nilwan dan Agenda Pembangunan DUN Kunak - Perumahan


Datuk Nilwan Bin Kabang memegang jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah bagi kawasan Kunak selepas memenangi kerusi tersebut dalam pilihanraya umum 2008. Dalam pertandingan satu-lawan-satu itu beliau mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Encik Bedu Kudusa dengan majoriti 4,115 undi.



Agenda Pembangunan
Sejak menjadi wakil rakyat bagi DUN Kunak, Datuk Nilwan membawa agenda pembangunan dengan berteraskan pembangunan minda dan rohani masyarakat.

Apabila berucap pada majlis-majlis rasmi, juga perbualan seharian, Datuk Nilwan selalu mengingatkan masyarakatnya agar menghijrahkan minda dan sikap ke arah yang lebih positif. Beliau menasihatkan mereka agar berusaha memajukan diri, keluarga dan masyarakat dalam bidang ekonomi dan pendidikan.  Menurut beliau, banyak peluang disediakan oleh kerajaan bagi membantu rakyat memakmurkan diri dan keluarga dalam pelbagai bidang. Masyarakat Kunak hendaklah merebut peluang tersebut dan mengikis sikap ‘menjadi penonton’ sahaja. Bagi Datuk Nilwan, ukuran kemajuan bagi DUN Kunak bukanlah pada bilangan bangunan tinggi, kilang dan premis serba mewah yang ada. Semua itu tidak ada ertinya jika masyarakat Kunak tidak memiliki syer padanya dengan kadar yang sewajarnya. 

Perumahan
Cukup sukar bagi seseorang ketua isirumah untuk keluar mencari nafkah apabila meninggalkan keluarganya tanpa tempat tinggal yang selesa, sekurang-kurangnya sebagai tempat berlindung dari hujan dan terik panas mentari. Oleh sebab itulah dalam agenda memajukan masyarakat, Datuk Nilwan memberikan keutamaan kepada penyediaan tempat tinggal atau rumah yang selesa untuk rakyat Kunak. Sehubungan dengan itu, sebahagian besar peruntukan ADUN khas untuk projek-projek kecil setiap tahun yang diterima oleh Datuk Nilwan disalurkan kepada projek-projek membaikpulih rumah penduduk Kunak dengan keutamaan terhadap menggganti atap yang bocor dengan atap baru.

Keadaan atap rumah penduduk sebelum dan selepas menerima bantuan membaikpulih
Datuk Nilwan bersama seorang pengerusi JKKK meninjau keadaan
rumah penduduk yang baru siap dibaikpulih
Awal-awal lagi selepas dipilih sebagai ADUN Kunak, Datuk Nilwan telah mengarahkan semua pengerusi JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) di Daerah Kunak untuk menyenaraikan sebanyak 20 buah rumah di kampung masing-masing yang perlu dibaikpulih, bermula dengan rumah dan keluarga yang paling daif. Dari senarai itulah bantuan membaikpulih rumah disalurkan dari masa ke semasa.

Datuk Nilwan kerap melawat kampung bersama pegawai-pegawai kerajaan terutama dari UPKR (Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat) dimana perhatian utama beliau adalah terhadap keadaan rumah dan kehidupan penduduk.  Apabila terdapat keperluan pembaikan rumah yang kritikal, beliau akan mengarahkan terus kepada pegawai atau pengerusi JKKK kampung tersebut bagi membuat anggaran kos dan mengatur bantuan.

Datuk Nilwan (di tangga) memeriksa sendiri keadaan rumah penduduk
yang perlu dibaikpulih
 Bagi keluarga yang tidak memiliki rumah sendiri tetapi mempunyai tapak yang sesuai untuk pembinaan rumah maka Datuk Nilwan akan berusaha mendapatkan rumah bagi mereka di bawah skim Projek Bantuan Rumah (PBR) atau yang dulu lebih dikenali sebagai PPRT. Hasil kesungguhan dan kegigihan beliau, Kunak merupakan antara DUN yang menerima bilangan rumah PBR yang paling banyak di Negeri Sabah.

Meninjau keadaan bahagian dalam rumah PBR (PPRT) yang
baru siap dibina
Keluarga yang tidak memiliki rumah dan tapak yang sesuai untuk pembinaan rumah tidak juga dilupakan. Datuk Nilwan tidak jemu-jemu bertanya kepada penduduk kalau-kalau ada kawasan yang sesuai dipohon untuk dijadikan perkampungan atau tapak rumah. Apabila diberitahu adanya kawasan sedemikian, beliau akan segera melawat kawasan tersebut dan menghubungi pihak Jabatan Tanah dan Ukur untuk mendapat kepastian mengenai status kawasan itu. Jika sesuai, beliau akan menyusulinya dengan permohonan atau membantu ketua kampung dan mereka yang berkenaan untuk mengemukakan permohonan.

Datuk Nilwan meninjau kawasan yang difikirkan boleh dipohon
untuk dijadikan tapak perumahan untuk penduduk Kunak dan ...
... hasilnya, tiga unit rumah PBR dibina untuk rakyat Kunak dibina di
kawasan tersebut.
Dimana ada kesempatan yang sesuai, misalnya ketika menghadiri mesyuarat Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Nilwan akan meminta kerajaan menyediakan lebih banyak projek-projek perumahan di DUN Kunak.




Thursday, January 17, 2013

Murid-Murid Sekolah Rendah di Kunak Terima Bantuan Beg Sekolah

Kunak, 17 Januari 2013 - Seramai 2000 beg sekolah diagih-agihkan kepada murid-murid tahun 1, 2 dan 3 sekolah kebangsaan di Kunak. Beg sekolah itu adalah sumbangan daripada ADUN Kunak Yang Berhormat Datuk Nilwan Kabang.


YB Datuk Nilwan

Majlis penyampaian diadakan di Dewan Serbaguna Sekolah Kebangsaan Kunak 1. Dalam majlis yang sama hadiah wang tunai sebanyak RM200, juga sumbangan daripada YB ADUN Kunak, disampaikan kepada 6 orang murid yang mencapai keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR 2012.

"Sumbangan beg ini merupakan sebahagian kecil nikmat yang kita dapat rasai apabila negara dalam keadaan makmur dan aman di bawah naungan pentadbiran kerajaan yang prihatin terhadap rakyat", kata Datuk Nilwan dalam ucapannya di majlis tersebut.

Datuk Nilwan juga mengucapkan tahniah dan ucapan terimakasih setinggi-tingginya kepada warga pendidik atas usaha bersungguh-sungguh mereka sehingga membolehkan sekolah-sekolah di daerah ini mencapai keputusan peperiksaan yang membanggakan. 

Semua 15 buah sekolah kebangsaan di Daerah Kunak menghantar 5 hingga 10 orang murid sebagai wakil untuk menerima sumbangan beg itu bagi pihak rakan-rakan mereka. Turut hadir ialah semua guru besar dan pengetua sekolah, pengerusi-pengerusi PIBG  serta pemimpin-pemimpin masyarakat Daerah Kunak.
Dewan Serbaguna SK Kunak 1
Bangunan SK Kunak 1 - Bangunan sekolah ini dinaiktaraf
pada tahun 2012 dan menelan belanja RM12juta
Surau SK Kunak 1

Wednesday, January 2, 2013

4 & 25

Dalam pos sebelumnya kita telah kongsikan kaedah hubungan angka 2 dan 5. Kali ini cuba kita lihat pula hubungan angka 4 dengan nombor 25.

Seperti 2 dan 5, operasi bahagi bagi angka 4 dan 25 saling berkaitan.

1/4 = 0.25
1/25 = 0.04

p/4 = (p x 25)/100, p ialah sebarang nombor.

misalnya jika p = 48 maka

48/4 = (48 x 25)/100
        = 1200/100
           = 12

Dalam contoh di atas, mungkin kaedah ini membuatkan penyelesaian lebih rumit berbanding kaedah biasa, tetapi mungkin dapat membantu apabila nilai p tidak boleh dibahagi dengan 4 untuk menghasilkan nombor bulat misalnya:

jika p = 13 maka

13/4 = (13 x 25)/100
        = 325/100
        = 3.25

Begitu juga
p/25 = (p x 4)/100, p ialah sebarang nombor

misalnya jika p = 48 maka

48/25 = (48 x 4)/100
          = 192/100
          = 1.92

Hubungan angka 4 dengan 25 sebenarnya kerana kedua-duanya merupakan faktor bagi 100, iaitu

4 x 25 = 100

Hubungan angka 2 dengan 5 seperti yang dibincangkan dalam pos terdahulu ialah kedua-duanya merupakan faktor bagi 10, iaitu

2 x 5 = 10

Oleh yang demikian, kaedah ini boleh juga digunakan untuk faktor-faktor bagi 1000, 10,000, 100,000 dan seterusnya . . .

Contoh faktor bagi 1000 ialah: 8 x 125

Tuesday, January 1, 2013

2 & 5

1/2 = 0.5
1/5 = 0.2

y/2 = (y x 5)/10, y ialah sebarang nombor

misalnya jika y = 12 maka

12/2 = 6

12 x 5 = 60 --> 60/10 = 6

Begitu pula

 y/5 = (y x 2)/10, y ialah sebarang nombor

misalnya jika y = 40 maka

40/5 = 8

40 x 2 = 80 --> 80/10 = 8

Biasanya bila menyelesaikan masalah matematik seperti 7/5 = ? kita tercari-cari kalkulator, namun dengan mengetahui hubungan angka 2 dan 5 seperti yang ditunjukkan di atas seseorang boleh memberikan jawapan dengan cepat dan tepat tanpa menggunakan kalkulator...

7/5 = (7 x 2)/10
      = 1.4

Semoga bermanfaat ...