Wednesday, July 21, 2010

Kesilapan Diagnosis Awal Barah Payudara Menimbulkan Masalah


Bayangkan seorang wanita sihat menjalani pembedahan payudara, mendapatkan rawatan radiasi, mematuhi jadual pemakanan ubat-ubatan dan paling perit, berada dalam keadaan ketakutan. Demikianlah yang dialami oleh Monica Long, seorang ibu kepada tiga orang anak. 

Derita itu beliau alami semata-mata kerana kesilapan yang dilakukan oleh ahli patologi yang telah mendiagnosis beliau sebagai mengalami ketumbuhan awal barah payudara.
Menurut sebuah artikel The New York Times berikutan diagnosis itu Monica telah menjalani pembedahan dimana sebahagian buah dada kanannya dibuang lebihkurang sebesar sebiji bola golf. Setahun kemudian, beliau diberitahu bahawa ahli patologi yang mendiagnosis beliau telah melakukan kesilapan. Doktor lain yang merawat Monica yakin bahawa beliau tidak pernah mengalami barah payudara itu yang dikenali sebagai ductal carcinoma in situ (DCIS). Pembedahan, radiasai, ubat-ubatan serta kebimbangan yang telah dialami oleh Monica semuanya sia-sia dan tidak perlu.
Menyentuh tentang perkara itu, koresponden CBS News Medical, Dr Jennifer Ashton berkata, "Apabila kita bercerita tentang barah payudara, ia seolah-olah seperti cerita tentang cuaca. Terlalu banyak jenis barah payudara.



"DCIS ialah jenis barah payudara tidak merebak atau "in-situ" yang paling biasa. Ia juga dikenali sebagai barah payudara peringkat sifar dan terdapat lebihkurang 50,000 diagnosis sedemikian setiap tahun".
Dr Ashton memberitahu bahawa 90 peratus daripada DCIS boleh diubati, namun, "artikel tersebut telah menimbulkan kebimbangan tentang lebih dari 17 peratus diagnosis mungkin silap, menyatakan bahawa wanita yang didiagnosis mengalami barah payudara sedangkan pada hakikatnya, tidak terdapat penyakit tersebut pada wanita berkenaan".
Menurut beliau masih terdapat banyak kelemahan dalam kaedah dan teknologi mendiagnosis DCIS. Dr Ashton menasihatkan wanita yang didiagnosis sebagai mengalami DCIS untuk mendapatkan pendapat atau pandangan dari doktor lain, kalau perlu dapatkan pandangan dari dua orang doktor lain dari bidang tersebut.
Kata Dr Ashton, "Bercakap tentang diagnosis barah, anda mungkin perlu slaid (dari sampel tisu) itu disemak semula oleh lain-lain ahli patologi. Jangan terlalu terburu-buru untuk segera menjalani rawatan. Ambillah sedikit masa untuk mempertimbangkan pilihan-pilihan yang ada. Dan akhir sekali, seperti mana dalam banyak hal, pertimbangkan risiko dengan kebaikannya dan dengan pilihan-pilihan yang ada bagi sesuatu rawatan yang disyorkan".
Semoga nasib seperti yang menimpa Monica Long tidak tidak berulang.

1 comment:

C Sulo said...

Memang benar bahawa kesilapan diagnosis boleh menimbulkan masalah. Namun bagi kes Monica Long, walaupun beliau seorang jururawat yang bertauliah dan berdaftar, namun kesilapan beliau apabila merujuk kesnya kepada seorang Dr. Linh Vi(ahli patologi) yang sebenarnya bukan pakar. Pengalamannya (Dr. Vi) yang baru, ditambah lagi sejarah 'persekolahan' beliau di Vietnam yang lemah dalam bidang yang diceburinya sepatutnya tidak menjadi 'pakar' yang menentukan kesahihan diagnosis beliau.

Sepatutnya seseorang yang mendapat tanda-tanda awal kenser melalui pengesanan kendiri (BSE - breast self examination)mahupun mamografi hendaklah merujuk ke Hospital yang ada kepakaran berkaitan. Di kebanyakan hospital Malaysia, yang mempunyai Pakar Perubatan berkaitan Payudara dan Kenser, pemeriksaan yang dilakukan melalui beberapa peringkat termasuk pemeriksaan mammogram, pengambilan sampel melaui jarum dan ujian makmal. Setelah itu terdapat pula panel dikalangan doktor pakar yang akan menganalisis hasil ujian makmal seterusnya menentukan status sampel serta kaedah rawatan sekiranya positif kenser. Selain itu pesakit boleh memilih untuk tidak membuang sebahagian atau semua payudaranya sekiranya didapati ketulan barah masih berada pada peringkat 1 atau 2 dan belum merebak ke anggota lain. Bermakna pesakit boleh menjalani pembedahan yang hanya akan mengeluarkan tisu mutasi (kenser) tersebut.

Jadi sebagai tambahan dinasihatkan sekali lagi agar wanita juga lelaki (kerana lelaki juga tidak terlepas dari resiko kenser payudara walaupun kesnya sedikit) biasakan melakukan pengesanan awal dan manfaatkan hospital yang disediakan oleh kerajaan.

Bagi saya pengesanan awal kenser tetap utama kerana rawatan yang seawal mungkin akan memberi peluang untuk pesakit sembuh berbanding jika kenser yang dihidapi sudah tiba ke peringkat merebak. Monica mungkin mengalami derita penyesalan kerana beliau masih hidup dan tahu bahawa doktor tersilap, dan pasti beliau tidak akan menyesal sekiranya beliau meninggal akibat barah yang sudah merebak jika beliau berlengah.